AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Tuesday, August 16, 2011

ISKANDAR MUDA MAHKOTA ALAM : "PAYUNG" ACEH DARUSSALAM


Pasang surut sejarah Kerajaan Aceh telah menunjukkan dengan jelas pengaruh daripada pemimpin-pemimpin mereka. Di bawah pemimpin yang handal, kerajaan itu telah berkembang maju, sebaliknya di bawah pimpinan yang lemah ia telah merosot. Pada tahun 1514, Aceh telah dimerdekakan dari Kerajaan Pedir oleh sultannya yang pertama bernama Ali Mughayat Syah (1514-1528). Ia kemudiannya menakluki Pasai, Pedir dan Daya serta mengalahkan serangan Portugis ke atas Pasai pada tahun 1521. Kemenangan ini telah menyekat perkembangan kuasa Portugis di Sumatera. Sultan Aceh yang ketiga, Alaudin Riayat Syah (1530-1568) bergelar Al-Qahar (Yang Keras) telah mengembangkan kekuasaannya di pantai timur Sumatera iaitu Deli pada tahun 1539 dan Semenanjung tanah Melayu. Orang-orang Portugis di Melaka telah diserangnya beberapa kali iaitu pada tahun 1537, 1574 (ini hampir berjaya), 1551 dan 1568. Baginda juga telah mengadakan perikatan dengan kerajaan-kerajaan Melayu lain serta mendapatkan ubat bedil, meriam dan pakar-pakarnya dari Turki untuk menakluki Melaka. Johor Lama ditakluki pada tahun 1564 dan menawan Sultan Alaudin, Johor kerana menyebelahi Portugis di Melaka. Selepas itu kuasa Aceh mula merosot kerana sultannya lemah. Kekuasaannya muncul semula mencapai zaman kemuncaknya pada masa pemerintahan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636).

Iskandar Muda merupakan seorang pemimpin yang cekap dan kuat. Oleh itu baginda dapat menguasai 73 orang pembesar atau hulubalalang yang memerintah dalam 73 buah mukim di Aceh. Tanpa pimpinan seperti ini, hulubalang-hulubalang ini mungkin berlawan sesama sendiri untuk mendapatkan kekuasaan dalam negeri. Baginda telah melancarkan gerakan penaklukan kerana dua tujuan, pertamanya untuk memepertahankan Islam dengan menentang Portugis di Melaka. Dan keduanya untuk kepentingan ekonomi Aceh dengan menguasai perniagaan lada hitam di Sumatera.

Sebagai seorang pemimpin yang realistik, Iskandar Muda sedar bahawa baginda mesti memperkuatkan ekonominya supaya boleh terus berjihad untuk Islam dengan menentang Portugis. Untuk tujuan ini baginda telah menjalankan dua strategi.

Pertamanya, berusaha untuk mendapatkan monopoli perniagaan lada hitam dan timah di bahagian barat Kepulauan Melayu. Oleh hal yang demikian, baginda telah menakluki Indragiri, Tiku, Periaman dan Indrapura bagi menguasai pengeluaran lada hitam di situ. Tiap-tiap tahun baginda menghantar angkatan lautnya untuk memungut setengah daripada pengeluaran lada hitam di Tiku dan Periaman. Baginda memerintahkan supaya pokok-pokok lada hitam di Kedah ditebang dalam tahun 1620. Perniagaan bahan itu dijadikan monopoli kerajaan dan menaikkan cukai ke atasnya di jajahan takluk Aceh (misalnya 22 peratus di Tiku dan Periaman pada tahun 1628). Iskandar Muda juga membawa orang-orang tawanan ke Aceh untuk menambah pekerja bagi mengeluarkan hasil tersebut. Misalnya, pada tahun 1620, baginda memindahkan 5,000 orang dari Perak ke Aceh untuk tujuan ini. Baginda menakluki Kedah (1619) dan Perak (1620) untuk menguasai perniagaan bijih timah.

Keduanya, Iskandar Muda mengadakan suasana perniagaan yang baik dengan mengenakan cukai hanya 10 peratus yang jauh lebih rendah daripada cukai di Melaka dan Betawi. Oleh sebab itu ramai peniaga dari India, China dan Jawa datang ke situ.

Dalam usahanya mengembangkan agama Islam, Iskandar Muda telah menjalankan lima (5) dasar:

Pertama, menggalakkan pertumbuhan ulama-ulama Islam di Aceh dengan menjadi penaung kepada mereka. Ulama-ulama ini juga dijadikan penasihatnya, misalnya, Syamsuddin As-Sumaterani pernah menjadi menteri di Aceh. Ulama-ulama lain yang masyhur ketika itu ialah Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Mereka inilah yang mengarang kitab-kitab agama Islam dalam bahasa Melayu yang masih lagi dibaca dan mempengaruhi orang-orang Melayu.

Kedua, membatalkan adat-adat zalim yang dipusakai dari zaman Hindu seperti saksi-saksi dikehendaki mencelurkan tangan ke dalam minyak panas atau menjilat besi panas untuk menguji kebenaran kenyataan mereka. Ini digantikannya dengan hukum-hukum Islam yang dikuatkuasakan di dalam negerinya. Adat-adat yang sesuai dengan Islam terus diguna dan dipraktikkan.

Ketiga, menghantar pendakwah-pendakwah Islam ke negeri-negeri yang bukan Islam seperti Batak yang telah ditaklukinya. Ini merupakan satu jasa besar yang dilakukan oleh Iskandar Muda.

Keempat, ia memberi keutamaan kepada peniaga-peniaga Islam seperti pedagang Arab dan Gujarat daripada pedagang-pedagang Belanda dan Inggeris. Oleh sebab itulah ia menaikkan cukai kastam ke atas perniagaan kedua-dua bangsa Barat itu untuk menyekat mereka daripada berniaga di situ. Oleh sebab itu Inggeris telah meninggalkan Tiku pada tahun 1618 dan Aceh pada tahun 1630. Belanda pula meninggalkan Aceh pada 1623. Belanda telah menghantar utusan meminta syarat perniagaan yang lebih baik dan bantuan untuk menentang Portugis tetapi ditolak oleh Iskandar Muda. Orang-orang Aceh tidak berniaga kerana mereka merupakan pentadbir dan perajurit. Dengan mengenakan cukai 10 peratus ke atas perniagaan eksport, Iskandar Muda mempunyai wang yang cukup untuk membiayai tentera yang besar. Aceh mempunyai 236 buah kapal dengan 20,000 tentera ketika menyerang Melaka pada tahun 1629.

Kelima, kekuatan tentera yang ada padanya membolehkan ia menyerang Portugis di Melaka dan Johor yang selalu berpihak kepadanya. Aceh menyerang Portugis pada tahun 1616, 1627 dan 1629, dengan tenteranya seramai lebih kurang 20,000 orang. Tetapi usaha ini gagal kerana kelemahan teknologi peperangannya seperti kerajaan-kerajaan Melayu yang lain juga. Bagaimanapun, ia selalu menang apabila berlawan dengan negeri-negeri Melayu seperti penaklukan ke atas Johor pada tahun 1613 dan 1615, dan Pahang pada tahun 1618 kerana masing-masing mempunyai teknologi yang setanding.

Meskipun mempunyai minat yang besar dan mendalam untuk mengembangkan kekuasaannya, Iskandar Muda sedar bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk mengalahkan kerajaan yang kuat seperti Banten yang menguasai Sumatera Selatan. Oleh itu baginda tidak berusaha meluaskan jajahannya ke daerah itu dan ini merupakan satu tindakan yang bijak.

Iskandar Muda kuat memegang ajaran Islam sehingga anak sulungnya sendiri dihukum bunuh kerana berbuat zalim. Baginda pula keberatan untuk melantik penggantinya (anak angkatnya) – Iskandar Thani – putera Sultan Ahmad Syah, Pahang, kerana baginda adalah seorang yangadil dan berbudi pekerti yang baik.

Iskandar Muda telah mengatur pentadbiran kerajaannya dengan baik seperti yang tercatat dalam Kanun Aceh Darussalam. Setiap kampung selain daripada mempunyai masjid dan surau, harus ada sebuah madrasah yang ada guru-guru mengajar agama Islam. Kampung-kampung ini diketuai oleh seorang yang bergelar imam. Kumpulan beberapa buah kampung dinamakan mukim dengan mempunyai sebuah masjid besar. Satu mukim diketuai oleh seorang hulubalang kecil. Terdapat 73 buah mukim di Aceh. Kumpulan daripada beberapa buah mukim ini dinamakan ´sagi´ dan diketuai pula oleh seorang yang bergelar hulubalang besar.

Pentadbiran dan undang-undang negeri yang dijalankan oleh Sultan dibantu oleh Wazir Sultan, Perdana Menteri dan Kadi Malikul Adil dengan empat orang Mufti. Balai Laksamana mengetuai tentera laut dan darat. Menteri Dirham menjadi menteri kewangan yang mengendalikan Baitulmal dan bertanggungjawab terus kepada Sultan.

Terdapat tiga buah badan untuk menjalankan dasar-dasar pentadbiran negara (kerajaan):
1. Balairung yang terdiri daripada empat orang hulubalang terbesar Aceh.
2. Balai Gading yang terdiri daripada dua orang ulama besar.
3. Balai Majlis Mahkamah Rakyat yang terdiri daripada 73 orang wakil dari 73 buah mukim di Aceh termasuk sembilan orang wakil wanita.

Badan ini (Balai Majlis Mahkamah Rakyat) ditubuhkan oleh Iskandar Muda pada tahun 1622 yang tugasnya adalah:

“Ia berhak mengurus hal negeri dan mengurus rakyat sempurna, supaya rakyat dapat senang hidup dan dapat banyak hasil, makmur dan aman dan menjaga huru-hara negeri dan ditimbang sekalian pekerjaan utusan rakyat besar dan kecil, Timur dan Barat, gunung dan baruh dan mengerjakan perbuatan-kebenaran dan keadilan supaya aman negeri dan taat rakyat.”

Iskandar Muda telah berutus surat kepada Sultan Turki dan King James di England sebagai raja yang setaraf dengannya.

Dengan kemangkatannya pada 1636, kebesaran Aceh masih dapat dipertahankan oleh Iskandar Thani. Bagaimanapun selepas kemangkatan Iskandar Thani pada 1641 dan kejatuhan Melaka ke tangan Belanda, kuasa Aceh pun merosot seterusnya kerana tidak ada raja yang berperibadi besar seperti Iskandar Muda untuk mengemudikan bahtera negara itu.

---------------------------------------------------------------------
SUMBER : YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA
--------------------------------------------------------------------=

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.