SEJARAH BUAH TANGKAPAN & PUKULAN GAYONG
Pelajaran
Tentang pelajaran, yang saya belajar dekat Dato’ Meor buah
tangkapan 1-7, kombat 1-7, pentas 1-7. Semua ada tujuh, tujuh, tujuh. Bila dah
ada tujuh-tujuh tu, masa kursus jurulatih yang pertama, tahun 1973 di Taiping,
Dato’ Meor suruh saya dengan Cikgu Majid, yang 7 semua jadikan 21. Kalau
jurulatih sekarang ni kata dia pakar sampai 21, buah dia dapat (daripada Dato’
Meor) 21 biji, semua tu pelawak, pembohong! Baik Gayong Pusaka, Gayong
Malaysia. Asalnya buah tangkapan, buah kunci ni 21 saya dengan Cikgu Majid
(yang susun). Buah pukulan 1 sampai 21, saya dengan Cikgu Majid (yang susun).
Semua daripada kami dua orang. Semua di bawah kami. Termasuk anak dia sendiri
Badek, Siti Kalsom. Semua di bawah kami.
Kalau silat jangan tipulah. Kalau gurulatih yang baru-baru
ni kata dia itu, dia ini, pembohong semua. Arwah Dato’ Meor dulu dia bagi 7
biji. “Awang, saya mahu awak dengan Majid jadikan 21,” kata Dato’ Meor. Bila
jadi 21, ajar pada guru seperti Ahmad Lazim, Mat Putih, Kalsom, Badek, Sazali
dan guru-gurulatih seluruh Malaysia. Semua turun ke Taiping tahun 1973. Kali
pertama kursus gurulatih. Dan kali pertama juga dia isytiharkan tali pinggang
putih, hijau, merah, kuning dan hitam. Tahun 1973 lah yang mula-mula sekali
buat bengkung.
(Semasa kursus gurulatih) Dato’ bagi orang lain bawa. Bawa
dia orang ni gurulatih pergi jogging. Tinggal saya dengan Cikgu Majid. Masa
itulah susun pelajaran. Memang 7 biji tangkapan. Belum ada lagi 21. Pukulan pun
sama. Kombat 7 biji dia bagi. Kombat dia bagi kat saya di Singapore. Sebab di
Singapore masa tu ada navy (naval base). Pangkalan navy di Woodlands. Semua
bangsa ada. Mat Saleh, Korea, Jepun, India. Dia (Dato’) suruh saya mengajar
navy. Dia kata hak silat jangan mengajar. Ajar kombat 7 biji aja. Kombat aja.
Tahun 1961. Saya mengajar di Woodlands, Singapore. Memang kombat dia lain sikit
daripada Cikgu Majid. Buah tangkapan semua sama (dengan Cikgu Majid). Saya
dapat semua sama. Buah (tangkapan) semua sama, cuma pembawa dia yang
ubah-ubahkan.
Buat kursus.
Ambil tali pinggang. ——– Kita kalau ujian sekarang ni, kita
ikut silibus. Baguslah ikut silibus. Tapi kita free-sparring tu tak ada. Kita
nak ambil merah. Bila ambil merah, kalau kita dapat merah, kita automatik jadi
guru silat. Jadi gurulatih. Jadi kita kenalah free-sparring. Lima orang serang
kita. Dah itu keistimewaan kita.
Dalam ujian, yang pertama kita suruh buat buah. Lima biji.
Katakan buah 7, 17, 18, 20, 21. Lepas tu kita suruh buat pecahan. You belajar
pecahan buah 1, buah 2 kan? Buah 3 paling banyak. Paling banyaklah. Kalau buah
18, buah 19, buah 20 belajar tak? Tak tahu kan? Bila kita suruh buat pecahan
buah tu, tak boleh pergi. Itulah dulu tali pinggang, orang yang memiliki tali
pinggang merah tu sekarang ni, dia tali pinggang hitam; taraf dia sama orang
dulu tali pinggang merah. Taraf dia sama aja. Pelajaran yang dapat tu.
Pecahan dia tak tentu. Kadang-kadang 7. Kadang-kadang 10.
Dia tengok keadaanlah. Sebab kalau kita dah master dalam buah, dalam pukulan
ke, macam saya tunjuk you (pukulan berangkai), alih ni sikit aja saya boleh
pergi sampai 5 (sasaran pukulan). Kita nampak ni, dekat mana saya nak makan ni.
Dia (musuh) cuma boleh nampak dia nak tangkap kita, dia nak makan kita. Tapi
dia tak nampak yang saya nak makan. Awak nampak tak? Takkan saya nak tunggu. Tu
saya kata jangan fanatik…
Kalau sistem pukulan, pukul dulu. Serentak tiga sekali. Dia
punya pukulan yang tahap masterlah. Apa yang awak belajar tu cuma tahap asas
aja. Tapi awak mengaku memang bagus, memang lawa. Tapi tu cuma asas sahaja.
Asas elakan. Dia maju, kita maju. Tak payah elak, saya terus masuk aja. Tak
sempat nak elaklah, masuk terus aja. Dia pandai tomoi ke, apa ke, kita mana
tahu? Sebab tu sepak dia ada macam-macam. Bukan hanya untuk duduk jarak jauh.
Lagi dekat, lagi bagus.
Latihan Kekuatan
Nak bagi kuat (tangan) kita pegang(tarik) getah (tiub
basikal). Kaki, main getah juga. Nak bagi tinggi(sepakan), ambil besi
ball-bearing, kita tarik kaki bagi naik, naik… Tumbuk, guna punching bag.
Punching bag, mula-mula bubuh habuk kayu. Lepas tu dicampur dengan pasir. Lepas
tu, buang semua, bubuh pasir sahaja. Berat sikitlah. Berlatih dalam dua minggu.
Ni lama sikit. Lepas dua minggu, buang separuh daripadanya, kita bubuh batu
dengan pasir. Batu kecil-kecil; batu kerikil. Campurkan.
Silat, kegunaan (serangan) kaki ada 5 cara. Kalau tomoi dia
ada dua. Dalam silat, kita kena kuat 5 bahagian kaki. Ada latihan silat yang
katok (pukul) tulang kering dengan rotan. Untuk kuatkan urat-urat kaki. Kaki,
dia merangkumi semua anggota kekuatan kita. Segala penyakit dalam badan kita
duduk di kaki tau? Kalau kaki kita sihat bermakna badan kita sihat.
Refleksologi - urut tapak kaki. Tapak kaki ada beratus cabang urat saraf; punca
urat saraf. Dia kena kuat di situ. Kena mengajilah (kalau nak tahu).
Kisah Mahaguru
Dato’ Meor dia ada alat-alat angkat berat. Saya malas(angkat
berat). Bila dia tak nampak, saya letak kaki(atas besi angkat berat),
golek-golekkan besi, bunyi pramm, pramm. Dia (Dato’) ingat kita tengah buat
bench press. Kita (sebenarnya) dok relaks aja. Tak larat kadang-kadang.
(Berlatih silat lagi.) Angkat besi lagi. Mana ada tenaga. Seelok-eloknya dia
suruh kita bangun pagi-pagi, lepas mandi, sarapan tu kita angkat (besi) tu
sejam. Lepas sembahyang subuh. Petang kita berlatih silat. Malam kita angkat
berat(di gym). Kalau kita berlatih silat petang, malam kita angkat berat. Kalau
berlatih silat malam, petang kita angkat berat. Dato’ selalu panggil saya suruh
rasa otot tangan dia. “Awang, Awang, mari, mari. Pegang tangan ayah, pegang,
pegang.” Dato’ sparring partner dia bertukar-tukar.
Dulu padding kena pakai guni, bangsa yang berat dan besar
tu. Ambil empat helai guni(dan bebat/balut perut). (Saya kalau kena) buat-buat
flat. Cikgu Majid kena, flat, flat betul(bukan buat-buat). Dia celik, kena
lagi. Kita tahan nafas tau! Dia(Dato’) ada pakai ilmu-ilmu dalam. Banyak yang
ambil isim ni abang Cikgu Majid. Hj. Harun anak murid saya. Belajar daripada A.
Gelanggang latihan di sebelah Balai Polis Kota Sarang Semut. Saya duduk situ.
Rumah Mak cik Som. Datin yang tua. Dia memang orang situ. Dia(Dato’) buat macam
gelanggang, ada bilik-bilik. Nak tidur, yang perempuan atas rumah dia, yang
lelaki di gelanggang. Gelanggang tu terbuka kepada semua. Hj. Harun semua
berlatih di situlah. Masuk Gayong, mandi Gayong di rumah itu. Dia bukan tempat
untuk jurulatih aja. Dalam setahun ada sekali kursus untuk gurulatih. Untuk
gurulatih sahaja. Saya dengan Cikgu Majid yang ambil alih. Dia(Dato’) dok kat
luar. Bukan dia yang mengajar tapi Cikgu Majid. Dia(Dato’) cuma mengajar bila
tengah-tengah malam, orang tak ada, orang balik habislah.
(Masa saya tengah mengajar) dia(Dato’) kata, “Haa bagus,
bagus, bagus.” Kita buat tak bagus pun semua bagus. Kejap lagi orang dah balik,
dia kata, “Salah tu, salah.” (ketawa) (Dato’ ketika turun mengajar)
kadang-kadang siap dengan tie, baju lengan panjang, siap dengan kot dia, dengan
kasut Johnson. Dia bukan tanggal kasut. Kasut tak buang. Dia bagi tummm. Tak
pengsan ke kita? Baju tak pakai. Dia gulung kain pelekat. Dia tunjuk. Dia ajar
gitu-gitu aja. Nak tengok dia pakai baju silat tak dak. Di gelanggang pun gitu
juga. Dia pakai kain sahaja. Baju tak pakai. Dia bukan mengajar. Dia tak
mengajar. Yang mengajar, saya dengan Cikgu Majid. Cuma dia turun bila nak
tengok anak murid lain berlatih. Dia tengok, dia kata, “Bagus, bagus, bagus.”
Dia naik atas rumah semula. Bila orang dah balik habis, baru dia panggil Cikgu
Majid dengan saya turun. Dia tegur jika ada kesilapan kita di gelanggang.
Sekarang ni, gurulatih yang mana hak tinggi-tinggi, depan anak murid dia
tegur(gurulatih). Jatuhlah standard. Jatuh standard(air muka) gurulatih.
Dia(Dato’) suruh kita atur(susunan buah). Dia bagi, bukan
dia ingat. Apa yang dia ingat, dia bagi, bagi, bagi. Dia kata cukuplah. Buah
pertama, buah kedua, buah ketiga. Kita aturlah(susun). Ni nombor 1, ni nombor
2, ni nombor 3, ni nombor 4. Bilangan buah yang diturunkan dia tak kira.
Kadang-kadang kita kata, “Buah ni Dato’ kami bubuh no. 18.” Dia jawab, “Ha,
eloklah. Boleh. No. 18 pun bolehlah.” Biasanya ikut turutan(terima buah), ini
no. 1, no. 2, no. 3, no. 4. Dia dulu tugas yang susun mata pelajaran ialah saya
dengan Cikgu Majid. Lepas tu, silibus semua saya dengan Cikgu Majid yang susun
mata pelajaran. Susun daripada mata-mata pelajaran yang kami belajar. Tapi
masalahnya yang orang la ni belajar tak habis. Habis, pelajaran tu masih
banyaklah. Masih banyak duduk dalam Gayong Pusaka.
Antara Gayong Pusaka dengan Gayong Malaysia, main lain.
Bukan bermakna Gayong Pusaka lebih pandai. Gayong Malaysia pun anak murid saya.
Tetapi kerana belajar tak habis. Tak sempat habis, kita dah keluar. Jadi,
Gayong Malaysia lain, Gayong Pusaka lain. Jadi, dia keluar lagu tu bermakna
Gayong Malaysia belajar tak dan habis. Tak sempat habis dah jadi dua
pertubuhan. Jadi dua pertubuhan dia pecahlah. Lepas tu kita sekat orang Gayong
Malaysia tidak dibenarkan masuk dalam Gayong Pusaka dan orang Gayong Malaysia
tidak benarkan orang Gayong Pusaka masuk dalam Gayong Malaysia. Dia(PSSGM) kata
kita menderhaka. Baru tahun-tahun akhir-akhir ini sahaja guru Gayong Malaysia
kami terima berkursus (di Gurun). Dulu kami tak terima. Lulus kursus barulah
pelajaran depa tu ada. Tapi ada juga yang dah ambil hak kita, dia pukul kita.
Datang kursus dua hari, kita boleh kenal punya.
Kita ni profesional. Sebab kita silat, kita kena bawa ke
alam profesional. Kita jangan bawa ke alam kampung-kampung. Itulah, dulu arwah
Dato’ Meor dia nak jurulatih-jurulatih dia badan mahu fit. Cikgu Majid
pendek-pendek pun dulu badan strong tahu. Sekarang ni dah tua tak ada apalah.
Sebab dulu cabaran dia nak jadi guru silat ni memang berat sikit. Mesti berani
rempuh dugaan-dugaan. Pelajaran yang awak ada tu, awak guna pelajaran tu. Tapi
awak jangan lupa baca Al-Fatihah dan Qulhuwallah. Selawat. Itu amalan yang dia
(Dato’) suruh. Jangan tinggal langsung. Sebanyak 70,000 kali. Baca Al-Fatihah,
Qulhuwallah sebanyak 70,000 kali. Al-Fatihah, selawat dan Qulhuwallah. Setiap
satu 70,000. Tapi orang la ni ingat baca Qulhuwallah sebanyak 70,000. Selawat
tak baca. Al-Fatihah tak baca. Dia mahu semua sekali. Tak kiralah lama mana nak
habiskan. Saya dari tahun 1969 saya baca, sampai sekarang ni saya tak tinggal
lagi. Tiap-tiap bulan puasa baca habis. Baca ketiga-tiga sekali. Baca wiridlah.
O.K katakan waktu ni(Asar) awak selawat dulu. Ambil selawat 1000 kali. Maghrib
awak baca Al-Fatihah 1000 kali, sampai ke Isyak. Lepas Isyak sampai ke tengah
malam nak tidur tu, bacalah Qulhuwallah 1000 kali pulak. Jadi, dalam satu hari
awak dapat semua - 1000, 1000, 1000. Besok awak buat 1000, 1000, 1000 lagi. Dia
duduk dalam ketiga-tiga tu. Pendinding untuk diri kita pun duduk dalam
ketiga-tiga tu. Kebaikan untuk diri kita pun duduk dalam ketiga-tiga tu. Yang
paling Tuhan kasihi dan Rasulullah paling sayang kerana kita selawat banyak kat
dia. Bila kita selawat banyak kat dia, berkatlah banyak kat kita.
Silibus Lama
Sistem lama, dia tali pinggang putih, orang tali pinggang
putih kita ambil daripada exercise, senaman, lompatan, rangkum semua gerakan
tangan dan kaki jadi Rajawali 49. Hak tali pinggang merah sekarang ni baru tali
pinggang putih dulu. Buah pentas kena main sampai buah 21, buah tangkapan, buah
pukulan, buah pecahan. Baru dapat putih. Untuk tangan kosong, itu aja. Baru you
masuk hijau. Hijau tu dikhusus banyak tongkat, banyak pisau, gerakan pisau,
gerakan tongkat, gerakan parang. Sampai habis. Lepas tu baru dia masuk keris,
masuk lembing, masuk cendai. Masuk merah. Sekarang tak dak. Sekarang kena cari.
Itulah saya kata, modal habis, tak dak depa ni, tu yang sekat, sekat, sekat.
Hitam dulu powerlah. Hitam dulu kalau setakat tiga orang kita boleh lawan
sambil tutup mata. Lawan senjata. Kira yang terbaiklah tu. Merah biasa habis
senjata semua.
Kuning dia bahagian-bahagian dia. Bahagian pecah genting,
pecah kelapa, koyak kelapa dengan gigi, tokak besi panas, berjalan atas bara
api. Bagi habis pecah-pecah semua genting, pecah kelapa apa semua. Hak dulu
punyalah. Lepas tu dia kena ulang kaji balik, nak tengok dia ingat ke tidak,
daripada buah asas, daripada buah 1, putih, hijau, merah, dia boleh himpun
semua balik tak. Dah kita gulung semua daripada putih, hijau, merah, dah sampai
hak yang pecah-pecah genting, kelapa (pemusnahan), baru dia masuk ke hitam.
Jadi serba segala-galanya dia dah masuk dah. Baru dia pergi hitam. Rajawali dia
ada buah sendiri. Peringkat kuning. Gerak dia duduk dalam (bengkung) hijau,
dalam merah. Buah dia dalam kuning. Macam 4-5 orang serang, kena guna langkah
yoi. Langkah yoi 1-21. Orang guna kayu, guna lembing, guna pisau, keris,
parang, semua kita boleh guna(yoi). Tangan kosong lagi sedap. Gerakan 10-20 dia
lompat tepat. Dia dah masuk serangan harimau kumbang. Itu bahaya dah. Semua dia
makan bawah.
Buah yoi dia banyak buah pukulan. Dia tak masuk buah
tangkapan. Dia masuk buah pukulan banyak. Gerak dan masuk. Apabila berlatih,
berlatih gerak dulu, tapak (yoi) dulu. Kalau dah stabil, tahu gerak, baru masuk
buah. Murid la ni kalau dia ambil putih, bila ambil hijau, pelajaran putih dia
lupa habis. Dia dapat merah, pelajaran hijau dengan putih dia lupa. Dulu kalau
kita nak ambil hak merah, dia uji hak putih dulu. Lepas tu dia uji hijau. Habis
hijau baru uji merah. Tapi penatlah. Kuning - putih, hijau, merah uji dulu.
Hitam - diuji semua sekali. Zaman saya dulu, tumbuk (gerakan tumbuk) sahaja
sebulan.
Beliau kini merupakan Gurulatih Kanan PSSPGM dan masih aktif
menjalankan latihan dan Seminar Gayong kepada Anak Gayong di seluruh
Malaysia.
Dipetik dari: http://www.awangdaud.com
As salam.. bagaimana nak belajar?
ReplyDelete