AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Wednesday, August 24, 2011

ILMU MENGENAL ALLAH (MAKRIFATULLAH)

KALIMAH TAUHID  ‘    LA'ILAHA'ILLALLAH

    Kalimah LA'ILAHA'ILLALLAH sebenarnya ialah kalimah tauhid iaitu kalimah mengESA akan Allah.   Hakikat kalimah ialah menyata akan Allah.  Bagaimana hendak menyata akan Allah?  Sedangkan bila diucapkan kalimah itu tidak mengandungi intipatinya dan kemahuan kalimah itu sendiri, tanpa ada rukun dan syaratnya.

   Melafazkan kalimah itu sah dengan tiga rukun, iaitu pertama lafaz di lidah, kedua tasdik dihati dan ketiga laku dengan perbuatan.
    Lafaz di lidah, siapa-siapa pun tahu dan dapat melafazkan dengan lidah atau mulut, kecuali orang-orang bisu. Laku dengan perbuatan, iaitu menunaikan tuntutan kalimah itu sendiri (insyallah akan diterangkan di bab-bab yang akan datang).
    Tasdik dihati, (disinilah yang akan diperbincangkan dengan panjang lebar, kerana disinilah matlamat dan hakikatnya kalimah).  Apakah yang dimaksudkan dengan tasdik dihati?  Benarkah sebagaimana kefahaman kebanyakan umat Islam kini, yang dimaksudkan tasdik dihati itu menterjemahkan atau mengalih bahasakan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu (Jawi)?  Benarkan tasdik itu TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH?
    Maksud sebenar tasdik dihati itu ialah membenarkan dihati, yang terkandung didalamnya nafi dan isbat, bukanlah dengan mengalih bahasakan atau menterjemahkan bahasa.  Sekiranya benar seperti apa yang difahamkan oleh kebanyakan umat Islam kini, iaitu menterjemahkannya, bagaimana pula bangsa Arab sendiri yang melafazkan kalimah, dan bagaimana pula mereka hendak mentasdikkan dihati?  Sedangkan kalimah itu bahasa Arab, apa pula yang hendak diterjemahkan oleh bangsa Arab?
    Mithalnya  kita yang berbangsa Melayu, apabila kita sebut "ayam makan padi" apa pula yang hendak kita terjemahkannya atau hendak di alih bahasakannya?  Sedangkan kita sudah faham dengan perkataan tersebut.  Begitulah juga dengan bangsa Arab yang menyebut " LA'ILAHA'ILLALLAH " yang sudah pun mereka faham maksudnya, dengan apa pula yang hendak mereka tasdikkan?.
    Rukun syahadah yang tiga seperti yang tersebut diatas, bukanlah sahaja tertakluk kepada bangsa Melayu atau selain dari bangsa Arab, malahan rukun yang tiga itu tertakluk kepada sesiapa sahaja yang mengaku beragama Islam.  Tidak tahulah pula kalau-kalau ada petua yang mengatakan rukun syahadah yang  tiga itu, dua kepada bangsa arab dan tiga kepada selain dari bangsa arab?.
    Maksud sebenar apa yang dikatakan tasdik di hati itu bukanlah alih bahasa, tetapi membenarkan dihati.  Tidak sah kalimah jikalau sekadar alih bahasa.  Kebanyakan orang-orang Islam pada hari ini nafi berhala (tok kong) dan isbat tuhan (Allah) kerana ekoran dari terjemahan atau alih bahasa tersebut.  Sayugia diingatkan tidak sah kalimah seseorang itu jika beliau nafi berhala (tok kong), kerana berhala itu tidak ada langsung sifat-sifat ketuhanan dan alangkah lekehnya jika diperbandingkan berhala untuk dinafikan dengan ZAT Allah swt.
    Pada hakikatnya lafaz dilidah dan laku dengan perbuatan itu sendiri tersimpul didalam tasdik dihati.  Jadi tasdik dihati itu mengambil peranan penting didalam mengesahkan kalimah tauhid.  Salah tasdik, nauuzbillah, berkecailah  kalimah itu, tidak sah kalimah, tidak sah Islam.
    Jadi bagaimana pula kalimah tauhid itu hendak dijadikan kalimah mengESA?  Iaitu dengan mengetahui syarat dan rukun tasdik itu, iaitu NAFI dan ISBAT.  Nafi itu maksudnya menolak dan Isbat itu maksudnya menerima.   Apakah yang kita hendak nafi dan apa pula yang hendak kita isbat?  Sebenarnya kita nafi HAK MAKHLUK dan isbat HAK ALLAH.  Kita nafikan apa yang berlaku di makhluk itu bukan HAK MAKHLUK, dan kita isbatkan barang apa yang berlaku di makhluk itu HAK ALLAH.  

Dalil firman Maksudnya;
 "Padahal Allahlah yang menjadikan/menciptakan   kamu dan segala perbuatan kamu  “ 
(Al Shaffat: 96).  

Kesimpulan dalil naqli diatas ialah, Allah menegaskan bahawasanya DIA (Allah) menjadikan kita dan segala apa yang kita lakukan, yakni segala apa yang tengah dok jadi.
    Kesimpulannya, kita nafikan yang dalam (tengah dok jadi) itu bukan HAK KITA (MAKHLUK) dan kita isbatkan yang dalam (tengah dok jadi) itu adalah HAK ALLAH.  Terutamanya pada sifat maani yang tujuh, yang dalam proses (tengah dok jadi) di kita itu bukan HAK KITA (MAKHLUK), tapi HAK ALLAH, yang berlaku itu hanya lalu atau terupa sahaja dikita, sedangkan pada hakikatnya kita pun tidak ada, hanya tengah dok jadi.
    Itulah sebabnya jikalau kita perasan atau dakwa yang berlaku di kita itu HAK kita, wajib kena atas syirik.  Bukan setakat meletakkan pada diri kita sahaja, tapi kena meletakkan nafi dan isbat (kalimah) itu pada tiap-tiap sesuatu, setiap waktu dan setiap ketika, baharulah sebenar ESA (bukan satu).  Matlamat yang kita nafi dimakhluk dan isbat di makhluk, kerana makhluklah yang menyata akan Allah (NYATA ALLAH) yang tidak nyata.  Dengan itu hakikat kalimah ialah untuk mengESA akan Allah.
    Setelah TIADA HAK MAKHLUK MELAINKAN HAK ALLAH sentiasa, diamalkan pula TIADA LAIN MELAINKAN ALLAH, maksud LAIN itu ialah  tiada yang lain  yang berlaku dimakhluk itu melainkan ALLAH.  Setelah sentiasa amalkan pula TIADA YANG NYATA MELAINKAN ALLAH, selepas itu TIADA YANG ADA MELAINKAN ALLAH (La maujud bilhak illallah).  Tiada yang ada melainkan ada, yang ada pada mata kasar ini,  ada yang tak sebenar.  Yang ada sebenar hanyalah Allah sahaja.  Sebab apa dikatakan yang lain itu ada tidak sebenar? , sebab ada yang lain itu hanya dalam proses kejadian (tengah dok jadi).  Yang ada sebenar hanyalah Allah (Ujud yang  mutlak).

   Akhir sekali, apabila tiada yang lain melainkan Allah, tiada yang nyata melainkan Allah, dan apabila Allah sudah nyata sentiasa, maka tidak perlulah lagi berkalam.  Sebab itu mengakhiri kalam, tidak berkalam, tapi duduk didalam.  Maksud duduk didalam ialah, tiada pelihat aku, tiada mendengar aku, tiada gerak diam aku dsbnya melainkan Allah.  Maksudnya kita sudahpun duduk didalam kalimah.
    Jadi untuk memahami kedudukan kita ini, kenalah tahu dan faham, itulah yang dikatakan ilmu, dan ilmu itulah yang memainkan peranan penting, tersalah ilmu yang dituntut tidak kekal dan tidak bertemulah dengan IKTIKAD yang HAK atau iktikad yang sebenar.
    "Faklam annahu  LA'ILAHA'ILLALLAH" ertinya, ketahuilah olehmu  LA'ILAHA'ILLALLAH.  Disuruhnya kita tahu kalimah itu, hendak tahu pasti dengan ilmu (Ilmu Maarifat), sebab itu didalam satu petikan hadith berbunyi "Kalau hendak selamat dunia dan akhirat hendaklah duduk didalam kota".  Maksud kota di sini ialah kalimah  LA'ILAHA'ILLALLAH.  Dengan itu kenalah kita meletakkan kalimah pada tiap-tiap sesuatu, tidak bercerai dan tidak bersekutu, tiada hak makhluk (ini yang ada ini?) HAK ALLAH.  Kita nafi hak makhluk bukan nafi makhluk, kalau kita nafi makhluk, dimana hendak nyata Allah?
    Jikalau nafi makhluk atau berhala (tok pekong) tidak sah.  Nafi berhala (tok pekong) sah pada mualaf yang baharu sahaja, kalau sudah lama Islam tidak sah nafi berhala.  Jikalau nafi berhala juga maka terbatal nafi.  Dikiaskan pada cerita bahtera Nabi Noh, iaitu berpasang-pasang masuk kedalam bahtera itu dikiaskan kepada nafi dan isbat, supaya tidak tenggelam didalam air, dikiaskan kepada api neraka.  Maksudnya apabila ada nafi dan isbat yang sebenar, tidaklah tenggelam didalam api neraka.
    Jadi hendak cari Tuhan kena  cari  dimakhluk, sebab itu kena kenal makhluk habis-habis.  Perumpamaannya; hendak jadi dodol (wajik) kenalah gaul (kacau) santan, gula dan tepong didalam kuali sehingga jadi dodol (wajik).  Dan apabila hendak cari dodol (wajik), kenalah cari disantan, gula dan tepong. Tapi bagi orang-orang syariat duduk kuis buang santan, gula dan tepong, akhirnya tinggallah kuali kosong, dapat kuali panas sahajalah, apa hasil pun tidak ada.
    Dari sebuah hadis Rasullallah saw, "Lemah pendapat akan mendapat, lalu mendapat."  Maksudnya bagi orang-orang syariat,lemah hendak mencari Tuhan tidak dapat-dapat, duduk dapat makhluk, lain daripada makhluk itulah Tuhan, dapat Tuhan tidak tahu dimana?.  Apabila tidak tahu dimana, kenalah atas baharu, baharu jadi Tuhan.  Bagi orang-orang hakikat, lemah hendak mencari hak makhluk tidak dapat-dapat, yang duduk dapat hak Allah.  Dapat dimana?.  Meliputi tiap-tiap sesuatu.  Kita kenalah meletakkan kalimah pada tiap-tiap sesuatu, apabila kita pandang tiap-tiap sesuatu itulah kalimah.  Sebab tiap-tiap sesuatu itu bertepi, tepi kena bertempoh dengan kuasa dan kuasa ada diri kuasa iaitu ZAT.  Maka nyatalah kalimah yang tidak berhuruf dan bersuara dan bukanlah kalimah yang dialih bahasakan, yang berhuruf dan bersuara.  Maka nyatalah kalimah yang  tidak berhuruf dan tidak bersuara, itulah sebenar- benar kalimah.  Tujuan dan matlamat sebenar kalimah ialah untuk menyatakan Allah.  Maka nyatalah sungguh Allah itu.

   Sebenarnya  kalimah LA itu ertinya tiada, tiada dimana?  Maksudnya tiada yang duduk berlaku dimakhluk.  Yang duduk berlaku di makhluk itu HAK ALLAH bukan HAK MAKHLUK.  TIADA HAK MAKHLUK MELAINKAN HAK ALLAH. LA ertinya tiada tetapi sebenarnya ada (Tidak ada hak makhluk, yang ada hanya hak Allah).  Bila disebut  LA, sudahpun ada Tuhan, bukan seperti sesetengah fahaman orang-orang syariat, iaitu laillah itu tiada Tuhan, illallah baru ada Tuhan.  LA itu datang dari mana?  Adakah LA itu hak makhluk? Tidak ada, yang ada HAK ALLAH. Tiada yang lain yang duduk berlaku itu, melainkan Allah.  Akhir sekali tiada yang ada melainkan Allah.  Jadi barulah bertepatan yang kalimah itu cukup luas.  Tujuh petala langit dan tujuh petala bumi terkandung didalam kalimah  LA'ILAHA'ILLALLAH..  Tiada HAK tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, melainkan HAK ALLAH.
    Amanah Allah kepada kita, datang suci kembali suci.  Semasa di alam ROH suci, sedikit pun tidak ada syirik, sebab duduk nyata Allah sentiasa, tetapi setelah datang ke alam zahir (dunia) ini terdinding, sudah pun syirik, tidak suci lagi.  Petikan dari sebuah hadis Rasullallah saw, dari Abu Hurairah, "Apabila diberi Amanah mereka khianati" (S.M.).  Apa dia amanah yang dimaksudkan?  Jawabnya ialah dari suci hendaklah kembali suci.  Mestilah nyata Allah sentiasa pada tiap-tiap sesuatu.  Inilah amanah yang paling berat, yang tidak disanggupi oleh makhluk-makhluk jenis lain, melainkan manusia.
   Agama itu suruh dan tegah, disuruh mentauhid akan Allah dan ditegah daripada mensyirik akan Allah.  Tidak sempurna agama itu jikalau ada syirik walau sebesar zarah sekalipun.  Kita dikira orang salik (sedang berjalan) belum pun sampai lagi, sebab itu kadang-kadang kita terlalai dan terlupa.  Apabila sampai baharulah Allah kata, "Pada hari ini aku sempurnakan kamu akan agama kamu".
    Orang-orang yang tidak beriman menyangka, apabila Allah memberi mereka dengan rezeki yang banyak, Allah sayang pada mereka, mereka lalai da leka dengan rezeki itu.  Pada hal Allah memberi rezeki itu dengan kemurkaannya .  Seperti ibarat didalam satu kisah Nabi Daud, iaitu kisah monyet salah sangka terhadap Nabi Daud.  Monyet sangka Nabi Daud membaling sekerat tebu padanya itu Nabi Daud suka padanya, kerana monyet itu tidak susah payah pergi mematahkan tebu-tebu lain.  Monyet tidak tahu sebenarnya Nabi Daud baling tebu padanya sebab Nabi Daud marah padanya.  Jadi monyet itu salah sangka terhadap Nabi Daud.  Begitulah salah sangka  orang-orang yang tidak beriman.

MUDAH-MUDAHAN BERMANFAAT INSYALLAH

*PERLU BERGURU JIKA INGIN MENDALAMI ILMU INI,SEKADAR RUJUKAN SAHAJA DAN PENGENALAN BAGI YANG TIDAK PERNAH MENGETAHUI TENTANG ILMU MENGENAL ALLAH INI...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.