AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Monday, April 23, 2012

CIRI-CIRI IMAM AL MAHDI


Umur Imam Mahdi


A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi adalah daripada anakku, dia berusia 40 tahun. Wajahnya bagaikan bintang yang bergemerlapan, pipi kanannya ada tahi lalat, kulitnya kemerah-merahan seolah-olah dia adalah keturunan Bani Israel, dia akan mengeluarkan harta karun dan akan menundukkan kota-kota maksiat.”  (Abu Nuaim)
B. Kata tabiin RH,
“Al-Mahdi adalah seorang yang beralis nipis lagi terpisah kedua-duanya dan besar biji matanya. Dia akan keluar dari Hijaz dan berkhutbah di atas mimbar Damsyik, sedangkan usianya baru 18 tahun.”
Daripada kedua-dua buah riwayat di atas, beberapa perkara dan kefahaman dapat kita ambil, yang secara ringkasnya, antaranya:
  1. Semacam ada pertentangan antara hadis Nabi SAW dengan ucapan tabiin, jika kedua-duanya dinilai secara zahirnya sahaja. Namun sebenarnya tidak ada percanggahan apa-apa walaupun dilihat secara zahirnya, kedua-dua matan itu nyata amat bercanggah!
  2. Alasan yang dapat diberikan ialah mustahil para tabiin tidak mengetahui hadis Rasulullah SAW itu, sehingga mereka mengucapkan sesuatu yang nyata berlawan dengan apa yang telah jelas disebutkan oleh hadis. Alasan kedua, mustahil para tabiin sengaja mencipta atau mereka-reka cerita akan sesuatu yang telah jelas disebutkan oleh baginda SAW. Jika ini berlaku, sudah pastilah ucapan tabiin itu tadi akan awal-awal lagi ditolak oleh para ulama hadis yang mengerti benar-benar maksud tersiratnya, terutama yang pakar-pakar dalam hal berkenaan.
  3. Nabi SAW menyebutkan bahawa Imam Mahdi itu adalah dari keturunan Baginda SAW sendiri, iaitu Ahlulbait. Dan hal ini amatlah jelas dan terang, tidak perlu lagi dihuraikan lebih panjang lebar.
  4. Umur Imam Mahdi adalah 40 tahun dan di dalam hadis ini, tidak disebutkan apa kaitan umur yang 40 itu dengan sesuatu. Mungkin ramai ulama yang dengan mudah sahaja mengatakan bahawa semasa umurnya 40 tahun itulah beliau dilantik sebagai Imam Mahdi, seperti yang banyak didapati di dalam kitab-kitab mereka, yakni berdasarkan  hadis-hadis lain, yang secara zahirnya menyatakan demikian. Hal ini sebenarnya tidaklah salah, malah memang ada alasan yang kukuh untuk mempercayainya juga, iaitu jika dilihat hadis-hadis lain yang menyatakan demikian.
  5. Kemungkinan yang lebih tepat ialah semasa usianya 40 tahun itulah, beliau dilantik sebagai Qutubul Aulia, walaupun belum lagi dilantik sebagai Imam Mahdi. Mungkin juga dalam usia demikian, beliau mendapat tahu bahawa dirinya adalah calon untuk menjadi Imam Mahdi seperti yang disebutkan dalam hadis-hadis, asar dan ucapan tabiin. Sebelum itu, beliau tidak mengetahui akan hal ini. Mungkin juga dalam usia 40 tahun itulah, beliau mula menjalankan tugas sebagai Qutubul Aulia dan sekali gus merangkap Imam Mahdi untuk umat Islam pada zaman ini.
  6. Jadi, yang lebih baik, usahlah mengandaikan maksud hadis itu semata-mata menurut fahaman kita yang cetek ini, tanpa merujuk kepada erti yang hakikatnya. Lihatlah pendapat dan ijtihad para ulama yang lebih dalam ilmunya dan tinggi kefahamannya.
  7. Wajahnya bergemerlapan bagaikan bintang. Maksudnya ialah wajahnya amat berseri-seri dan menggembirakan setiap mata yang melihatnya. Seri wajahnya itu adalah seri wajah ahli syurga, seri wajah salah seorang penghulu syurga, seri wajah kekasih Allah SWT, seri wajah dari seorang ahli ibadat, seri kerana amat bersih hatinya dan juga seri dari keikhlasan hatinya.
  8. Kulitnya kemerah-merahan seperti kulit orang Israel. Nyatalah bahawa Imam Mahdi bukan lagi berkulit seperti kulit orang Arab, tetapi lebih kepada corak kulit orang Ajam dengan warna yang kemerah-merahan. Maksud tersiratnya ialah, kulit yang merah itu tanda negeri tempat lahirnya adalah negeri yang panas. Kulitnya macam kulit orang Israel itu adalah tanda bahawa keturunannya sudah bercampur antara Arab dengan Ajam, iaitu penduduk asal dari negeri ‘yang panas cuacanya’ tadi. Orang-orang Arab yang datang ke Timur ini, lazimlah kulit mereka menjadi kemerah-merahan.
  9. Ada tahi lalat besar pada pipi kanannya. Tahi lalat hidup yang terdapat pada pipinya itu tidak bersifat semulajadi, iaitu tidak ada semasa Imam Mahdi masih kecil dan remaja. Mungkin setelah beberapa puluh tahun umurnya, barulah tanda itu ada pada pipi kanannya. Sebab itulah tidak disebutkan tahi lalat itu wujud sejak kecilnya atau sejak lahir lagi.
  10. Mengeluarkan harta karun dengan banyaknya. Apabila Imam Mahdi dilantik sebagai Imam, maka bumi dan langit pun mengeluarkan khazanah masing-masing untuk kemudahan manusia. Hal ini berlaku dengan lebih hebat lagi setelah matinya Dajjal dan turunnya Nabi Isa AS di kalangan umat Islam. Ketika itu, seluruh nikmat dunia yang pernah dikecapi oleh umat terdahulu akan dapat dikecapi oleh mereka yang hidup pada masa itu. Juga sebahagian nikmat dunia yang tidak pernah dikeluarkan kepada mana-mana umat pun akan dikeluarkan kepada sekalian umat Islam untuk dinikmati dan disyukuri.
  11. .Menundukkan kota-kota maksiat adalah salah satu tujuan utama Imam Mahdi diturunkan. Dengan turunnya Imam Mahdi, bumi ini akan disapu segala dosanya sehingga akhirnya bumi ini dipenuhi dengan kesucian dan kebersihan, zahir dan batin. Apabila ini berlaku, keberkatan turun mencurah-curah dari langit, melebihi daripada turunnya hujan yang amat lebat sekalipun. Semasa menundukkan kota-kota maksiat ini, Imam Mahdi akan melalui enam peperangan besar yang turut disertainya. Setelah itu, tidak akan ada peperangan lagi di dunia ini, melainkan berperang dengan Dajjal dan pengikut-pengikutnya dari kalangan bangsa Yahudi sahaja.
  12. Alis matanya nipis dan terpisah antara kedua-duanya. Keadaannya yang seperti ini adalah suatu yang lazim bagi orang Melayu dan orang-orang di Timur sini. Makna tersiratnya ialah Imam Mahdi itu memang seorang lelaki yang berwajah tampan dan mukanya berseri-seri, sedap mata memandang.
  13. Biji matanya besar.
  14. Beliau belajar di Hijaz. Syarat ini perlulah dipenuhi kerana telah dijelaskan begitu. Namun, ramai orang tidak memahami maksud ucapan tabiin ini, lalu terus mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi sedangkan jejak kaki pun tidak pernah ke Hijaz itu. Maksud belajar itu adalah belajar daripada guru-guru yang bertaraf wali dan mujtahid, terkenal salehnya dan mendapat bimbingan secara langsung dalam hal tarekat sufi.
  15. Mampu menyampaikan ceramah agama dalam usia yang masih muda iaitu selepas habis belajar di Hijaz. Imam Mahdi yang masih muda itu akan merantau ke Damsyik, dan sepanjang tinggal di sana, beliau akan diminta mengajar orang ramai ilmu agama, sedangkan usianya masih amat muda. Orang ramai juga tidak tahu bahawa yang mengajar itu adalah bakal Imam Mahdi bagi seluruh umat Islam ini.
  16. Ucapan tabiin itu tidak menyebutkan langsung bahawa ‘bakal’ Imam Mahdi itu datang ke Damsyik sebagai Imam Mahdi. Jadi, kesimpulan yang lebih tepat, kedatangannya ke Damsyik adalah semata-mata untuk menuruti jejak ahli keluarganya yang masih tinggal saki-baki lagi itu, bukannya datang dengan title sebagai ‘Imam Mahdi’.
  17. Jadi, berdasarkan huraian-huraian di atas, nyatalah bahawa kedua-dua keterangan berkenaan, yang sebelum ini ditolak orang, kerana nyata amat bertentangan, sebenarnya langsung tidak bertentangan sama sekali, malah saling menguatkan antara satu sama lain. Diharap selepas ini, tidak ada lagi orang yang akan mengatakan hadis itu salah dan hadis ini silap kerana kedua-duanya bertentangan matannya.
Artikel ini adalah bagian dari buku Imam Mahdi : Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik


Kulitnya Sawo Matang

A. Kata sahabat RA,
“Kulit al-Mahdi berwarna coklat (sawo matang).”
Daripada ucapan sahabat RA di atas, dapatlah diambil erti bahawa Imam Mahdi itu kulitnya berwarna, bukan putih cerah seperti kebiasaan warna kulit orang Arab. Disebutkan warna kulitnya di dalam bahasa Arab sebagai coklat, bukannya putih atau cerah. Jelasnya, warna ‘coklat’ yang dimaksudkan itu adalah sawo matang. Dan jika kita cantumkan semua keterangan yang ada mengenai Imam Mahdi ini, jelaslah, bahawa Timur yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan adalah kawasan Nusantara ini. Mustahillah orang Jepun dikatakan kulitnya coklat atau sawo matang. Begitu juga orang Cina, jarang sangatlah didapati yang kulitnya coklat seperti yang diisyaratkan oleh asar.
Orang Siam juga tidak ada yang benar-benar coklat kulitnya secara umum. Malah mungkin ramai orang Siam yang akan tersinggung jika dikatakan mereka itu berkulit coklat. Orang-orang di India juga tidak dikatakan coklat kerana mereka secara lazimnya, berkulit lebih daripada coklat. Hal ini memang pun sudah diketahui di seluruh dunia. Orang Pakistan juga tidak dapat diistilahkan coklat kerana mereka lazimnya berkulit kemerah-merahan. Tidak pernah lagi kedengaran ada orang mengatakan bahawa orang Pakistan itu kulitnya coklat. Tidak tahulah pula pada zaman akan datang, ada orang yang menganggap orang Pakistan itu berkulit coklat juga.
Jadi, kesimpulan yang dapat diambil daripada asar di atas ialah, memang Imam Mahdi itu, tidak syak lagi, adalah dari kalangan bangsa Melayu ini, tidak kiralah sama ada asalnya dari mana-mana Kepulauan di Indonesia, Singapura, Selatan Filipina, Malaysia, mahupun Selatan Siam. Semua yang Islam yang tinggal di kawasan berkenaan lazimnya adalah dipanggil orang Melayu, dan kulitnya lazim dikatakan sebagai coklat. Mereka tidak marah jika dipanggil demikian, malah mereka sendiri yang menyebut bahawa kulit mereka adalah coklat.
Dan tidak syak juga, bahawa bangsa Ajam yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah bangsa Melayu ini. Ini dikeranakan mereka adalah bangsa terakhir yang menerima Islam sebagai agama mereka secara beramai-ramai dan selepas kawasan ini, tidak ada lagi bangsa lain yang menerima Islam secara terbuka dan beramai-ramai. Dan, bangsa Timur yang dimaksudkan oleh hadis-hadis, yang di dalamnya ada segolongan umat Islam istimewa yang dipanggil IKHWAN itu adalah dari bangsa Melayu ini, sudah amat jelas, tidak lain dan tidak bukan. Tidak perlu lagi kepada huraian yang lebih lanjut dan terperinci untuk menjelaskannya.
Sebab lain yang membantu menguatkan hujah ialah faktor agama. Maksudnya penerimaan agama Islam di kalangan masyarakat umum dan penghayatan kepada Islam yang sangat intensif. Pada masa ini, hanya orang-orang di rantau ini yang benar-benar menerima Islam sebagai agama mereka secara besar-besaran dan beramai-ramai. Tidak ada tempat lain yang berbuat demikian seperti orang Melayu ini. Mereka lakukannya secara sukarela, tiada paksaan, tiada sentimen melulu seperti semangat yang berapi-api dan tidak juga melalui penguatkuasaan undang-undang.
Masyarakat Melayu juga adalah kaum yang pada hari ini dilihat paling menonjol penghayatan kepada Islam sebenar. Bangsa-bangsa lain tidak ada yang dilihat penghayatan Islamnya lebih tepat, lebih bersungguh-sungguh, berdasarkan kemahuan sendiri, tidak melampau (radikal dan menakutkan) dan penuh hikmah. Keadaan ini berlaku bukanlah dengan disengajakan, tetapi sebenarnya memang telah disusun sedemikian rapi oleh Allah SWT sendiri iaitu secara semula jadi. Hanya sekaranglah perkara ini baru disedari oleh bangsa Melayu itu sendiri, terutamanya dari kalangan yang kuat mengamalkan ajaran tarekat dan dakwah.
Secara tidak langsung juga asar sahabat RA ini menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu bukan lagi berketurunan Arab seratus peratus, sebab orang Arab jati jarang yang kulitnya sawo matang. Percampuran antara darah Arab dan Ajam (di sini maksudnya Melayu) menyebabkan kulit Imam Mahdi itu tidak lagi seperti kulit bangsa Arab jati, tetapi sudah berwarna seperti warna kulit bangsa Ajamnya itu. Jika kulit Imam Mahdi itu seperti kulit Arab jati, tidak perlulah lagi disebutkan oleh para sahabat RA warna kulitnya itu, kerana memang orang Arab itu kulitnya putih dan kemerah-merahan seperti yang lazim. Bagi bangsa Arab pula, berbezanya warna kulit Imam Mahdi daripada warna kulit mereka menjelaskan bahawa Imam Mahdi itu bukan lagi milik penuh bangsa Arab, suku Quraisy, Bani Hasyim, Alawiyin atau Ahlulbait. Dan mereka pula bukanlah lagi bangsa pendokong agama suci ini pada masa ini.
Maksud lain yang dapat diberikan di sini adalah sebagai suatu penghormatan kepada bangsa Ajam yang menjadi tempat kelahiran Imam Mahdi itu. Dikatakan Imam Mahdi itu berkulit coklat, sebagai tanda bahawa umum masyarakat setempatnya berkulit demikian, walaupun mungkin Imam Mahdi itu sendiri tidaklah begitu coklat kulitnya seperti mereka. Apabila bergaul dengan masyarakat setempat, maka kulitnya pun dikatakan kelihatan macam cokla pada masa init juga. Ini sebenarnya adalah suatu penghormatan yang amat besar dan sangat bernilai bagi bangsa Melayu zaman ini, kerana Imam Mahdi itu lahir dari kalangan mereka.
Untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut mengenai masalah kulit Imam Mahdi ini, lihatlah hadis yang berikut dalam tajuk seterusnya. Semoga dengan ini, kefahaman kita yang selama ini mungkin kurang jelas atau tidak jelas, dapat dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Kita juga tidak digalakkan berfikir terburu-buru sehingga tidak sempat membuat keputusan dengan adil dan tepat. Fikirkan dari segenap aspek dan keadaan supaya ilmu kita benar-benar membawa manfaat kepada kita.




Kulitnya Macam Kulit Orang Arab

A. Sabda Nabi SAW,
“Kulit al-Mahdi adalah seperti kulit orang Arab, bentuk tubuhnya seperti bentuk tubuh orang Bani Israel, pipi kanannya bertahi lalat dan kekhalifahannya diredhai oleh penduduk bumi, penduduk langit dan burung-burung di angkasa.”         (Abu Nuaim & at-Tabrani)
Daripada kandungan hadis ini, kita dapat mengambil beberapa perkara, antaranya adalah:
  1. Kulit Imam Mahdi adalah seperti kulit orang Arab. Ini disebabkan Imam Mahdi adalah berasal dari keturunan bangsawan Arab Quraisy. Cuma warnanya sahaja yang agak sawo matang, seperti bangsa Ajam yang menjadi tempat tinggalnya. Bangsa Ajamnya melihat beliau seperti orang Arab keran beliau memang dari bangsa Arab. Maknanya Rasulullah SAW menyebutkan hal ini berdasarkan sudut pandangan bangsa Ajam.
  2. Bentuk tubuhnya adalah seperti bentuk tubuh orang-orang Israel, yakni besar dan tegap. Ini sebagai menunjukkan bahawa Imam Mahdi adalah seorang yang gagah dari segi fizikalnya dan amat mantap pula dari segi rohaninya. Keadaan fizikal yang besar ini perlu kerana seorang pemimpin yang berbadan tegap akan menggerunkan musuh yang melihatnya. Penyataan ini adalah berdasarkan pandangan bangsa Ajam tempat tinggalnya, bukan dari sudut pandangan bangsa Arab lagi. Sebabnya orang Arab dengan orang Yahudi hampir sama sahaja bentuk dan saiz tubuh badan mereka, jadi tidaklah mereka melihat bangsa yang lain itu lebih besar tubuhnya daripada bangsa yang satu lagi. Hanya orang-orang Ajam sahaja yang memandang tubuh orang Arab dan Israel itu lebih besar daripada tubuh badan mereka.
  3. Dijelaskan sekali lagi bahawa Imam Mahdi itu mempunyai tahi lalat di pipi kanannya, dan penyataan ini adalah amat jelas, kerana disebutkan berulang-ulang kali oleh Nabi SAW.
  4. Kekhalifahannya diredhai oleh seluruh penduduk langit, iaitu para malaikat dan roh orang-orang mukmin. Apabila seluruh penduduk langit telah redha dengan pemerintahannya, maka seluruh penduduk di bumi pun akan turut redha dengan pemerintahannya, kerana lazim apabila penduduk langit telah redha dengan seseorang, maka penduduk bumi pun akan turut redha pula dengannya.
  5. Burung-burung yang disebutkan di sini adalah wakil sahaja daripada sekalian binatang, kerana lazim apabila sejenis binatang redha kepada seseorang, maka semua binatang lain pun akan turut redha kepadanya, tidak kira di langit, di atas tanah, di dalam tanah atau di dalam air.
  6. Punca semua makhluk redha dengan pemerintahannya adalah kerana Imam Mahdi telahpun mempersiapkan dirinya, zahir dan batin, untuk menjawat tugas utama ini, sebelum diserahkan kepadanya tugas utama ini. Hal demikian amat berlawanan dengan pemimpin dunia sekarang yang hanya mempersiapkan zahir sahaja sebelum mereka memerintah sesebuah negara. Aspek rohaniah yang sebenarnya lebih penting, lazimnya terabai terus. Juga dikeranakan pelantikannya adalah atas kehendak Allah SWT jua, bukannya atas pilihan dan pencalonan oleh orang ramai di sesebuah negara.


Matanya Kelihatan Sentiasa Bercelak

A. Kata sahabat RA,
"Kedua-dua pelupuk matanya tampak bercelak.”
Bercelak adalah suatu sunnah. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala, manakala yang meninggalkannya akan rugi, kerana tidak mendapat pahala sunat. Semua ulama muktabar sejak zaman dahulu lagi, sudah menjadikan celak ini sebagai amalan mereka.
Dalam kes Imam Mahdi ini, walaupun beliau tidak mengenakan celak, tepi matanya akan tetap kelihatan seperti bercelak, dan ini adalah suatu keistimewaan baginda yang tidak ada pada orang lain. Keistimewaan ini sebelumnya hanya ada pada datuknya yang mulia, baginda Rasulullah SAW sahaja, selain Nabi Ibrahim AS.



Gigi Seri Imam Mahdi

A. Kata sahabat RA,
“Gigi seri al-Mahdi tampak bersinar.”
Hal ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa Imam Mahdi itu memang bersih dan wangi, sama ada pada badannya mahupun pada anggota lainnya, yang biasanya pada orang kebanyakan, agak berbau atau kurang baik. Sehingga dengan giginya yang kelihatan bersinar itu, akan bertambah lagi berseri wajahnya yang mulia itu.


Gigi Imam Mahdi Berjarak

A. Dari Abdul Rahman bin Auf RA katanya, sabda Rasulullah SAW,
"Sungguh Allah akan melahirkan seorang lelaki dari keturunanku, yang (antara sifat utamanya ialah) giginya berjarak, dahinya lebar, keadilannya sangat meliputi seluruh alam dan akan mendapatkan harta benda dengan melimpah-limpah.”       (Abu Nuaim)


Pada Pipi Kanan Imam Mahdi Ada Tahi Lalat Hidup

A. Kata sahabat RA,
"Pipi al-Mahdi ada tahi lalatnya.”
Ini adalah pengulangan lagi bagi hadis-hadis dan asar yang telah disebutkan sebelum ini. Oleh itu, tetaplah bahawa Imam Mahdi itu orang yang mempunyai tahi lalat hidup, yang besar, terletak pada pipi sebelah kanan. Ini adalah salah satu keistimewaan Imam Mahdi kerana tahi lalat itu bukannya wujud secara semula jadi, tetapi wujud sebelum baginda diangkat sebagai Imam Mahdi.
Oleh itu, semasa hayatnya bergaul, mengajar dan membantu orang ramai, mereka benar-benar tidak tahu bahawa tuan guru mereka itulah dia bakal Imam Mahdi yang akan memerintah seluruh dunia suatu hari kelak.


Janggut Imam Mahdi

A. Kata sahabat RA,
“Dia (al-Mahdi) berjanggut tebal tetapi tidak begitu lebat.”
Imam Mahdi itu mestilah mempunyai janggut, janggutnya diperincikan lagi dengan penyataan bahawa bentuknya tebal, yakni panjang tetapi tidak lebat iaitu tidak rapat-rapat. Maksud panjang itu tidaklah sampai ke pusat seperti yang banyak difahami oleh orang awam, tetapi sekadar tidak sampai melebihi sejengkal. Yang demikian adalah suatu sunnah daripada baginda Rasulullah SAW, yang diikuti oleh para sahabat RA, kemudian oleh para tabiin dan seterusnya oleh generasi di bawahnya, hinggalah ke hari ini.
Keadaan seperti itu, iaitu mempunyai janggut yang tebal tetapi tidak begitu lebat, jika sekali lihat, adalah perkara biasa. Namun untuk memenuhi ciri-ciri berkenaan sebenarnya amat sukar, kerana tidak semua orang mampu memenuhi ciri-ciri berkenaan dengan tepat. Bentuk dan gaya janggut yang tumbuh adalah semata-mata kurniaan Allah, bukannya boleh direka-reka dan dibentuk-bentuk menurut kemahuan kita sahaja. Sebab itulah, sifat-sifat, akhlak, amalan dan keadaan Imam Mahdi itu diperincikan dengan begitu sekali, sama ada oleh Baginda SAW sendiri, mahupun oleh para sahabat dan tabiin. Ertinya, semakin banyak perincian yang diberi, semakin sukar untuk mencari peribadi sebenar yang digelar sebagai Imam Mahdi itu.
Jadi, bagi sesiapa yang ada mengaji bab mengenai sifat-sifat Imam Mahdi, tidak akan menerima bulat-bulat sahaja sebarang pengakuan seseorang bahawa dirinya Imam Mahdi, melainkan setelah menelitinya dari atas hingga ke bawah, dari mula hingga ke akhir, dari zahir hingga ke batinnya dan sebagainya lagi. Banyak perkara yang perlu diteliti dan dinilai, kemudian dibandingkan dengan keterangan-keterangan daripada hadis-hadis dan ucapan para sahabat RA serta tabiin RH. Kebanyakan yang mendakwa dirinya Imam Mahdi tidak mempunyai janggut pun di dagunya.

Setelah berpuas hati bahawa setiap perkara yang disebutkan oleh hadis-hadis ada pada dirinya dan berlaku pula tepat seperti yang didakwa, barulah boleh diakui orang itu memang Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Barulah orang ramai akan segera berbaiat kepadanya, menjadikannya Imam mereka zahir dan batin, dari segi agamanya dan dunianya, dari segi hidupnya dan matinya dan sebagainya lagi.

Ulama pada hari ini di Asia Tenggara ini, terutama sekali yang bertaraf ulama moden, tidak ramai lagi yang berjanggut, apatah lagi yang berjanggut tebal. Banyak daripada mereka yang akhir baligh, bukan akil baligh, kerana umur telah menjangkau setengah abad pun, janggut masih belum tumbuh-tumbuh di dagunya. Alasannya, perkara itu adalah sunat, boleh buat dan boleh tak buat. Tak payah sibuk-sibuk timbulkan atau besar-besarkan masalah furuk ini.

Memang demikianlah keadaannya. Benar juga alasan yang diberikan mereka, jika dilihat sekali lalu. Namun, jika difikirkan sekali lagi, akan jadi kemusykilan yang amat besar. Kalau ulama sendiri sudah tidak menghormati sunnah agama sendiri, bagaimana mungkin orang awam akan turut menghormati ajaran agama mereka, sebab  contoh yang patut diikuti, tiada di depan mata. Kalau para ulama sendiri sudah meninggalkan ajaran agama mereka, siapa lagi yang dapat diharap untuk menaikkan semula agama Islam ke tempatnya yang tinggi dan mulia itu? Takkan kita nak harapkan penganut agama Sikh untuk membantu menaikkan sunnah Islam ke tempatnya yang tinggi itu.

Sebab itu umat Islam pada hari ini sudah ramai yang tidak berjanggut kerana mereka melihat contoh yang paling mudah, para ulama dan para pemimpin yang sudah tidak berjanggut lagi. Memang ada sebilangan umat Islam yang masih berjanggut, tetapi mereka ini berjanggut bukanlah meniru para ulamanya, tetapi atas kefahaman sendiri, kesedaran sendiri dan kemahuan sendiri. Tiada contoh lagi bagi mereka. Ada yang berjanggut dengan niat-niat yang lain, dan bagi golongan yang ini, kita serahkan penilaiannya kepada Allah semata-mata.


Hidungnya Mancung

A. Dari Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“al-Mahdi adalah dari keturunanku, dahinya luas, hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Dia memerintah selama tujuh tahun.”   (Abu Daud & al-Hakim)
Berdasarkan hadis ini, dinyatakan lagi beberapa perkara, sama ada pertama kali disebut, mahupun yang berupa pengulangan daripada hadis-hadis lain:
  1. Imam Mahdi adalah dari keturunan Baginda SAW. Pengesahan yang dibuat berulang-ulang kali ini tidak syak lagi adalah janji Allah dan Rasul-Nya SAW bahawa memang Imam Mahdi itu adalah benar-benar dari keturunan Nabi SAW. Kerana terlalu banyak pengulangan terhadap perkara yang sama, maka dapatlah disimpulkan di sini bahawa perkara ini adalah sesuatu yang mesti dipenuhi, tidak boleh tidak.
  2. Dahinya luas. Penyataan ini juga diulang dalam beberapa buah hadis dan ucapan sahabat dan tabiin. Orang yang berdahi luas lazim dikatakan adalah tanda orangnya kuat rohaniahnya, ahli pemikir yang kuat, tenang fikirannya dan matang dalam segala tindakan dan urusan. Dahi luas juga adalah tanda orang itu sudah berumur, bukan remaja lagi. Sebab itu, lazimnya golongan remaja mempunyai saiz dahi yang lebih kecil berbanding orang dewasa dan orang-orang tua.
  3. Hidung Imam Mahdi adalah mancung. Pernyataan ini adalah tanda bahawa Imam Mahdi itu lahir dari kalangan orang atau kaum yang hidungnya ‘tidak mancung’. Jika tidak, masakan perkara ini perlu disebut oleh Nabi SAW, kerana bangsa Arab memang diketahui umum memiliki hidung yang mancung-mancung belaka. Terlalu jarang atau boleh dianggap pelik jika dikatakan ada orang Arab yang hidungnya tidak mancung atau pesek. Maksud tersiratnya, Imam Mahdi itu benar-benar lahir di negara Ajam.
  4. Imam Mahdi akan menjadi pemerintah di bumi ini. Pemerintahannya setelah menjadi Khalifah adalah penuh adil dan saksama, meliputi seluruh dunia. Tanda akan naik Imam Mahdi menjadi pemerintah ialah seluruh dunia ini akan dipenuhi oleh kezaliman dan penindasan. Para pemerintahnya adalah orang-orang yang zalim-zalim, manakala yang kaya dan kuat menindas yang miskin dan lemah. Yang miskin dan bodoh juga berbuat zalim dengan melakukan jenayah seperti mencuri. Ulama memandang rendah orang awam dan orang awam pula hilang hormat kepada golongan ulama.
  5. Lama pemerintahan Imam Mahdi ke atas seluruh dunia ini adalah tujuh tahun. Tujuh tahun yang dimaksudkan adalah relatif, bukan dengan erti tujuh tahun seperti yang mampu kita bayangkan pada hari ini. Untuk keterangan yang lebih jelas lagi tentang ini, lihat pada bahagian-bahagian akhir pemerintahan Imam Mahdi pada bab-bab yang akan datang. Angka tujuh sebenarnya adalah lambang berkat dan banyak, bukan ertinya tepat-tepat tujuh tahun seperti yang disabdakan.


Cap Kenabian Pada Bahunya

A. Kata sahabat RA,
"Pada bahu al-Mahdi terdapat tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad SAW.”
Suatu perkara yang amat tidak dipedulikan orang ialah cap kenabian Nabi Muhammad SAW yang terdapat pada tengah-tengah dua belikat Imam Mahdi. Kalau dengan Nabi Muhammad SAW dahulu, orang-orang Yahudi dan Nasrani meneliti tanda ini untuk mengesahkan kebenaran individu yang bernama Muhammad SAW itu, maka Imam Mahdi pun demikian juga, bagi kita umat Islam.

Apabila yang zahir itu mengaku dirinya Imam Mahdi, maka mintalah ditunjukkan cap kenabian itu dari belakang badannya. Jika benar, maka sahlah dia itu memang Imam Mahdi seperti yang disebut-sebut. Jika tidak ada cap kenabian itu, maka bohonglah dia.

Cap kenabian itu besarnya seperti telur burung merpati, tulisannya berwarna hitam, huruf-hurufnya jelas, bentuknya seakan-akan membonjol keluar (melengkung) dan bukannya tatu, yakni ditekan dengan alat oleh manusia. Cap kenabian itu bukan dibuat oleh manusia dan tidak akan padam selama-lamanya.

Di sekeliling cap kenabian itu ada bulu roma yang halus tumbuh, yang mengelilingi cap itu. Keadaan seperti ini mustahil dapat ditiru-tiru oleh sesiapa pun, kerana tidak ada kemudahan dan peralatan yang mampu meniru seperti sifat-sifat yang ada itu. Hanya Imam Mahdi dan Rasulullah SAW sahaja yang diberi keistimewaan mempunyai cap kenabian di belakang badan, di antara dua belikat mereka.


Jubah Imam Mahdi

A. Rasulullah SAW bersabda,
“Dia adalah dari keturunanku dan umurnya adalah empat puluh tahun. Wajahnya berseri-seri laksana bintang dan dia mempunyai tahi lalat di pipinya. Dia akan memakai dua lapis jubah Qutwani dan bentuk badannya seperti orang-orang Bani Israel.”        (At-Tabrani)
Jubah Qutwani adalah sejenis jubah yang diperbuat dari bulu binatang, dan bukan menjadi pakaian yang lazim dipakai oleh bangsa Arab sejak dahulu hingga kini. Jubah bulu itu adalah dari jenis jubah yang mahal dan sukar didapati di pasaran terbuka. Dan Imam Mahdi memakai jubah berkenaan sebanyak dua lapis setiap kali pakai. Itu adalah lambang ketinggian peribadinya dan sebagai suatu syiar bagi dirinya. Dua lapis pakaian juga adalah sunnah daripada Nabi Musa AS, Nabi Ibrahim AS dan beberapa orang rasul yang terdahulu.




Sukar Bertutur Kata

A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi adalah termasuk orang yang sukar bertutur kata (ketika awal munculnya).”
B. Sabda Nabi SAW,
“Jika al-Mahdi merasa sukar berbicara, maka dia akan menepuk paha kirinya dengan tangan kanannya.”
Kedua-dua hadis ini menyatakan satu perkara yang sama iaitu Imam Mahdi itu diberikan satu keadaan iaitu sukar berkata-kata ketika awal munculnya sebagai Imam Mahdi. Hal ini berlaku hanya apabila dibaiat oleh orang ramai, dan bukannya sifat semula jadi sejak kecil.

Keadaan ini sebenarnya adalah untuk membezakannya daripada orang lain, kerana lazimnya para pemimpin dunia hari ini mestilah seorang yang fasih bertutur kata. Adalah suatu kelemahan yang ketara pada hari ini jika seseorang pemimpin itu tidak fasih berkata-kata atau gagap. Dan lazimnya orang yang seperti ini tidak akan terpilih untuk memerintah manusia, kerana gagap itu adalah suatu kecacatan pada pandangan mereka.

Jadi, untuk membezakan Imam Mahdi daripada pemimpin lain, Allah jadikannya sebagai seorang yang gagap atau sukar berkata-kata sebagai pemimpin manusia. Hal ini sebenarnya bukanlah suatu kekurangan kerana Nabi Musa AS sendiri adalah seorang yang sukar bertutur kata, termasuk ketika berdialog dengan bapa angkatnya, Firaun. Sebab itu Nabi Musa AS meminta agar beliau ditemani oleh adiknya kandungnya, Nabi Harun AS untuk bercakap bagi pihak dirinya ketika berhadapan dengan Firaun.

Boleh juga diertikan dengan sukar bertutur kata itu dengan maksud Imam Mahdi itu tidak suka bercakap perkara yang sia-sia, dan jika ada orang yang bercakap perkara yang sia-sia di hadapannya, akan ditamparnya meja supaya orang yang sedang mendengarnya itu berhenti bercakap atau ditinggalkannya sahaja orang itu sendirian. Itu juga adalah boleh dimaksudkan dengan gagap seperti yang dikehendaki oleh hadis. Hal ini sebenarnya sesuai dan tepat dengan kehendak maksud sebuah hadis lain yang menyatakan Imam Mahdi selepas dibaiat di Masjidil Haram, akan berkhutbah dengan satu khutbah yang panjang, mengajak manusia mengamalkan kembali ajaran Islam sepenuhnya dalam diri masing-masing. Untuk mendapatkan hadisnya, silalah lihat pada bahagian yang akan datang.


Bentuk Kedua-dua Belah Pahanya

A. Sabda Nabi SAW,
“Kedua-dua belah paha al-Mahdi adalah lebar dan saling renggang (tidak rapat).”
Paha yang lebar yakni besar menunjukkan orang itu kuat fizikalnya dan bertenaga. Hal ini berlaku kerana beliau banyak turun naik melakukan solat tahajud dan juga solat sunat, menyebabkan pahanya menjadi kuat dan besar. Jika dilihat dari tepi, kelihatan lebar daging pahanya. Jika dilihat dari depan pula, kedua-dua pahanya kelihatan renggang antara satu sama lain. Maksud tersiratnya ialah Imam Mahdi itu bukan seorang yang berbadan gemuk.


Imam Mahdi Adalah Seorang yang Tegas

A. Imam Tawus RH, seorang tabiin terkemuka menyebutkan bahawa,
“Salah satu tanda Imam Mahdi ialah dia amat tegas terhadap orang bawahannya, harta bendanya melimpah ruah dan amat pemaaf kepada para hamba (pekerja bawahan).”
Imam Tawus menyebutkan tiga perkara yang menjadi tanda khusus bagi Imam Mahdi iaitu:
  1. Imam Mahdi amat tegas kepada orang bawahannya iaitu para pekerja di rumahnya, anak-anak murid pengajiannya, para pegawai di pejabatnya, orang-orang kanannya, para makmum yang berada di saf pertama sembahyang dan pemimpin-pemimpin yang dilantik untuk mewakilinya.
  2. Hal ini samalah seperti tegasnya baginda SAW kepada para sahabat semasa di Madinah ketika hayat baginda SAW dahulu. Begitu juga Sayidina Umar semasa pemerintahannya yang ketegasannya cukup kita kenali. Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga terkenal tegas terutama kepada anak-anak, isteri dan para pembesarnya. Sultan Muhammad al-Fateh juga amat tegas kepada para askarnya, sama ada semasa perang atau damai.
  3. Imam Mahdi memang diutus oleh Allah untuk memberkatkan harta benda sehingga melimpah ruah di sana-sini, akhirnya orang ramai jemu melihat harta benda yang bertimbun-timbun di sana-sini, sedangkan tidak seorang pun yang mahu membawanya pulang atau ambil peduli tentangnya.
  4. Imam Mahdi juga sangat berbelas kasihan kepada golongan hamba, pekerja bawahan dan orang awam. Mereka ini sentiasa mendapat bantuan dan perhatian berat daripada Imam Mahdi sendiri. Mereka selalu dibantu, ditolong, didoakan dan dihiburkan oleh Imam Mahdi dari semasa ke semasa.
  5. Akhirnya setiap orang merasakan mereka sentiasa diambil berat dan diperhatikan oleh Imam Mahdi, pemimpin agung mereka. Semuanya amat berpuas hati dengan pemerintahan Imam Mahdi yang amat adil lagi saksama itu.


Imam Mahdi Berdahi Luas

A. Abu Said al-Khudri RA menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda,
“Al-Mahdi itu dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan sebagaimana sebelumnya bumi ini dipenuhi dengan ketidakadilan dan penindasan. Dia akan memerintah selama tujuh tahun.” ( Abu Daud)
Hadis ini menyebutkan dahi Imam Mahdi adalah luas yakni tinggi ke atas dan lebar ke tepi kiri kanan. Itulah pengertian luas yang selalu kita fahami. Dan begitulah maksud yang dikehendaki oleh hadis di atas. Lazimnya orang yang berdahi luas ini adalah lelaki, kerana jarang didapati wanita yang berdahi luas. Memang ada wanita yang dahinya agak luas, tetapi tidaklah sampai seluas dahi lelaki. Jumlah wanita yang berdahi luas juga amat sedikit, kerana kebanyakan wanita berdahi sederhana atau kecil.
Dahi luas juga menunjukkan orang itu sudah berumur atau dewasa. Jarang remaja yang didapati berdahi luas. Dahi seseorang akan menjadi bertambah luas dengan sebab bertambahnya umur atau kerana mendapat sesuatu penyakit yang menyebabkan rambut di dahinya gugur dan tidak tumbuh-tumbuh lagi. Lazimnya dahi yang luas kerana penyakit tidaklah terlalu ramai dan bukan merupakan sebab yang dominan. Orang lelaki menjadi luas dahinya secara beransur-ansur akibat bertambah umurnya dan bertambah kematangannya dalam hidup. Selalu juga dikaitkan dahi yang luas dengan keupayaan berfikir yang agak tinggi.


IMAM MAHDI ADALAH MISTERI

Imamul Mahdi adalah misteri,
Walaupun banyak hadis yang bercerita,
Hendak dihuraikan secara nyata amat sulitnya,
Hendak ditolak payah juga,
Hadis mengenainya terlalu banyak
Bahkan ada yang bertaraf masyhur,
Siapa pun di kalangan ulama, ditanya tidak akan puas,
Bahkan akan berlaku ikhtilaf di kalangan mereka,
Siapa saja yang boleh menerangkan tentang Imamul Mahdi secara puas,
Dialah orang penting dan orang kanannya,
Kerana dia menghurainya dibantu dengan ilham
Dan berita-berita ghaib,
Siapa yang bukan orang kanannya
Hanya boleh menghurai di sekitar hadis saja,
Siapa orang kanannya, dia menghurai dibantu oleh ilham
Atau berita ghaib menguatkannya,
Orang kanannyalah lebih tahu tentang Imamul Mahdi Al-Muntazar,
Selainnya hanya boleh menghurai secara rambang,
Bahkan orang kanannya boleh berhubung
Dengan Imamul Mahdi di waktu-waktu tertentu,
Dapat panduan, dapat bimbingan, dapat berita ghaib akhir zaman,
Kerana itulah dia boleh menceritakan
Tentang Imamul Mahdi dengan tepat dan puas,
Walaupun begitu, bukan semua orang boleh menerimanya,
Lebih-lebih lagi para ulamanya bukan senang hendak percaya,
Bahkan setelah lahirnya pun
Para ulama ada yang menentangnya,
Di waktu itu mereka akan nahas,
Mereka akan menerima padahnya hasil penentangannya.
(Sajak Petikan dari Majalah Kebenaran

2 comments:

  1. Ad Daulatul Islamiyah Melayu
    Khilafah Islam Akhir Zaman

    Kami mengundang Kaum Mukminin-Mukminat
    Dari seluruh Dunia untuk bergabung bersama kami
    Menjadi Tentara Islam The Man from The East of Imam Mahdi
    as A New World Religion Bangsa Islam Akhir Zaman.

    Kami mengundang Anda Menjadi Bagian Bangsa Islam berdasar Aqidah Islam
    Bukan Menjadi bagian dari Bangsa-bangsa berdasarkan Daerah

    Kunjungi Undangan kami Kehadiran anda kami tunggu di
    di http://dimelayu.com.nu


    ReplyDelete
  2. wujud ke laman web http://dimelayu.com.nu ni?

    ReplyDelete