AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Thursday, February 16, 2012

WASIAT ISKANDAR MUDA MAHKOTA ALAM

wasiat baginda Sultan Acheh Darussalam
......., dan lagi Raja-raja hendaklah mengamalkan 8 perkara.
Pertama, hendaklah selalu ingat akan Allah dan meneguhi janji dengan sekalian Wazir-wazir dan Menteri Hulubalang dan sekalian pegawai dan dengan sekalian rakyat.
Kedua, janganlah Raja-raja menghinakan Alim-Ulama dan yang ahli akal bijaksana.
Ketiga, segala yang datang dari pihak musuh daripada seterunya jangan sekali-kali raja percaya.
Keempat, hendaklah raja memperbanyak alat senjata dan membeli kesayangan rakyat dan wazir Sipahi (tentera), supaya jauhlah musuh raja, sebab ada yang menghalaukan dengan sayang.
Kelima, hendaklah raja menurun tangan, yakni murah. Hendaklah mengingat kesetiaan rakyat, wazir dan Alim-Ulama dan sekalian Sipahi dengan membalas jasanya masing-masing dengan tertib.
Keenam, hendaklah raja menjalankan hukum dengan hukum Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Iaitu seperti yang telah tetap di dalam Qanun Al-Asyi Darussalam; Pertama Al-Qur'an, Kedua Al-Hadis, ketiga Ijma', keempat Qias, maka....... keluar daripada itu pun empat perkara: Pertama hukum, kedua adat, ketiga qanun, keempat resam.
Ketujuh, janganlah raja-raja itu duduk dengan orang yang jahat budi dan jahil.
Kedelapan, hendaklah raja-raja itu memeliharakan hati orang yang berbuat baik kepada raja dan kepada negeri dan kepada rakyat. Maka hendaklah raja memandang kepadanya serta memaniskan muka raja memandang mereka itu senantiasa senang hati, kerana ia banyak kebaktian kepada raja.
Hendaklah raja itu memeriksa sekalian wazir-wazir dan Hulubalang dan segala orang yang jahat dan durhaka dan tiada ia mengikut Qanun kerajaan. Dan tiap-tiap yang salah itu hendaklah dihukum dengan tertib menurut kesalahan dosa yang diperbuat, sesudah diperiksa dengan sehalus-halusnya, supaya jangan zalim menjatuhkan hukum.
Dan demikian lagi raja-raja hendaklah senantiasa ia memandang sekalian ulama dan bermesyuarat dengan Alim-Ulama dan mendengar nasihat ulama. Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri dari bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak, iaitu ulama-ulama yang suka memuji-muji raja dan maghzul*kan dia dan mengharap minta keridhaan raja. maka ulama itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membikin huru-hara negeri dan yang memecah-belah rakyat, seperti dajjal...............
* Maghzul = kata-kata lucah-cabul tentang perempuan, yang diucapkan ketika senda gurau
Kutipan dari
"Qanun Asyih Darussalam"
 (Peraturan Pemerintahan Acheh)
 di zaman Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1637)