AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Tuesday, September 6, 2011

TUAN GURU YANG BULLSHIT, GUNDUS DAN DUNGUS

Tulisan Pak Habib

15hb. September 2008, bersamaan hari ke-15 bulan Ramadan 1429, saya duduk seorang diri di atas sebuah batu di pinggir anak sungai bersebelahan rumah saya di Wadi Hussein, Janda Baik, Bentong Pahang. Sambil memerhatikan air yang mengalir jernih di celah batu-batu, tiba-tiba pemikiran saya hidup seperti gemercik kilauan intan pada batu yang menghasilkan irama melodi alam. Saya mengucap syukur pada Tuhan. Sungai mengikut Al-Quran adalah gambaran syurga di mana air mengalir di bawahnya.

Saya teringat pemuzik terkemuka Jepun, Kitaro yang mencari ilham di tepian sungai untuk mencipta lagu. Leonardo da Vinci, pelukis agung Zaman Renaissance yang melukis lukisan potret Mona Lisa juga selalu menjadikan sungai sebagai tempat untuk mencari ilham. Tak percaya? Cuba lihat gambar lukisan Mona Lisa di Internet, tengok betul-betul. Di belakang sana ada sebuah jambatan yang merentangi sebatang sungai. Kata Leonardo da Vinci mengenai sungai: "Apabila kamu menyentuh permukaan sungai dengan tanganmu, maka kamu menyentuh titisan terakhir yang telah pergi sebelumnya dan titisan pertama yang bakal datang."

‘Malam ke-17 Ramadan ialah malam di mana Allah SWT menurunkan Al-Quran Nur Karim. Al-Quran adalah untuk mereka yang berfikir ‘Le qaumin yatafakkarun’. Al-Quran bukan semboyan, bukan barang mainan, Al-Quran ‘tenaga’, energy force yang ghaib yang menceritakan betapa hebatnya kuasa ‘spiritual’ sehingga Nabi Yunus a.s. yang terbuang ke dalam laut boleh hidup dalam perut ikan paus di dasar laut dengan membaca ‘la illa ha ila anta subhanaka inni kun tu minaz zalimin’ untuk memohon keampunan dari Allah SWT. Kenapa para ‘the so called’ ulama tidak mahu memohon keampunan kerana kesilapan mereka tak terfikir mengenai mukjizat yang terdapat didalam al-Quran?

Sambil merenung, memerhatikan ikan saya terfikir kenapa tidak saya kemukakan idea tentang peri-pentingnya malam Nuzul Quran untuk dikongsi bersama-sama pembaca yang dekat dihati? ‘Wahyu’ dari Allah SWT adalah ‘cahaya’ yang boleh menghilangkan kegelapan. Terlebih dahulu otak manusia yang beku perlu di cairkan.

Bukan mudah dengan satu tulisan boleh mengubah minda pembaca yang menghafal Quran untuk menerima apa yang tersirat disebalik ayat-ayat Tuhan. Apakah kita masih mempunyai ‘murabbi’ seperti Tok Kenali atau Sheikh Said Linggi ‘karamah’ yang makamnya tinggi?

Al-Quran adalah ‘wahyu’ yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail untuk manusia yang hatinya telah diberi ‘hidayah’. Mereka yang yakin kepada kebesaran dan kekuasaan ‘Allah the Almighty’, mereka yang yakin pada ‘ilmullah’, yakin bagaimana Musa a.s. boleh mengalahkan ahli ‘sihir’ Firaun dengan menebang sebatang dahan dari pohon untuk dijadikan tongkat yang boleh bertukar menjadi ular kemudian menelan ular ahli sihir yang akhirnya ahli sihir menerima Musa a.s sebagai Nabi.

Buku yang kita baca pun kita ingin tahu ‘moral of the story’ sama ada fiksyen atau non fiksyen. Apakah di keliling pemimpin yang berlagak macam tuhan tidak menyimpan ahli sihir? Ada Presiden di Indonesia yang simpan hampir 1000 manusia mistik, bomoh, kiai, para-normal yang mengamalkan ilmu hitam, sihir.

Surah ‘Al-ikhlas’memberi petunjuk dari sebelum terciptanya alam hingga dunia kiamat dan kembali ke akhirat. "Hanya Allah SWT saja Tuhan kita. Allah SWT tempat kita meminta. Tiada ianya diberanakkan dan tidak pula ia melahirkan, tiada yang bersekutu dengannya."

Jika kita yakin dengan ‘solat’ dan ‘doa’ serta janji Allah SWT "mohon padaKu dan permohonanmu akan Ku perkenankan", "seek and you shall find, ask and you shall be given" untuk apa meminta selain dari Allah SWT? Akibat kufur nikmat kita fikir Tuhan sudah mati.

Kenapa kepada manusia kita bergantung hidup? Kenapa kita lebih takut pada undang-undang manusia dari undang-undang Allah SWT kalau kita beriman? Yang kita baca itu ‘Al-Quran’ atau kita baca ‘koran’. Di Indonesia ‘koran’ ertinya akhbar.

Tuhan yang menghidupkan, Tuhan juga yang mematikan, ‘berpantang ajal sebelum maut’ biarpun sudah terjatuh ke dalam laut, termasuk ke dalam perut ikan paus atau dibakar seperti Nabi Ibrahim a.s.. Apakah kita tak nampak ada manusia yang boleh berjalan atas api dan hidup dalam laut? Fikirkanlah.

Sepanjang ingatan saya sudah 51 tahun kita merdeka, bererti sudah 51 kali diadakan sambutan menyambut malam ‘Nuzul Quran’. Tidak nampak ia membawa anjakan paradigma, apa lagi paradigma ‘holistik’. Kita seolah-olah berada dalam ‘minda kontot’. Manusia selaku makhluk yang istimewa, yang dianugerahkan panca indera selain penglihatan, pendengaran, rasa, sentuhan dan perasaan, manusia ada IQ, PQ, EQ, juga SQ. Berapa ramai yang yakin, yang Quran itu Tuhan bercakap dengan kita?

‘Baca’ itu belajar. Orang yang beragama kena tahu ilmu keTuhanan, kerohanian, terutama hati manusia itu apa? Tanya siapa kita? Siapa Tuhan kita? Baca saja Al-Quran tak tahu ‘tauhid’, tak percaya rukun iman seperti adanya ‘syariat’ tak ada ‘hakikat’, sia-sia. Apa untungnya kita membaca ‘surah yassin’ tapi kita tak tahu Tuhan memberitahu orang kafir bahawa Muhammad itu bukan ahli sihir. Al-Quran itu ‘wahyu’ sambungan dari kitab Zabur, Taurat, Injil yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. Islam bukan agama baru untuk Nabi terakhir saja.

Kenalkah kita siapa Nabi Muhammad SAW yang Tuhan utuskan sebagai Al-Quran yang hidup? Muhammad bukan anak Tuhan. Istimewanya Muhammad kerana bersifat ‘maksum’, bersih dari segala dosa. Hendak mengubah ‘minda’ bangsa, kita perlu belajar sejarah terutama sejarah Nabi kita, sejarah para ambia.

Dalam Al-Quran terdapat banyak sejarah. Jika kita ambil iktibar boleh membuka mata hati kita yang terdapat dalam surah al-Kahfi. Beza Musa a.s. dan Khidir yang boleh melihat dengan mata hati membunuh tapi tak berdosa. Macam-macam perkara bermain di kepala mengenai ‘mukjizat’, ‘miracle’ yang terdapat di dalam Al-Quran.

Nabi Sulaiman a.s. boleh dengar suara semut seperti semut yang ada dibawah tanah boleh mendengar suara Nabi Sulaiman a.s. dengan tenteranya yang terdiri dari jin dan manusia. Apakah cara mereka berkomunikasi? Guna gelombang, guna ‘frequency’ atau cahaya nur ilahi? Apakah ilmu ini tidak boleh dipelajari oleh mereka yang berminat mahu membina kerajaan yang menggunakan Al-Quran sebagai undang-undang negara?

Dalam ‘solat’ kita cakap dengan Tuhan tanpa perantaraan. Begitu juga semasa berzikir dan berdoa. Tuhan bercakap dengan kita. Tuhan bukan pekak badak biarpun dunia sudah tua. Allah tahu niat kita. Untuk apa guna pembesar suara yang boleh didengar berkilometer jauhnya? Apakah anda tidak tahu hati menjadi ‘singgah sana’ Allah yang Maha Kuasa.

Tarzan panggil gajah, badak sumbu, beruk, harimau dan binatang dihutan tak guna pembesar suara pun. Mari kita belajar dari orang kampong bagaimana ayam tak perlu dijerit pekik hingga hendak terkeluar anak tekak memekak. Ayam yang sudah biasa tidor dalam reban bila masuk waktu maghrib dengan sendirinya ke reban mereka, begitu juga lembu dan kambing akan masuk kandang.

Buang duit rakyat ‘tax payer’ berjuta ringgit bena mesjid tersergam indah siapa untung, orang politik atau kontraktor? Untuk bermegah-megah atau digunakan setahun sekali sembahyang raya puasa dan raya haji atau sembahyang Jumaat seminggu sekali.

Ingatlah ayam yang biasa tidor di atas pohon, bertelor dan beranak di dalam semak tak kenal reban. Dosa siapa jika bukan mereka yang berkuasa tak tahu menarik anak bangsa ke surau dan mesjid. Air yang keruh di hulu mustahil boleh jernih di hilir.

Mungkin ada pembaca yang terfikir sudah gila ke Pak Habib ini agaknya tiba-tiba mengkritik orang di dalam mesjid? Pelik tapi benar, sepanjang bulan Ramadan sewaktu mengerjakan ‘solat terawih’, pembesar suara digunakan mengganggu jiran tetangga yang berlainan agama hampir di setiap masjid. Alangkah baiknya jika mereka yang mahu orang ‘mengimarahkan’ masjid menggunakan tarikan ‘spiritual’ dan peribadi tokoh yang memimpin masjid seorang ‘murshid’, seorang ‘daie’ dan ‘murabbi’. Orang tertarik kepada Rasulullah SAW kerana akhlaknya, sifat al-amin yang terdapat pada peribadinya. Sudah baca buku ‘Peribadi’ yang ditulis oleh HAMKA? Jangan sekadar baca novel ‘Dibawah Lindungan Ka’abah’ dan ‘Tenggelamnya Kapal Venderwick’, baca juga ‘Tasauf Moden’.

Apakah kita tak percaya Nabi Muhammad SAW Nabi dan Rasul terakhir tapi Allah masih memberikan ‘karamah’ pada para walinya ‘ilmu laduni’ kepada siapa yang disukainya seperti mereka yang mempunyai ‘psychic power’? Islam bukan sekadar agama ‘ritual’. Pada Nabi dan Rasul diberi ‘mukjizat’, pada para wali diberi ‘karamah’.

Kristian, Hindu, Buddha percaya pada ‘Sainthood miracle’ yang menjadikan manusia mempunyai kehebatan luar biasa. Berapa ramai yang terfikir mengenai ‘mukjizat’ Al-Quran memang tak masuk akal pada manusia yang berakal dan sekadar berfikiran analitik atau linguistic saja? Pernahkah anda menggunakan emosional Q ‘EQ’, apa lagi spiritual Q ‘SQ’ dan sosial Q untuk membuktikan kehebatan anda sebagai makhluk Allah yang istimewa?

‘Hablum minannas’ sama pentingnya dengan ‘hablum minanllah’, tanpa disedari mereka telah merosakkan Islam kerana perwatakan yang tidak Islamik, menimbulkan bermcam-macam masalah sedangkan Islam agama yang mudah dianuti dan untuk memudahkan hidup manusia bukan membebankan dan menyusahkan manusia lain. Mereka yang mahu menguasai rumah Allah, yang mahu berdakwah, terlebih dahulu patut menghapuskan sifat ‘mazmumah’ yang masih menebal dalam hati. Inilah dilema Islam, satu produk yang istimewa tapi pembungkusan dan juru jualnya berperangai macam sukuriti dapat wisel, baru pakai uniform.

Ada bermacam-macam keajaiban ‘miracle’, ‘mukjizat’ kepada para Rasul dan Nabi. Nabi Isa a.s. dapat menghidupkan yang mati, menyembuhkan segala macam penyakit, perkara yang sama dilakukan oleh Sheikh Abdul Kadir Jailani dan lain-lain Qutubul Awlia. Nabi Musa a.s. boleh membelah laut menghancurkan seluruh kerajaan Firaun. Kuasa spiritual, aura pada tokoh agama yang ada tarikan magnetik besi berani dimiliki oleh ‘Wali Songo’ di Indonesia dan para Wali Allah di seluruh muka bumi, makam mereka diziarahi ratusan manusai setiap hari.

Dari manakah datangnya ‘ilmu’ itu kalau bukan dari Allah SWT? Ilmu Allah ada di depan mata kita, lidah kata ‘Allah hu akbar’ tapi masih takut dengan orang besar, takut hilang gaji besar, takut kalau kontrak tak disambung tapi tak takut jadi pembohong besar. Hadapkanlah wajahmu ke mana saja disitu ada Tuhanmu. Cuba tengok cicak di siling rumah, tak ada kepak dan sayap masih boleh makan binatang terbang hidup-hidup, tak makan bangkai. Tapi kalau mata hati buta tentulah tak nampak apa-apa. Bila lagi mahu belajar ilmu membuka mata hati supaya dapat terbuka ‘hijab’?

Kalau betul cerita bahawa sesudah Rasulullah SAW wafat, Gibrail akan turun beberapa kali ke dunia diantaranya Al-Quran akan diangkat ke langit, pada akhir zaman, maka cuba menung dan fikirkan kesahihannya. Berapa ramai yang baca saja Al-Quran tapi Islamnya tanpa roh, tanpa semangat keIslaman? Hati perlu Islam, bukan kulit saja Islam.

Apakah anda tak percaya pada yang ghaib? Roh anda ghaib, nyawa anda ghaib, penglihatan, pendengaran, suara semuanya ghaib, mohonlah ‘hidayah’ dari Allah SWT. Apa lagi kalau baca macam kaset, macam kaum ‘orientalis’, tak mengerti apa yang dibaca atau terpengaruh dengan ideoloji mazhab yang kononnya ikut sunnah Nabi, apa yang Nabi tak buat masa hidup ‘bidaah’, apakah solat guna pembesar suara dan azan bukan ‘bidaah’?

Inilah susahnya bila terpengaruh dengan indoktranasi Ibnu Taimiah menuduh mereka dari ‘school of thought’ Ibnu Arabi sebagai sesat dan kafir apa lagi pengisian mengenai ‘Wahadatul Ujud’. Akhirnya Hamzah Fansuri dihukum bunuh kerana Sultan terpengaruh oleh Nuruddi Aranri.

Apakah agama Islam cukup sekadar mengamalkan ‘ritual’ tanpa ilmu pengetahuan mengenai kerohanian spiritual? "Bila diberikan satu kerusi kuasa pada orang yang bukan ahli mendudukinya, tunggulah akan kehancurannya." Macam membiarkan pemandu ‘lesen kopi o’ bawa kereta yang ‘chasisnya’ bengkok masih mahu berlumba di litar F1 Sepang. Pilih ulama jangan macam pilih pemimpin politik yang boleh beli orang. Bila kalah tuduh orang lain rasuah guna politik wang. Inilah yang dikatakan gemilang, terbilang dan patut kena terajang.

Sungguh mengelirukan kalau mereka yang menguasai rumah Allah menunjukan mereka tak takut lagi pada perintah Tuhan. Macam mana hendak marah mat rempit, penagih dadah dan anak Melayu yang terjerumus dengan kerosakan akhlak? Buang anak di tong sampah.

Siapa yang mahu mengaku setan yang disembah bukan Tuhan? Buka mata, tengok dikeliling kita, perebutan jawatan AJK dalam rumah Tuhan, tak cukup didalam parti dan sesama parti padahal mereka seagama. Renungkanlah, apakah roh Islam masih ada di dalam dada?

Kita perlu kejutan minda jika kita mahu keluar dari kejahilan. Panjangkan minda jangan kekal dengan ‘minda kontot’ seperti guru yang dungus dan gundus. Kita tak perlu gentar, tak perlu takut berdiri didepan cermin memerhati, meneliti betapa kejinya tingkah laku diri sendiri sebelum menuding jari padahal ada tiga jari yang menunjuk ke arah diri sendiri.

Kasihan mereka yang bangga dengan pakaian luarannya, Islam apa namanya kalau tak ada ‘common senses’, tak tahu beza yang ‘hak’ dengan yang ‘batil’, beza ‘halal’ dan haram, dosa dan pahala. Pelik mereka yang berada di surau, di madrasah, di mesjid boleh merasakan mereka saja ahli syurga. Bukankah kita diajar supaya sentiasa mempunyai baik sangka ‘huznuzan’?

Orang yang takut pada hukuman Tuhan atas dosanya tidak akan membiarkan diri dipengaruhi oleh ‘riak’ yang boleh merosakkan keimanan. Jika kita mengambil ‘wuduk’ sebelum ‘solat’ apa salahnya kita bersihkan hati sebelum mengadapkan wajah kita kepada Allah dengan membersihkan hati dari penyakit ‘mazmumah’? Agama Allah dicemari dengan tingkah laku, kemungkaran akibat kejahilan, apakah kita terlupa Allah murka pada mereka yang ‘riak’, angkuh dan sombong selain zalim dan bakhil? Ilmu ketuhanan penting jika mahu menjadi hamba Allah yang dekat dengan Allah SWT.

Apakah bukan kerana tanpa pengetahuan kerohanian menyebabkan kegagalan ‘Islam Hadhari’ yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi.

Inilah susahnya mahu memberi ubat pada mereka yang sakit tak mahu makan ubat, berdosa tak mahu bertaubat, yang pandai tahu buat, tahu tak apa.

Yang bodoh tak mahu belajar, yang berilmu tak mahu mengajar, di tambah pula dengan sikap degil, kepala batu seperti mereka yang berkereta besar, pangkat besar, memandu perlahan di atas lebuhraya di lorong laju, sepatutnya jika tak mahu laju beri laluan.

Ingatlah kita diadili dan dinilai di atas perbuatan, tindak-tanduk serta tutur kata kita dan bukannya kerana pangkat dan darjat. Hari ini orang tak hairan, tak peduli pun, tak hormat pun pada mereka yang bergelaran Datuk, Tan Sri, Tun, ustaz, tuan guru dan ulama. Salah siapa? Sendiri punya diri, sendiri mahu ingatlah.

Hidup dalam zaman IT dan langit terbuka orang juga tak kisah dengan cara kita berpakaian yang kononnya ikut sunnah Nabi. Padahal cara pakaian Arab Saudi, baju Pakistan, Afghanistan, pakai songkok Melayu, kopiah atau berserban atau pakai kot dan blue jean, t shirt ke mesjid siapa pun sudah tak peduli. Iman dan taqwa adalah pakaian umat Islam. Tuhan tak tengok paras rupa, keturunan dan pakaian, Tuhan tengok ‘hati’. Manusia yang mulia disisi Allah adalah yang ‘taqwa’.

Pelik, mereka dengar cakap Tuhan atau hendak suruh Tuhan dengar cakap mereka? Mereka ikut ‘din nul Islam’ atau Islam ikut cara dan kehendak mereka? Apakah mereka ingat Islam ini harta peninggalan nenek moyang mereka ke? Sejak bila dapat ‘francais’ dan di mana MOU ditanda tangani? Islam jangan ikut cara tok nenek seperti jahiliah di zaman permulaan Islam.

Ke mana perginya mufti dan Penasihat Raja-Raja? Kita hidup dalam sebuah negara di mana rakyat Malaysia mempunyai berbilang bangsa dan agama. Kita bukan berada di Mekah atau di Madinah seratus peratus Islam. Tak bolehkah kemungkaran yang berlaku di rumah Allah ini dibawa ke Mesyuarat Raja-Raja? Bukankah Raja itu Ketua Agama, payung kepada rakyat? Apakah orang Islam saja rakyat Tuanku Sultan?

Bila agaknya akan muncul seorang Abu Nawas yang menolak kerusi Mufti bukan takut kontrak tak disambung lagi. Apakah tidak mustahil munculnya Sultan seperti Omar bin Abdul Aziz di zaman pemerintahnya serigala dan kambing biri-biri boleh duduk bersama. Alangkah baiknya bila ada Ketua Agama yang sanggup keliling ibukota bawa kancil tanpa guna siren dan ‘out rider’ untuk menyangkal apa yang saya tulis tentang kemungkaran yang berlaku di masjid yang menjadi tanggungjawab Tuanku.

Islam menuntut keadilan, diberi keutamaan, Rasulullah SAW berpesan tolong mereka yang dizalimi dan mereka yang berlaku zalim. Sahabat bertanya Rasulullah menjawab menolong mereka yang zalim dengan menyuruh mereka yang menzalimi orang lain supaya berhenti melakukan kezaliman.

Apakah kita sedar yang Tuhan paling dekat dengan kita, lebih dekat dari urat leher? Maka untuk apa guna pembesar suara yang sepatutnya digunakan oleh mereka yang ada di dalam rumah Allah saja tapi pembesar suara di hala ke luar ganggu beribu orang yang jauhnya beberapa kilometer? Mereka ini adalah ‘tax payer’. Bayangkan orang sakit, anak kecil dan ketika ramai orang yang baru pulang dari kerja mencari rezeki di waktu malam, tidur disiang hari. Subuh di malam yang gelap gelita pasang CD, guna pembesar suara melagukan Al-Quran, azan, lepas itu solat, doa, lepas solat subuh ada pula ceramah, dalam surau, madrasah. Punya ego penceramah dengan suara yang keras, kasar menunjukkan betapa hebat menggunakan ayat Al-Quran dan hadith dalam bahasa Arab diterjemah dalam bahasa Melayu padahal cuma lima enam puluh orang saja. Apakah mereka ini ada ‘immuniti’ boleh buat sesuka hati? Kalau ada orang bukan Islam mengadu dianggap memusuhi Islam, tak pasal-pasal terperangkap dengan ISA dan surat daripada Menteri Dalam Negeri.

Agama Islam adalah agama perdamaian yang menganjurkan persaudaraan dan pada bulan Ramadan ini di sana sini terutama hampir di setiap masjid dipenuhi oleh umat Islam yang menunaikan solat terawih, diadakan tadarus Al-Quran. Tapi yang peliknya, inilah musim orang bukan Islam kalau boleh mengadu pada Allah mereka akan minta Tuhan berikanlah ‘hidayat’ kepada mereka yang ada di dalam rumah Allah, tak melakukan kemurkaan dengan menzalimi jiran dengan membuat bising yang berlebih-lebihan sedangkan ‘kesederhanaan’ itu sunnah Rasulullah SAW. Macam mana dalam rumah Allah guna pembesar suara, sembahyang macam orang hilang akal. Apakah mereka tidak takut Tuhan akan murka?

Hidup ini biar sederhana, biar berpada-pada dan kita tak boleh memikirkan benda yang tak mungkin akan berlaku bila setiap hari kita menimbulkan kemarahan akibat keangkuhan semata-mata kerana Islam menjadi agama rasmi negara. Lupakah kita yang tinggal pada orang Melayu hari ini cuma kuasa politik yang seperti nyawa ikan. Melayu sudah berpecah belah hampir jadi seperti buih dipermukaan laut. UMNO menunggu untuk ditalkinkan sekali lagi. Bila lagi mahu muhasabah diri?

Kalau kita enggan bersetuju terhadap sesuatu perkara kita mempunyai hak untuk tidak bersetuju, tapi janganlah sampai melampaui batas berlagak macam tuhan. Apa juga pembaharuan yang dikemukakan untuk memperbetulkan keadaan mahu membawa umat keluar dari kepompong kegelapan dianggap dan dituduh sesat padahal siapa sebenarnya yang berada di dalam kesesatan.

Tidak ada paksaan dalam beragama. Agama mu agama mu, agama ku agama ku. Kau tak sembah apa yang aku sembah, aku tak sembah apa yang kau sembah. Apakah surah semudah ini pun tak tahu? ‘Common senses’ letak kat mana?

Tidak elok kita guna kekerasan. Siapa yang tak mahu tunduk dengan Islam cara kita yang ditetapkan oleh mereka yang berkuasa ke atas agama Islam dianggap ingkar. Bila pula dapat surat kuasa dari Tuhan? Untuk apa guna ISA tapi kita tak mahu cari kesalahan dan kemungkaran kita? Apakah kita sudah mengamalkan amar makruf nahi mungkar? Siapa hendak hormat Menteri Dalam Negeri yang tak menunjuk ‘integriti’?

Saya bukanlah nak jadi penyelamat atau hero kepada orang bukan Islam, Cina , India dan lain kepercayaan, selaku seorang Malaysian saya berhak bersuara kerana mereka adalah ‘tax payer’, kita hidup dalam negara demokrasi. Bukan mahu jadi doktor kepada semua jenis penyakit yang melanda masyarakat hari ini. Sekadar cuba membuka saluran di mana boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Walaupun saya katakan tadi ramai ulama dan "so-called" cendikiawan Islam yang tidak mempunyai common sense tapi saya bukanlah pulak nak menuding jari menyalahkan sesiapa. Siapa termakan sup panas memang terlecur lidah dan bibir. Baca ‘bismillah’ sebelum makan, ingat makan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Amat Mengasihani. Tulisan ini adalah makanan kerohanian.

Kita semua adalah manusia biasa. Mana ada manusia yang tak buat salah kecuali Nabi Muhammad SAW. Saya juga tak terlepas dari kesilapan kerana ada kalanya kita mempunyai persepsi yang berbeza terhadap orang lain dalam kepercayaan mengenali alam kerohanian. Kata pepatah Inggeris: "To err is human, but to forgive is divine" Semua ini adalah asam garam hidup sebagai manusia biasa. Kita belajar dari kesilapan dan kesalahan kita sendiri.

Biar bagaimanapun apa yang kita buat mestilah ada rasa kepedulian, ada rasa kemanusiaan. ‘Islam’ dan kemanusiaan Islam dan keadilan Islam dan kasih sayang Islam dan sifat kemaafan Islam dan sifat kemurahan tak dapat dipisahkan.

Pelik, macam mana masih ada ulama dan pemimpin sekejap jadi Dr. Jekyll tiba-tiba boleh bertukar jadi Mr. Hyde pulak. Bolehkah malaikat dengan syaitan kita samakan? Biarpun dalam diri kita setiap saat kita boleh beriman dan terkeluar dari iman tapi selagi roh Islam hidup, kita akan dilindungi Tuhan.

Bila agaknya kita akan sedar dan mahu mengadakan kehebatan yang dianugerahkan pada Rasul bernama ‘mukjizat’, pada wali Allah dinamakan ‘karamah’ seperti diantara Wali Songo dengan Sheikh Abdul Kadir Jailani yang boleh membuktikan wakil Allah di muka bumi bukan sebarang insan. Kalau dalam dunia perfileman ada ‘Superman’, ‘Batman’, ‘Spider man, Iron man dan Hancook yang cuma sekadar rekaan, manusia yang mempunyai kuasa ‘super natural’, ilmu mistik ini terdapat dalam Al-Quran.

Pelik, mentang-mentang baru jadi AJK Masjid cuba ‘play god’ atau berlagak macam tuhan kecil. Sepatutnya menjadi ‘godly’, loving, giving, caring, sharing and forgiving.

Berapa ramai yang membaca dan khatam Quran itu tahu isi Al-Quran dari segi terjemahan seperti seorang ‘Quranis’? Anda tahu apa itu ‘Quranis’? ‘Quranis’ telah dilabel pembawa ajaran sesat kerana berpegang bulat pada Al-Quran. Apakah salah jika mereka menolak hadith yang ‘daif’, yang bertentangan dengan Al-Quran?

Untuk apa Allah SWT memberikan kita ‘akal’? Tahukah kita ‘akal’ itu apa? Apakah setiap orang yang berkelulusan tinggi, pandai, mempunyai ‘akal’?

"Nikmat Tuhan yang macam mana lagi yang engkau dustakan". Tuhan berikan kita mata, telinga dan lain-lain panca indera dipinjamkan, bukankah panca indera itu sebasar-besar nikmat? Tuhan pinjamkan kita akal, Tuhan berikan kita Al-Quran ‘mukjizat’ sepanjang zaman. Tuhan pilihkan agama yang terbaik untuk kita.

Allah bersumpah: "Demi Al-Quran yang penuh dengan hikmah." Quran itu penuh dengan hikmah. Tiap-tiap perkataan, tiap-tiap ayat, tiap-tiap huruf, ada hikmah. Subhanallah. Allah sumpah. Allah guna Quran sebagai sumpah. Wal-Quraanil hakim".

Quran itu zikrullah. Kerana itu Rasulullah SAW kata Afdhaluz zikri - zikir yang terbaik ialah Al-Quran. ‘Wahyu’ Allah dengan cahayanya menghidupkan ‘emosional’ dan ‘spiritual Q’ bila kita sudah matikan nafsu kita. Apakah anda tahu erti "matikan diri kamu sebelum kamu mati"?

Macam mana mahu jadi ‘khalifah’ kalau otak kita beku. Ikan yang baru keluar dari ‘freezer’ perlu dicairkan dulu sebelum digoreng atau dibakar, inikan pula otak kita yang beku. Khalifah adalah ‘master of the universe’. Namun untuk jadi khalifah, perlu jadi ‘master’, jadi ‘tuan’, macam mana mahu menghidupkan ‘ketuanan Melayu’ tanpa ilmu pengetahuan mengenai syariat dan hakikat tak mengamalkan syariat, hakikat, tarikat dan makrifat.

Mengikut Imam Jaafar a.s. ‘akal’ itu makhluk yang menemani manusia. Makhluk yang taat pada Allah, boleh dipanggil dan ia segera datang, bila disuruh dia pergi, dia pergi.

"Nikmat Tuhan yang macam mana lagi yang kita mahu dustakan." - surah Rahman.

Dengan ‘al-Fatihah’, dengan ayat ‘Kursiy’, cuba anda berdoa, "Ya Allah ya Tuhanku, dengan ‘kun fayakun’ sembuhkanlah penyakit saya yang doktor tak boleh ubat, yang hanya boleh disembuh dengan kekuasaanMu, Engkaulah yang maha kuasa, hanya Engkau yang aku sembah dan hanya padaMu aku meminta. Berkat selawat "Allah huma soli ala Muhammad wa ala Ali Muhammad". Aku juga akan mendapat rahmatMu dan syafaat dari Muhammad SAW.

Esok bila kita mati, kita akan hancur, kita akan jadi debu, Tuhan kata "kun" - semua bangun daripada kubur. Dengan ‘kun fayakun’. Allah SWT cipta Adam dari tanah, tak ada ibu tak ada bapa. Allah SWT cipta Isa, melalui Maryam, tak ada bapa. Allah SWT letak Ibrahim di dalam api yang bernyala 40 hari, Ibrahim sedikit pun tak terkena api. Sebelum beriman Ibrahim fikir bintang bulan itu Tuhan, hingga Tuhan tunjukkan kekuasaannya suruh Ibrahim kerat burung, letak atas gunung bila di panggil burung itu hidup balik terbang kepada Nabi Allah Ibrahim a.s.

Dengan ayat - Innamaa amruhu... kita bermohon pada Allah SWT. "Ya Allah ya Tuhanku, dengan ‘kun fayakun’, hapuskanlah penyakit kanser yang doktor tak boleh ubat lagi." Semuanya boleh berlaku jika anda percaya dengan ‘hak kul yakin’, berfikiran positif, jangan putus asa dengan Allah SWT.

Samakah orang yang berilmu dengan mereka yang tak berilmu? "Mahukan dunia dengan ilmu. Mahukan akhirat dengan ilmu. Mahukan kedua-duanya juga dengan ilmu." Ilmu datang dari mana kalau bukan dari membaca dan berfikir? Siapa kalau bukan Allah SWT yang mengajar kita? Kalau anda mempelajari ilmu pertanian, ilmu falak, ilmu laut, ilmu binatang dan paling mustahak juga ilmu sains mengenai ciptaan manusia, maka anda akan menemui tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, yang boleh digunakan oleh manusia yang mahu mengabdikan dirinya pada Allah SWT, terutama mereka yang mahu menjadi pemimpin ketika ramainya anak muda kita sedang dilanda penyakit sosial yang parah, mereka terlebih dahulu perlu mengisi roh Islam ke dalam diri dari bantu mereka yang kehilangan roh Islam supaya kembali ke jalan Allah.

Seandainya anda membaca dan berfikir, anda faham Al-Quran ibarat ‘manual’ kepada sebuah kereta, anda perlu faham isi kandungan ‘manual’ seperti seorang mekanik. Untuk itu maka carilah guru yang mengutamakan pengisian ‘roh Islam’. Jangan cari guru yang ‘bullshit’, guru yang ‘dungus’ dan ‘gundus’ yang cakap tak serupa bikin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.