AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Thursday, April 5, 2012

SAYYID ALI NURUL ALAM : BAPA ULAMA & KESULTANAN MELAYU

Bingkisan Anak Bani Jawi
                                               Carta Keturunan Sayyid Ali Nurul Alam

 Penulis dalam beberapa tulis terdahulu telah menyentuh serba sedikit tentang beberapa orang putera puteri Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Akan hal itu termasuklah keturunan Wali Songo (Wali Sembilan) yang berketurunan dari darah daging beliau juga. Kali ini, penulis akan secara ringkas menyatakan tentang anak ke empat Sayyid Hussein Jamadil Kubro, sekadar kemampuan dan keizinan Allah SWT.

 Perkahwinan Sayyid Hussein Jamadil Kubro dengan Puteri Mariam (isteri pertama dari Chermin) dan Puteri Ramawati (isteri kedua dari Champa) telah melahirkan Maulana Malik Ibrahim, Puteri Aisyah dan Sayyid Ibrahim al-Akbar (Ibrahim Asmaro). Setelah kemangkatan kedua-dua isteri beliau, Sayyid Hussein Jamadil Kubro telah banyak menumpukan masanya terhadap kerja-kerja berdakwah di Champa dan Chermin (Patani). Dalam usia telah menjangkau 50 tahun, beliau masih lagi cergas belayar berulang alik dari Chermin ke Champa dalam menunaikan amanah misi dakwahnya. Akan hal yang demikian itu telah timbul difikiran Raja Chermin, Sultan Baqi Syah ibni Sultan Mahmud Syah untuk menjodohkan puteri baginda dengan pendakwah tersebut. Ianya merupakan salah satu cara penghormatan baginda atas kemuliaan pekerti Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Selain itu juga, baginda yang telah meletakkan Islam sebagai perjuangan utama berharap anak cucu baginda dari zuriat tersebut akan menjadi penyambung perjuangan menegakkan Islam di bumi Melayu ini.

 Dalam kira-kira tahun 1360 Masehi, berlangsunglah perkahwinan antara Sayyid Hussein Jamadil Kubro dengan Puteri Selindung Bulan binti Sultan Baqi Syah. Puteri Selindung Bulan itu namanya juga Puteri Syahirah telah melahirkan seorang putera tunggal dalam lingkungan tahun yang sama (antara 1359 hingga 1361) dan dinamakan Sayyid Ali Nurul Alam. Beliau dilahirkan di Champa.

 Ada pun Sayyid Ali Nurul Alam ini juga dikenali sebagai Syeikh Ali al-Mashur al-Laqihi iaitu Sultan Qunbul, Sultan Patani Besar. Sayyid Ali Nurul Alam ini adalah pendakwah serta Panglima Tentera Champa kemudian dilantik menjadi Pateh Arya Gajah Mada (Perdana Menteri Kelantan) seterusnya sebagai Sultan Patani Besar (Sultan Qunbul) setelah Siam berjaya dihalau keluar dari Chermin.

 Banyak nama lain lagi yang merujuk kepada Sayyid Ali Nurul Alam, seperti Ali Alam, Ali Nurul Alim, Ali Alam. Alim Ali, Syeikh Nurul Alam Siam serta Ali Nuruddin. Semasa Chermin di bawah pemerintahan bapa saudaranya, Sultan Iskandar Syah ibni Sultan Baqi Syah, beliau pernah menjawat jawatan Patih Arya Gajah Mada atau Perdana Menteri sebelum ditabal sebagai Raja Patani besar dengan gelaran Sultan Qunbul pada tahun 1467. Di dalam riwayat Kelatan disebut bahawa Sayyid Ali Nurul Alam telah mengetuai serangan balas terhadap Siam sehingga menghancurkan Kota Ayuthia. Serangan tersebut turut disertai oleh Melaka (Hang Tuah dan Tun Mutahir), Laksamana Bentan wan Demali (anak Sayyid Ali Nurul Alam) dan Acheh. Setelah kemangkatan Sultan Iskandar Syah di Champa pada tahun 1467, Sayyid Ali Nurul Alam ditabal sebagai Sultan Qunbul.

 Apabila mengkaji sejarah Islam di Patani, didapati bahawa tahun pengislaman negeri Patani terdapat perbezaan ketara tulisan sejarah berbanding dengan riwayat dan catatan kitab-kitab tulisan ulama Islam di Patani dan Kelantan. Umpamanya, negeri Chermin (yang di dalamnya terdapat Kelantan dan Patani sehingga ke Segenting Kra), Islam telah lama tiba di sana sebelum ketibaan Sayyid Hussein Jamadil Kubro lagi (1349 Masehi). Perlantikan Sayyid Ali Nurul Alam sebagai Sultan Patani besar telah menunjukkan raja-raja Patani berketurunan Sriwijaya telah pun mengecil penguasaan mereka terhadap Chermin (Patani). Mungkin juga dapat disimpulkan bahawa pengislaman Phya Tu Nakpa atau Phya Tuk Antara oleh Syeikh Syafiyuddin pada abad ke-15, merupakan Raja Patani berketurunan Sriwijaya terakhir sebelum Patani diperintah oleh keturunan dari Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Tetapi yang tidak menjadi syak lagi bahawa Inggeris dan Siam telah cuba menyorokkan peranan Sultan dan Patani itu sendiri sebagai pusat penyebaran Islam terbesar setelah Acheh bergolak dengan serangan Belanda. Juga perlu diingat bahawa Portugis, Belanda dan Inggeris adalah agen agenda Perang Salib yang bertujuan melemahkan umat Islam di Nusantara, disamping menguasai kekayaan hasil buminya.

 Sayyid Ali Nurul Alam telah melahirkan paling ramai keturunan berbanding keturunan anak-anak Sayyid Hussein Jamadil Kubro yang lain. Bagaimana pun keturunan mereka ini telah merapatkan semula hubungan persaudaraan mereka melalui ikatan perkahwinan. Anak cucunya ramai yang menjadi ulama dan sultan Melayu di Nusantara ini. Telah disepakati oleh pengkaji salasilah bahawa Sayyid Ali Nurul Alam mempunyai 6 orang putera dan seorang puteri.

 Putera sulung beliau ialah Wan Abdullah juga dikenali sebagai Sultan Abdullah Umdatuddin atau Wan Bo Teri Teri. Baginda merupakan pengasas Kesultanan Champa Islam. Daripada keturunan beliau telah melahirkan Maulana Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati, anggota Wali Songo) seterusnya menurunkan Kesultanan dan Ulama di Jawa Barat. Di Champa dan Patani pula, putera baginda Sultan Wan Abul Muzaffar Waliyullah telah melahirkan Kesultanan dan ulama di Champa, Patani, Kelantan serta Terengganu. Nik Ibrahim merupakan bapa Kerajaan Jembal di Kelantan manakala Nik Mustafa pula bapa kepada Kesultanan dan Ulama di Champa, Patani, Kelantan serta Terengganu. Ramai golongan ulama seperti Syeikh Nik Mat Kechik al-Fathani, Tok Syeikh Duyong, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas adalah berketurunan Nik Mustafa bin Wan Abul Muzaffar Waliyullah bin Wan Abdullah bin Sayyid Ali Nurul Alam.

Kesultanan Melayu pula adalah bermula dari Wan Abdullah bin Sayyid Ali Nurul Alam (Raja Champa), Sultan Abdul Hamid Syah (Raja Champa), Raja Jembal (Kelantan), Sultan Long Yunus (Kelantan), Paduka Seri Raja Long Nuh (Raja Patani) serta Tuan Long Ghaffar (Datuk Seri Maharaja Perdana Menteri Kelantan) adalah sekadar beberapa nama dari jaluran anak cucu Wan Abdullah bin Sayyid Ali Nurul Alam.

Wan Hussein as-Senawi adalah putera kedua Sayyid Ali Nurul Alam merupakan ulama besar yang menyebarkan dakwah di Nusantara. Keturunannya ramai melahirkan ulama serta panglima Patani dan Kelantan. Mereka termasuklah Tok Bendang Daya, Tuan Minal, Tok Duku, Tok Raja Haji Jambu, Tuan Haji Sulong (Bapa Revolusi Patani) serta ramai lagi. 

Putera-putera Sayyid Ali Nurul Alam telah membahagi-bahagikan tugas dakwah di antara mereka ke seluruh Nusantara. Selain Wan Abdullah dan Wan Hussein, Wan Hassan ditugaskan untuk menyebarkan dakwah Islam di Bangkok. Wan Demali pula telah dilantik sebagai menjadi Laksama Bentan dan bergelar Patih Kermawijaya. Untuk menceritakan satu persatu berkaitan anak cucu Syyid Ali Nurul Alam akan mengambil masa yang panjang, kerana keturunan ini sangatlah ramai. Insya Allah jika dengan izin-Nya penulis akan meneruskan penulisan ini pada masa akan datang.

 Posted by Syeikh Kerutuk
http://tabutjawi.blogspot.com/2012_03_01_archive.html

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.