Wawancara Antara Editor Majalah Pendekar Dengan Cikgu Abdul
Majid Mat Isa
Saturday, May 17, 2008
Berikut saya paparkan sedutan wawancara saya(verbatim)
dengan Cikgu Majid Mat Isa di rumah beliau di Gurun, Kedah pada 5 Januari 2003
(SELEPAS SAYA INTERVIU CIKGU AWANG DAUD)
Saya mula-mula belajar Gayong pada 1956 melalui Meor Abdul
Aziz, abang Dato’ Meor Abdul Rahman. Ketika tu Dato’ Meor masih berada di
Singapura. Saya belajar tangan kosong di Gurun. Sukatan pelajaran belum ada
lagi masa tu.
Lepas senaman panaskan badan, buat regangan dan lain-lain,
diajar tumbuk pintal tali, pancung dayung dan lain-lain.
Dia(jurulatih) mengajar, dia suruh kita tumbuk, dia elak,
elak, elak. Sat lagi dia pulak tumbuk, kita pulak elak, elak, elak (ketawa).
Bila dia tengok dah cukup boleh elak, elak; sekarang dia
kata, tumbuk, tangkap, kunci pulak. Tangkap sikit-sikit aja (bukan tangkap
penuh).
Tapak Gayong ada tujuh biji buah tangkapan. Kalau dulu dia
ajar buah satu tu seminggu hingga dua minggu. Bagi cekap dulu buah satu.
Hari-hari belajar. Malam. Lepas Isyak sampai tengah malam.
Habis tujuh biji buah. Cukup. Itulah Tapak Gayong dia kata.
(Pentas?) Tak dak. Lepas tu dia kata, sekarang kamu dah boleh Tapak Gayong.
(Pecahan Tapak?) Pun tak dak.
Lepas Tapak Gayong, akan diajar Seni Gayong. Sebelum belajar
Seni Gayong, kena mandi seni dulu. Penuntut akan diajar Senaman Anak Harimau
sebelum pentas.
Lepas tu tangkap. Lepas tangkap bukak. Dulu ini dinamakan
Gulung. Bukannya Pentas. Buah Gulung Hidup, dia kata. Tangkap buah satu, dia
pusing balik, dia gulung, sampai tujuh biji. Habis. Mainlah satu buah Gulung
dia kata. Habis pelajaran.
Dia(gurulatih) cukup susah nak bagi (pelajaran). Bukan macam
la ni. Kalau dulu sebulan sebiji aja. Buah Tapak Gayong belajar enam bulan
hingga setahun lebih. Kira saya tahun 1956, sehingga tahun 1958 baru saya boleh
main Gulung. Tahun 1959 baru dia(Dato’) ambil saya di Singapura, baru belajar
main senjata. Main Keris.
Dia (arwah Dato’ Meor) mai Kedah tahun 1959, bersama dengan
Dato’ Onn. Mula-mula dia datang tu 1958. Dia datang mai meninjau dulu. Dia
balik dia ajak Dato’ Onn ke Kedah.
Masa tu hari sukan. Sekolah tu minta kita buat persembahan.
Persembahan tu depa buat pentas, semua eloklah kan? Malam main. Atas pentas.
Kenakan tiket kepada siapa nak pi tengok. Ramai yang tak biasa tengok Gayong
main kan? Singapura tak main. Masa tu gelanggang semua tertutup. Kalau hang
Tapak Gayong, tak boleh tengok latihan orang Seni Gayong. Orang Seni Gayong
bolehlah tengok orang Tapak Gayong. Bengkung tak ada lagi masa tu.
Tapak Gayong belajar dengan Cikgu Ismail Mansor. Lepas tu
pelajaran habis, saya dibawa ke Singapura untuk berlatih bermain keris. Saya
dikhatamkan (Keris dan Lembing) di air terjun Kota Tinggi. Seni Keris hanya
diajar tikaman sahaja(pentas), bukan tangkapan. Tangkapan dia tak ajar masa tu.
Saya tahun 1964 baru diajar tangkapan senjata, bagaimana menentang serangan
bersenjatakan keris. Sebelum tu Cuma diajar pentas (permainan) sahaja. Keris 1,
Keris 2, Pisau 1, Pisau 2 diajar sekali. Pelajaran Pisau - 1 dan 2 sahaja.
Tangkapan pisau dan keris cuma 7 biji.
1973, masa tu Cikgu Ahmad Lazim telah dipanggil balik dari
Kelantan (kerana sesuatu sebab). Balik mai ke Kedah. Kemudian kita nak tarik
begitu sahaja ada komplot di Kelantan yang sukakan Cikgu Ahmad Lazim. Beritahu
kepada ahli Gayong Kelantan, mata pelajaran Gayong akan di “upgrade” kan. Cikgu
Ahmad Lazim diminta balik ke Kedah untuk ambil kursus balik.
Antara yang terlibat susun pelajaran ialah saya
sendiri(Cikgu Majid), Cikgu Awang Daud, Cikgu Siti Kalsom dan Cikgu Md. Khir
Saad.
Buat pertunjukan pelajaran baru kepada murid-murid Gayong di
Kelantan. Susun semula pelajaran di Taiping. Cikgu Awang Daud gantikan Cikgu
Ahmad Lazim mengajar di Kelantan.
“Majid, kau kuminta gubahkan pelajaran,” kata Dato’ Meor.
Apa yang saya dapat kat dia lah kan, pelajaran yang ada kat saya. Yang mana dia
bagi kat saya semasa di Singapura dulukan, saya susunlah. Ini buah 1 hingga 21.
Dato’ terus luluskan. Lepas tu besok main pentas pulak. Buah 1 sampai 21 bukak.
Main pisau pulak, pecahkan sampai 21.
Rombongan pergi ke Kelantan buat persembahan di Pasir Putih.
Pergi dengan dua buah kereta. Di Pasir Putih, pergi ke rumah Tuan Haji Hamid
Kelantan, Yang Dipertua Gayong Pasir Putih dulu.
Kita kata kita nak tinggalkan Cikgu Awang untuk mengajar di
Kelantan. Kemudian, sekarang ni kita nak buat pertunjukanlah pelajaran baru ni.
Bagi tahu semua. Di padang sekolah agama. Orang Kelantan kata tak apalah.
Bila ahli semakin ramai, Cikgu Awang minta pembantu. Maka
Haji Harun dihantar membantu.
Dulu gelanggang (di Gurun) ni duduk depan sana, dekat pokok
setoi.
Di Singapura, Dato’ yang mengajar. Selain itu, Cikgu Nordin
Perlis, Cikgu Sidek Perak, Cikgu Atan Melaka. Kesemuanya adalah askar British
di Singapura. Tahun 1962, barulah Cikgu Awang masuk Gayong.
Pelajaran senjata habis diturunkan di Singapura. Pelajaran
Cindai diturunkan di Kota Sarang Semut, tahun 1964. Sebelum guru dari Singapura
berlatih, Dato’ ajar saya dulu pelajaran Cindai. Cikgu Siti Aisyah belajar
Cindai di Singapura.
Pelajaran Kosong ke Putih: Kunci Mati 1-14, Pentas 1-7,
kombat. Tiada sparring.
Pelajaran Putih ke Hijau: Kunci Mati 15-21. Ujian 5
tangkapan diuji. Sebut nombor. Buah pecahan 7 x 7 biji.
Pelajaran Hijau ke Merah: Pisau(21 biji), Simbat(21 biji)
dan Parang(14 biji). Tiada sparring.
Pelajaran Merah ke Kuning: Parang, Keris dan Lembing.
Pelajaran Kuning ke Hitam: Cindai (21 biji), cindai dengan
parang, pemusnahan(pecah bata), terjun atas kaca, jalan atas bara api, mandi
minyak panas, bengkok besi panas dengan gigi. Pelajaran selain daripada di atas
adalah selingan.
Pelajaran Hitam – kebatinan. Misalnya, Qulhuwallah 70,000
kali.
Saya (Cikgu Majid) dapat:
Keris – 17 biji kunci mati, 21 biji buah pentas.
Pisau – 17 biji kunci mati, 21 biji buah pentas
Parang – 17 biji kunci mati, 21 biji buah pentas
Simbat – 17 biji kunci mati, 21 biji buah pentas
Lembing – 7 biji kunci mati, 21 biji buah pentas
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.