AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Monday, August 15, 2011

TOKKU PALOH

TOKKU PALOH





Makam Tokku Paloh yang terletak diatas bukit. Turun dari bukit ini, ada sebuah surau dan perigi yang digali sendiri oleh Tokku.


Ketika aku berumur 20 tahun, pernah aku seorang diri bermalam di surau itu. Keadaan surau dan perigi tidak seperti sekarang. Bersebelahan dengan surau ada sebuah rumah yang dihuni oleh salah seorang cucu Tokku. Rumah tersebut dikatakan tempat berunding Tokku dengan Hugh Clifford berhubung penentang-penentang melayu dari Pahang.

Salasilah Tokku Paloh:
* Abd Rahman 'Tokku Paloh' b Muhammad 'Tokku Tuan Besar' b Zain alAbidin b Husain b Mustofa b Sheikh b Mustofa b Ali Zain alAbidin b Abdullah b Sheikh b Abdullah b Sheikh b Abdullah Al-Idrus b Abu Bakar Sakran b Abd Rahman AsSaqqaf b Muhammad Maulaldawilah b Ali b Alwi b Muhammad Fakih Muqaddam b Ali b Muhammad b Ali b Alwi b Muhammad b Alwi b Abdullah b Ahmad Muhajjir b Isa b Muhammad al Naqib b Ali al Uraidhi b Jaafar Sadiq b Muhammad Baqir b Ali Zain alAbidin b Husain b Ali+Fathimah binti Muhammad SAWW *

**Tokku Tuan Pahang (Muhammad b Husain) adalah bapa saudara Tokku Tuan Besar (Muhammad b Zain alAbidin)**
**Tokku Tuan Melaka @ Tuan Sayid Embun Terqanu (Ahmad b Muhammad) adalah anak kepada Tokku Tuan Pahang**

(Aku bertemu dengan nasab Tokku Paloh disebelah moyang perempuan : Tuan Teh bt Muhammad Zain 'Tokku Tuan Muda Nerus' b Sheikh 'Tokku Tuan Lebai' b Mustofa 'Datuk Bukit Tumbuh' b Muhammad 'Datuk Makam Lama' b Ahmad b Sheikh ....).

div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">

Makam Tokku Makam Lama

Tuan Teh merupakan adik kepada Tuan Chik Haji@Syed Ahmad Al-Idrus. Hasil perkahwinan Tuan Teh dan Tuan Chik Misai @ Tok Misai dikurniakan datuk aku Tuan Hitam@Syed Abdullah. Kampung Seberang Tuan Chik Haji itu merupakan kampung asal.Bersebelahan kampung itu, sebuah kampung lagi bernama Kampung Pengkalan Tuan Chik yang nama itu diambil dari nama Tuan Chik Misai@ Tok Misai. Semasa aku kecil,apa yang aku tau, kedua-dua kampung itu hanya dikenali Seberang Bukit Tumbuh. Disitu hanya 2 marga/keluarga (klan) yang ada iaitu Al-Idrus dan Al-Khirid.



Sebahagian salasilah 'Al-Khirid' di Kampung Pengkalan Tuan Chik Haji. Salasilah ini dijumpai tersimpan rapi didalam buluh

Tetapi malang salasilah moyang aku Tuan Chik (Misai) Bin Tuan Tengah @ Tok Misai tidak dapat aku susuri. Menurut orang lama yang paling tua di kampung itu yang juga 'waris' iaitu Tuan Dalam Al-Idrus yang sempat dengan Tuan Chik Misai @ Tok Misai semasa hidup (mungkin Tuan Dalam masih kecil/remaja ketika itu), moyang aku dan keluarga nya berhijrah dari Kota Bharu. Seketika dulu keluarga Tuan Tengah digelar 'Tok Syed Luar' oleh sebilangan orang2 Syed Trengganu. Untuk menjejaki salasilah ini, mungkin harus menyusurinya di Kota Bharu atau ke Kuala Beruas,(Changwat Penarik,Anpa)Petani dimana makam datuk aku Tuan Hitam berada.

Tokku Paloh adalah penasihat utama Sultan Zainal Abidin III semarakkan semangat jihad Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau tentang penjajah British di Pahang. Ulama Besar Terengganu pada abad ke-19 ini, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.

Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh. Baginda menyebut, "Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu," yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan. Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh 'mengambil' Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka. "Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah," demikianlah jawapan ulama besar itu. Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka. Lalu Tokku Paloh menyindir, "Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?" sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.

Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang. Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik. Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.

Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup.

Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.

Selain menjadi guru kepada Sultan Zainal Abidin III dan Haji Abdul Rahman Limbong iaitu pejuang penentang penjajah di Terengganu, ulama itu turut bertanggungjawab menyemarakkan semangat jihad di kalangan pejuang menentang penjajah di Pahang iaitu Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.Peristiwa itu berlaku apabila pasukan pimpinan Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri selepas mengalami tekanan dan serangan berterusan daripada tentera penjajah pimpinan Residen British, Hugh Clifford. Keadaan tersepit itu menyebabkan mereka berlindung di hutan Terengganu dan menghubungi Tokku Paloh pada Mei 1894. Sebaik bertemu dengan ulama itu, mereka diberi perlindungan dan diajar ilmu untuk menentang musuh. Hasil perguruan singkat dengan ulama itu menyebabkan semangat kumpulan pejuang terbabit kembali membara dan mereka terus tekad melancarkan jihad menentang penjajah British di Pahang.

Walaupun dikenali sebagai ulama, Tokku Paloh turut membabitkan diri dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu apabila dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu selain penasihat utama Sultan dalam pelbagai hal. Malah, ketegasan dan kepintarannya dalam hal ehwal diplomatik menyebabkan ulama itu sering diberi peluang mewakili Sultan untuk berunding dengan British hingga penjajah itu gagal menawan Terengganu.

Tokku Paloh dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ulama itu mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri iaitu Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali Tokku Tuan Besar, selain beberapa ulama tempatan sebelum berhijrah ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan menimba pengalaman. Sekembalinya dari Makkah selepas kira-kira 10 tahun menuntut ilmu di sana, Tokku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Terengganu sebelum membabitkan diri dalam bidang pentadbiran negeri.

Tokku Paloh memiliki banyak ilmu dalam bidang kerohanian terutama ilmu tasawauf dan sufi. Beliau juga menjadi khalifah kepada Tareqat Naqsyabandiah dan turut mengamal serta mengembangkan amalan �Syahadat Tokku� iaitu satu amalan yang disusun oleh bapanya.

Kepercayaan Sultan Terengganu terhadap dirinya menyebabkan Tokku Paloh diamanahkan Sultan Zainal Abidin III untuk mentadbir kawasan Paloh selain mengawasi beberapa daerah di Hulu Terengganu antaranya Kuala Berang hingga Cabang Tiga. Dalam usaha memastikan kawasan pentadbirannya terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang, Tokku Paloh menubuhkan pasukan penguat kuasanya sendiri yang dikenali sebagai �Budak Raja�. Pasukan Budak Raja ditugaskan menjaga keamanan sama seperti fungsi pasukan polis pada hari ini. Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat setempat terjaga, Tokku Paloh gemar keluar pada malam hari malah pada hari tertentu, beliau keluar dengan mengenakan kain selubung di kepala. Tindakannya itu bertujuan membolehkan beliau meninjau kehidupan masyarakat dan sekiranya beliau mendapati ada perkara tidak baik berlaku, Tokku Paloh akan memerintah Budak Raja membuat tangkapan pada keesokan hari.


Ulama itu juga memiliki mahkamah sendiri di Paloh untuk mengadili pesalah di kawasan pentadbirannya. Usaha beliau itu mendapat perkenan daripada pihak istana. Hubungan rapat antara Tokku Paloh dan Sultan Zainal Abidin menyebabkan baginda menyerahkan puteranya iaitu Tengku Sulaiman untuk dijadikan anak angkat dan murid Tokku Paloh. Malah, seorang daripada isteri Tukku Paloh iaitu Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin III sendiri.

Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.


Dari Berita Harian :

Latarbelakang

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.

Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).

Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.


Pendidikan

Tok Ku Paloh telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri yang merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Beliau juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung. Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Antara yang menjadi gurunya disana ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Semasa melanjutkan pelajarannya di Mekah, Tok Ku Paloh telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi.


Perjuangan Dakwah

Tok Ku Paloh setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III.


Kegiatan Anti-penjajah

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Ada riwayat mengatakan Haji Abdur Rahman Limbong dan Tok Janggut yang terlibat mengetuai kegiatan anti-penjajah adalah juga murid Tok Ku Paloh.

Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar. Katanya: Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.


Dari Khazanah Fathaniyah

Allahyarham Hj Wan Shaghir Abdullah :

Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.

Nama penuh beliau ialah Sayid Abdur Rahman bin Sayid Muhammad bin Sayid Zainal Abidin al-Aidrus. Sayid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Sayid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Sayid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Sayid Seri Perdana, Sayid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.

Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.


Pendidikan

Sayid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Sayyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Sayid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Sayid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.

Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Sayid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).

Sayid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.

Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.

Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.


Perjuangan


Sayid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Sayid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.

Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.

Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.

“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.

“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)

Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.


Penulisan

Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah ‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”

Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”

Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.

Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.

Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.

Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.

Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.

Antara anak Tokku Paloh ialah Sayid Aqil bin Sayid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu,1347H.
--------------------------------------------------------------------

TOKKU PALOH : ULAMA SUFI PENASIHAT SULTAN

“Terengganu ini ada tuannya. Sila berunding dengan tuannya!(Tokku Paloh)” titah Sultan kepada wakil British W.L Conlay

Tukku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al Idrus
adalah ulama kerohanian yang berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu. Beliau hidup dalam zaman pemerintahan lapan orang sultan silih berganti, paling lama dan paling kuat pengaruh beliau ialah semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11. Kerana kewibawaannya, beliau diberi mandat oleh Sultan mentadbir kawasan Paloh dan mengawasi kawasan Hulu Terengganu. Beliau juga diterima sebagai penasihat pertama dan utama kepada sultan dalam berbagai persoalan. Beliau tegas dan pintar dalam bidang diplomatik dan sering diberi peluang mewakili sultan berunding dengan pihak British sehingga pada zaman itu British gagal menjajah Terengganu.

Tukku Paloh terkenal sebagai seorang wali Allah yang mempunyai berbagai karamah dan sentiasa mendapat bantuan Allah swt khususnya sewaktu mengendalikan urusan rakyat. Tukku Paloh adalahkhalifah Tareqat Naqsyabandiah, dan beliau turut mengamal dan mengembang luaskan ‘Syahadat Tukku’ satu amalan yang disusun oleh ayahnya Tukku Tuan Besar. Kerusi yg melekat seketika pada punggung penjajah! “Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun,” kata Tukku Paloh. “Tetapi kalau nak tanah, silakan. Isilah ke dalam armada tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.”Itulah jawapan Tukku Paloh kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tukku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuksindiran itu yang diluahkan dengan tenang tetapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil2 British itu. mereka bangun untuk beredar. Tetapi dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena2 terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Waktu itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja :“Sudahlah tuan2 hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan2 hendak ambil?.”Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20.

Taktik diplomasi yang berjaya digunakan di beberapa negeri lain, gagal di negeri Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak ( pemerintah). Tegasnya antara Sayid Abdul Rahman Al Idrus atau Tukku Paloh dengan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918). Keturunan Rasulullah s.a.w Dilahirkan pada tahun 1817 [1236 Hijrah] di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu, Tukku Paloh adalah nasab yang ke-32 daripada Rasulullah s.a.w. di kalangan keluarga Al Idrus.

Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah AzZahrah r.ha. bt. Rasulullah.Ibunya, Hajah Aminah ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tukku Tuan Besar. Semasa pemerintahan Sultan Omar, Tukku Tuan besar menjadi Syeikhul Ulama iaitu ketua seluruh ulama Terengganu dan dianugerahkan gelaran Paduka Raja Indra oleh baginda Sultan. Kedua2 kedudukan itu menjadikan Tukku Tuan Besar sangat dihormati dan berpengaruh di kalangan istana dan rakyat keseluruhannya.Menurut cucunya Sayid Abdul Aziz,sejak kecilnya lagi sudah ada tanda2 pelik yang mengisyaratkan Tukku Paloh akan muncul menjadi orang penting masyarakat. Satu ketika semasa Tukku Paloh berada bersama ayahnya Tukku Tuan Besar, tiba2 saja Tukku Paloh melihat seorang yang berserban dan berjubah hijau memanggilnya. Tukku Tuan Besar menahannya seraya berkata, “Engkau jangan pergi dekat dengan orang itu, nanti kamu tidak boleh bersama abah lagi .”Perkataan Tukku tuan besar itu tidak begitu pasti apa maksudnya. Tetapi yang nyata, Tukku Tuan Besar juga seorang yang kasyaf ; dapat melihat kemunculan seorang yang berserban dan berjubah hijau itu. Siapa orangnya?

Menuntut di Makkah, khalifah Tarekat Tukku Paloh mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa orang ulama tempatan. Kemudian beliau mengikut jejak ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengalaman di Makkah Al Mukarramah. Di sana beliau belajar dengan ulama2 Ahli Sunnah Wal Jamaah dan khatam banyak kitab muktabar dalam berbagai bidang ilmu tauhid, feqah, tasawuf, tafsir, nahu, saraf dan lain2.Bagaimana pun yang jelasnya, Tukku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawwuf dan ilmu tareqat. Malah beliau ada mengarang kitab dan risalah mengenai persoalan kerohanian.Setelah lebih 10 tahun di Makkah, Tukku Paloh pulang sebagai seorang ulama besar.

Beliau seorang yang warak dan terkenal sebagaipemimpin kerohanian yang mengembangkan Tareqat Naqsyabandiah. Sepulangnya dari Makkah, Tukku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ini merupakan langkah awal beliau berkhidmat kepada orang ramai sebelum melangkah kepada kegiatan yang lebih mencabar, bukan saja dalam bidang pengajaran ilmu tetapi juga dalam bidang pentadbiran, pemerintahan dan jihadnya menentang mungkar dan penjajah British.

Tokku Paloh adalah Regu Sultan Zainal Abidin III – Sultan yang berketurunan orang soleh kerana Sultan Zainal Abidin I berkahwin dengan anak Tok Pulau Manis, bermakna keturunan Kesultanan Terengganu sekarang bercampur darah ulama sufi / wali Allah tersebut. Seperti juga ayahnya, Tukku Paloh seorang yang sangat berpengaruh di kalangan istana dan menjadi tempat rujuk sultan. Malah perlantikan sultan itu sendiri mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh Tukku Paloh di kalangan istana, yang diwarisi daripada ayahnya Sayid Muhammmad bin Zainal Abidin yang terkenal dengan panggilan Tukku Tuan Besar, juga merupakan tokoh agama yang amat terkenal dan pengarang kepada lebih kurang 16 buah buku agama dan nazam.Hubungan Tukku Paloh dengan Sultan ini boleh disamakan dengan hubungan antara Sultan Zainal Abidin I [memerintah 1725-1734] dengan seorang lagi ulama besar Terengganu, Syeikh Abdul Malik bin Abdullah.

Ulama yang terkenal dengan gelaran Tuk Pulau Manis ini juga dikenali sebagai wali Allah dan banyak mengarang kitab. Sebagai Syeikh Ulama dan mufti, Tuk Pulau Manis amat berpengaruh di kalangan istana dan dikatakan bertanggungjawab atas pertabalan Sultan Zainal Abidin I yang kemudian menjadi menantu beliau.Menyedari peri pentingnya pemerintahan raja yang adil yang berlunaskan hukum2 Allah s.w.t. Tukku Paloh bersama Sayid Abdullah [menteri besar ketika itu] mengetuai sokongan terhadap perlantikan Tengku Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu menggantikan Sultan Ahmad Shah II [memerintah 1876-1881]. Sokongan dua orang yang berpengaruh ini sungguh berkesan sehingga Sultan Zainal Abidin kekal sebagai raja yang berjaya menegakkan pemerintahan yang kukuh dan bermaruah walaupun usianya ketika memegang tampuk pemerintahan negeri baru 16 tahun. Kejayaan baginda itu adalah berkat mendampingi serta menerima keputusan ulama. Baginda memerintah selama kira2 36 tahun 11 bulan hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1918.


Kapal Armada British Senget!!

Rundingan pertama yang dijadualkan berlangsung di atas armada British terpaksa dibatalkan oleh British kerana dikatakan kapal armada itu beberapa kali senget apabila Tukku Paloh menyengetkan serbannya. Ini menakutkan wakil2 British yang menganggap kejadian itu satu sihir atau silap mata, sedangkan yang sebenarnya adalah karamah kurniaan Allah kepada Tukku Paloh.Ekoran itu, rundingan diadakan juga pada waktu lain dan kali ini di rumah Tukku Paloh. Untuk itu Tukku Paloh meminjam beberapa buah kerusi bagi meraikan orang putih yang tidak pandai duduk bersila itu. dengan duduk di atas kerusi, rundingan berjalan dengan panjang lebar dan antara lain wakil British memaklumkan bahawa pihaknya ingin mendapatkan tanah Terengganu dengan alasan membantu membangunkan dan memajukan negeri Terengganu.Dengan kata lain, dalam rundingan itu seolah2nya British hendak membantu memajukan Terengganu. Negeri Terengganu ketika itu berpenduduk sekitar 10,000 orang, kebanyakkannya bekerja sebagai nelayan, tukang dan petani. Mereka diakui oleh Clifford sebagai “orang Melayu yang paling pandai dan paling rajin di Semenanjung Tanah Melayu”.Tukku Paloh mempunyai pandangan yang jauh dan dapat membaca niat jahat wakil British yang mahu menguasai negeri Terengganu dan seterusnya menjajah. Lalu dengan selamba Tukku menjawab segala kehendak wakil British itu dengan penuh sindiran tanpa sedikit pun terpengaruh dengan ‘gula2’ yang diumpan oleh orang2 putih itu.

Dalam pertemuan inilah berlakunya kerusi yang diduduki oleh wakil2 British itu melekat seketika di punggung mereka seperti telah diceritakan pada awal tulisan ini.Wakil2 British itu pulang dari rumah Tukku Paloh dengan hati yang berang bercampur takut akan kelebihan yang ada pada Tukku Paloh. Mereka gagal sama sekali untuk menguasai Terengganu menerusi diplomasi.Tidak berapa lama selepas itu, beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang
amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.Orang ramai menjadi gempar dan cemas dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tukku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tukku Paloh dan bersama orang2 kanannya termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Syeikh Ibrahim dan Tuk Kelam serta pengikut2nya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan itu berjalan siang dan malam.Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan angkatan perang British itu nampak ‘beribu2’ pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari.Demikian kehebatan perjuangan Tukku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan takwa yang kukuh pada diri Tukku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan.


Amalan Tareqat dan Syahadat Tukku

Selaku pembawa amalan Tareqat Naqsyabandiah, Tukku Paloh terkenal sebagai orang yang kuat mengamalkan zikir2 yang disusun oleh Syeikh Bahauddin, Syeikhul Tareqat Naqsyabandiah yang susur galurnya sampai kepada Sayidina Abu Bakar As Siddiq [makam Syeikh Bahauddin terdapat di Uzbekistan]. Begitu pula dengan amalan ibadah yang asas seperti sembahyang, puasa dan membaca Al Quran dan lain2 amalan sunat. Dengan kata lain Tukku Paloh sangat warak dan berhalus dalam beribadah.Selain mengamalkan zikir
Tareqat Naqsyabandiah secara istiqamah, Tukku Paloh juga mengamalkan dan
mengembangkan amalan yang disusun oleh ayahnya iaitu ‘Syahadat Tukku’.

Amalan ini terus popular dan hingga kini masih diamalkan di banyak tempat di negeri Terengganu secara berjemaah dan bersendirian.Syahadat Tukku ini diwariskan kepada murid2nya. Pengikut kanan beliau Haji Abdul Rahman Limbong mengembangkan amalan ini kepada murid2 dan anak cucunya pula. Ini diakui oleh Pak Cik Ali Haji Yusof, cicit Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berkata, “Saya dapat mengamalkan syahadat ini semasa datuk [menantu Haji Abdul Rahman Limbong] dan ayah saya lagi.”Menurut beliau, amalan itu masih kekal sebagaimana dilakukan pada zaman Haji Abdul Rahman Limbong iaitu bermula dengan ratib Al Hadad dan diakhiri dengan Syahadat Tukku, sekali-sekala disusuli dengan burdah pula.


Syahadat Tukku dituduh SESAT!

Amalan Syahadat Tukku ini pernah menjadi kontroversi apabila salah seorang pembawa amalan ini dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh sesat. Peristiwa ini berlaku kepada Tuan Hj. Hussein Hj. Mat yang mengembangkan amalan ini di Kampung Gong Ubi Keling, Besut di mana dalam masa yang singkat saja sudah meriah dengan ramai pengikut.Tuan Hj.Hussein tidak menolak kemungkinan tidakan yang dikenakan ke atas dirinya itu didorong oleh iri hati dan hasad dengki orang2 tertentu kerana surau yang baru beliau bangunkan lebih meriah berbanding dengan surau2 lain. Mereka mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas beliau atas alasan yang batil dan fitnah.

Mengenang peristiwa pahit yang berlaku pada sekitartahun1950 itu, Hj. Hussein bercerita :“Hampir seribu orang yang berada di Mahkamah Kadhi Besut untuk mendengar keputusan perbicaraan saya yang dituduh sesat kerana mengamalkan Syahadat Tukku ini.”Orang ramai nampak cemas kerana peristiwa ini besar dan kali pertama berlaku di Besut. Menurut Hj. Hussein sewaktu perbicaraan, beliau disuruh membaca segala amalan yang diamalkannya selama ini. “Saya pun membaca habis satu persatu bermula dengan ratib Al Hadad, Burdah dan akhirnya Syahadat Tukku. Selesai saya membaca semuanya, Hakim Cik Awing yang juga Kadhi Besut itu berkata ; ‘Apa yang Tuan Hj. baca itu ada pada saya.’“Rupa2nya Tuan Hakim Cik Awing juga mengamalkan ratib Al Hadad dan Syahadat Tukku.“Kemudian saya dibebaskan tanpa sebarang tindakan yang dikenakan malah nampaknya tuan hakim itu pula yang seolah2nya mengalakkan amalan ini diteruskan. Mendengarkan keputusan yang benar itu maka orang ramai di luar mahkamah turut bersyukur dan ada yang menitiskan air mata gembira,” cerita Hj. Hussein lagi.

Sehingga kini Hj. Hussein terus mengamalkan Syahadat Tukku bersama2 sahabat2nya, amalan pada setengah orang jahil dikatakan ‘syhadat tambahan’.Syahadat Tukku yang disusun oleh wali Allah itu terus popular di kalangan orang yang arif di banyak tempat dalam negeri Terengganu. Amalan yang menjelaskan unsur2 tauhid dan pembersihan hati yang amat diperlukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, ALLAH SWT.

Petikan blog SUARAKU

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.