AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Sunday, July 31, 2011

PENGENALAN GERAK MAKRIFAT (2)

OBJEKTIF

Dakwah melalui seni persilatan dan perubatan. Kaedah ini pernah di praktikkan oleh Sunan Kalijaga dan Tok kenali di zaman mereka iaitu melalui pendekatan budaya. Malah seni persilatan merupakan wasilah yang amat baik untuk membawa manusia kepada Allah, begitu juga kaedah perubatan Islam yang mana kebanyakkan penyakit yang di turunkan oleh Allah SWT di akhir zaman ini menjurus kepada kifarah atas dosa-dosa umat masakini yang banyak melakukan maksiat dan dosa terutama dosa syirik.

MATLAMAT

Menzahirkan kehebatan ilmu ALLAH dalam menundukkan segala ilmu yang batil sama ada daripada manusia, syaitan atau jin dan diajar secara terbuka kepada umum yang mempunyai semangat untuk memperjuangkan agama dan mempertahankan tanah air.

PELAJARAN DI DALAM AKADEMI GERAK MAKRIFAT

Hamba telah menyusun pelajaran-pelajaran ini mengikut tahap-tahap berikut dari peringkat asas, pertengahan dan tinggi :

(1) Latihan Silat Hulubalang Melayu
(2) Perubatan Tradisional
(3) Pengamalan Ilmu Kebatinan Lam Alif
(4) Silat Batin Sunan kalijaga (Gerak Faqir)
(5) Amalan Ismullah Al A’dzham
(6) Ilmu Titik 9 @ Syahadat Tokku Paloh
(7) Amalan Zikir Nafas

Namun di atas kesuntukan masa untuk melatih pemuda-pemudi di dalam latihan Silat Hulubalang Melayu, Perubatan Tradisional dan Ilmu Kebatinan Lam Alif, hamba mulakan Akademi Gerak Makrifat ini dengan tahap 4 terlebih dahulu iaitu Gerak Faqir.

KAEDAH PENGAMALAN GERAK FAQIR

Tanpa kefahaman ilmu tauhid tasauf maka perjalanan seorang murid itu seperti orang yang mengembara tanpa peta yang tepat untuk ditujui, ibarat belayar dengan tiada mengetahui pulau mana yang mahu di tuju. Dengan itu murid mesti menguasai kefahaman Tauhid Syuhudiah A'faal di dalam sifat 20 yang disusun oleh para ulama Sufi untuk menjadi panduan dan mempercepatkan proses ke'Pana'an berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Solat adalah pintu untuk membuka Makrifat A'faal atau Tauhid A'faal dan pengenalan Rahsia Diri. Jika para murid itu benar benar berada pada martabat yang dikehendaki, maka kesannya ialah boleh berlaku pergerakan anggota badan diluar kawalan dari gerak akal dan hati. Ia dapat digunakan dalam peperangan, pertempuran, perubatan atau apa juga tujuan keduniaan yang baik, namun tidak boleh di buat pertunjukan.

Kesan kekuatan dan kehebatan yang bersifat RABBANIAH itu melimpah pada mereka seperti tidak akan merasa sakit, tidak binasa, kebal, kasyaf, ilmu ladunni, dapat menembusi alam ghaib, dilihat hebat, gerun, kaseh sayang dan kadang kala rupa jasadnya dlihat muda, tua, cantik mengikut Nur yang ada disisinya dengan Izin Allah. Namun hal tersebut bukanlah matlamat tapi boleh digunakan dalam keadaan memerlukan sahaja. Matlamat hakiki mereka mengajar para murid kepada hakikat Makrifatullah. Wallahualam.


(1) Pengenalan

Seseorang Hamba adalah Faqir dimana Gerak dan Diam adalah takluk dalam Kudrat dan Iradat ALLAH. Kita hanya mempunyai kudrat memohon tetapi tiada kudrat melakukannya....walaupun hanya mahu meminun secawan air atau mengerakkan hujung jari, melainkan datangnya gerak Kudrat dan Iradat dari ALLAH. Justeru itu gerak dan jurusnya hanya dimohon kepada ALLAH.

Para pengamal Gerak Faqir yang benar pelajarannya akan memiliki kunci rahsia memohon qudrat ALLAH. Dengan kunci tersebut serta keyakinan yang benar, para ahli Gerak Faqir mampu menggunakannya dengan pelbagai hajat, samaada untuk dirinya atau membantu orang lain seperti perubatan dan lainnya.

Para pengamal Gerak Faqir wajib sentiasa Syuhudkan dirinya di dalam keFaqiran disisi ALLAH, tiada baginya Ilmu, adapun segala kehebatan dan kekuatan adalah milik ALLAH. Sesungguhnya ALLAH cinta kepada hambaNya yang merendah diri dan menyeru padaNya memohon pertolongan. ALLAH akan makbulkan segala permohonan hambaNya dalam apa jua perkara kebaikan, insya Allah.

Ahli Gerak Faqir dilarang bertuhan pada kekuatan diri, ilmu atau amal melainkan wajib melatih diri kepada Tauhid Syuhudiah atau Tauhid Wujudiah dengan segala kelebihan yang dimiliki.

"Apa jua kehebatan yang dimiliki tetap tidak boleh memecahkan pintu takdir ALLAH."
(petikan kalam Hikam Syeikh Ibnu Athoillah As-Sakandari(r.a) )


(2) Mukaddimah

GERAK FAQIR adalah latihan menfanakan diri dalam gerakan silatnya sehingga mencapai Syuhudiah atau Wujudiah. Ianya merupakan satu cabang daripada amalan ulama sufi terdahulu yang di susun suatu ketika dahulu bagi digunakan sebagai ilmu duniawi dan diajar kepada pejuang-pejuang Islam dalam menentang kuasa penjajah di Nusantara.

Ia juga bermatlamat menzahirkan kehebatan ilmu ALLAH dalam menundukkan segala ilmu yang batil sama ada daripada manusia, syaitan atau jin. Ia diajar secara terbuka kepada umum yang mempunyai semangat untuk memperjuangkan agama dan mempertahankan tanah air.

Ia suatu latihan mematikan diri dan membangkitkan kekuatan rohaniah. Dengan jalan makrifat , para pengamal Gerak Faqir melatih dirinya dengan teknik tertentu dari satu tahap ke satu tahap sehingga mereka benar-benar boleh memahami dan menguasainya. Insya Allah pada tahap tertentu , mereka mampu melakukan perkara-perkara luar biasa mengikut keperluan tanpa melalui amalan, wirid atau hizib tertentu.

Namun hal tersebut bukannya boleh dijadikan pertunjukan kerana tiada jaminan ianya boleh berlaku setiap masa, sebaliknya bergantung kepada kehendak ALLAH.


(3) Dasar-Dasar

Asas Gerak Faqir adalah Tauhid Tasawuf. Dasar Gerak Faqir terbahagi pada tiga bahagian, iaitu:

a) Tauhid I'tiqadiah
b) Tauhid Syuhudiah
c) Tauhid Wujudiah

Tauhid I'tiqadiah adalah Tauhid Ilmu KeTuhanan Ahlu Sunnah Wal Jamaah aliran Asya'irah dan Al-Maturudiah. Ianya telah dihurai dalam perbahasan ilmu tauhid yang dikenali dengan sifat dua puluh. Tauhid ini adalah tauhid ilmu yang mengesahkan pegangan seseorang dengan akidah Ahlu Sunnah Wa Jamaah.

Tauhid Syuhudiah adalah tauhid yang berasaskan cahaya hati dimana hati mereka sudah tersyuhud kepada Allah dalam setiap gerak dan perlakuan. Tauhid ini menyempurnakan seorang itu dalam akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah. Tauhid ini diperolehi hasil dari kefahaman yang sebenar-benarnya dalam ilmu usuluddin serta mempraktikkan dalam kehidupan seharian.
Tauhid Wujudiah ialah perasaan keleburan yang tinggi sehingga fana ia daripada melihat wujud yang lain melainkan wujud Allah semata-mata. Ia adalah hasil dari latihan zikir dan musyahadah di bawah bimbingan mursyid. Sampai pada peringkat ini, maka barulah seorang itu mencapai kesempurnaan tauhid Ahlu Sunnah Wa Jamaah yang hanya melihat satu wujud saja, yakni wujud Allah semata-mata. Maka hancurlah Ananiahnya (keAkuan dirinya), tiada baginya terhijab dengan amal dan pergantungan pada asbab.


(4) 4 Langkah Gerak

Mempelajari ilmu Gerak Faqir bukan silat semata2, tapi ia adalah ilmu atau jalan Makrifah menuju pada ALLAH. Guru dan Ulama dahulu mengolah ilmu yang sesuai dengan keadaan semasa itu sehingga diberi ilham dan kekuatan untuk tujuan berjihad kejalanNya. Kaedah ilmu ini mendzahirkan kehebatan ilmu ALLAH dlm menundukkan segala ilmu yang batil baik dari ilmu hitam, jin dan syaitan atau boleh digunapakai untuk ilmu perubatan dan sebagainya.

Gerak Faqir adalah gerakan yang berasaskan kepada 4 LANGKAH.
1. Amalan wirid-wirid tertentu (Ismullah Al A’dzham)
2. Niat atau doa (IRADAT)
2. Makrifat (HUBUNGAN DGN ALLAH)
3. Gerak Silat @ Gerak tangan untuk sesi rawatan (KUDRAT/ILMU)

Gerak Faqir adalah datang dari Gerak Allah setelah seseorang berjaya memahami ILMU menFANAkan dirinya.

Untuk mencapai makam makrifat perlu pada ilmu TAUHID TASAWWUF. Sesungguhnya seseorang yang benar benar mencapai makrifat kepada ALLAH, dia adalah raja dunia dan akhirat. padanya akan keluar segala ilmu, hikmah dan barakah.
Dalam Gerak Faqir bukan buah, bunga atau gerak tari yang menjadi ukuran, tetapi paling penting ialah ia benar-benar berada dalam GERAK ALLAH.

"Apa jua kehebatan yang dimiliki tetap tidak boleh memecahkan pintu takdir ALLAH"
(petikan kitab Hikam Syeikh Ibnu 'Athoillah).



(5) Wirid Ismullah Al A’dzham, Makrifat, Niat dan Gerak

Sebenarnya Ismullah Al A’dzham menjadi suatu yang dicari-cari manusia sejak mereka diciptakan Allah, malah hingga ke akhir zaman, merupakan teka-teki belaka bagi orang-orang kebanyakan; sedangkan dia adalah menjadi milik dan rahsia peribadi para Nabi dan Rasul, orang-orang Siddiq dan para wali Allah di mana hanya mereka memperoleh Ismullah Al A’dzham ini . Sebaliknya orang-orang yang mencapai rahsia-rahsia di peringkat rendah, di mana mereka mencapai sesuatu dengan perantaraan makhluk halus (jin Islam), maka tidaklah mereka memperoleh Ismullah Al A’dzham yang maha berkat ini.

Orang-orang yang tidak kuat berpegang kepada agama dan kurang takutnya pada Allah adalah dibimbangi mempelajari Ismullah AL A’dzham ini, seandainya di pergunakan untuk menentang musuh-musuh sesama Islam atau menyakiti dan menzalimi orang-orang yang tidak sefahaman dengannya. Dikala itu akan terjerumuslah mereka ke dalam kemurkaan Allah sebagaimana perlakuan Bal’am yang telah menyalahgunakan dalam perkara yang tidak diredhai oleh Allah SWT.

Makrifat adalah ilmu pengenalan dengan Allah. Seseorang itu wajib mengenal Tuhannya. Awal pengenalan dengan Tuhannya adalah dengan mengenali DIRInya sendiri. Ringkasnya pengenalan mengikut Gerak Faqir adalah memahami 7 SIFAT MAA'NI iaitu:

1: Kudrat (kuasa)
2: Iradat (kehendak)
3: Ilmu (ilmu)
4: Hayat (hidup)
5: Sama' (mendengar)
6: Basar (melihat)
7: Kalam (berkata-kata)

Ketahuilah bahawa sifat AL-HAYAT adalah 'ketua' bagi segala sifat, manusia boleh hidup tanpa 6 sifat (melihat, mendengar, berkata-kata, ilmu, kuasa, kehendak) tetapi tanpa al-Hayat, maka manusia akan mati. NAFAS adalah dari Ruh al-Hayat.Hidup jasad dengan nafas, hidup nafas dengan sifat al-Hayat Allah.

Niat adalah gerak hati. Gerak hati adalah kuasa pilihan yang diberi oleh Allah pada setiap manusia. Setiap Gerak (IRADAT) hati akan datang kudrat Allah. Manusia (hakikatnya) tiada kudrat, segala gerak perbuatanya adalah gerak Allah (KUDRAT). Allah mengurniakan kudrat tetapi ada kudrat yang diredai dan ada kudrat yang tidak diredai-Nya.

Para pelajar Gerak Faqir wajib mendalami gerak hatinya. Gerak hati wajib dikawal oleh ilmu dan akal yang tunduk kepada wahyu. Gerak Faqir adalah datang dari gerak Allah setelah para pelajar berjaya memahami ilmu mematikan dirinya. Maka setelah seorang pelajar itu benar-benar berada pada maqam tiada dirinya (fana), maka akan timbullah disana gerak Allah yang berdasarkan Kudrat, Iradat dan Ilmu-Nya mengikut apa saja niat atau permintaan.

Para pelajar Gerak Faqir wajib memdalami dan memahami Aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah yang telah disusun dalam pengajian Sifat 20, wajib juga memahami Tauhid Syuhudiah dan Wujudiah .

Tauhid Syuhudiah dan Wujudiah adalah maqam yang dikurniakan Allah bagi mereka yang bersungguh-sungguh berjalan kepadaNya untuk menyucikan jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Barang siapa yang bersungguh-sungguh pada jalanKu, nescaya Aku buka jalan baginya".

Wallahua’lam.


(6) Mati sebelum mati

Berkata Arifbillah,

'Matikan dirimu sebelum kamu mati'. Maka 'mati yang pertama' itu seolah-olah bercerai ruh dari jasad, tiada daya upaya walau sezarah jua pada hakikatnya, hanya Allah jua yang berkuasa. Maka mati diri sebelum mati itu ialah dengan memulangkan segala amanah Allah iaitu tubuh jasad ini kepada yang menanggung amanah iaitu ruhaniah jua.

Dengan hakikat memulangkan dzat, sifat, afaal kita kepada Dzat, Sifat, Afaal Allah yang bererti memulangkan segala wujud kita yang zahir kepada wujud kita yang bathin (Ruh). Dan pulangkan wujud Ruh pada hakikatnya kepada Wujud Yang Qadim.

Maka selepas sempurna 'mematikan diri yang pertama' hendaklah melakukan 'mikraj' iaitu 'mematikan diri peringkat kedua' yang dinamakan mati maknawi, iaitu hilang segala sesuatu didalam hatimu malainkan hanya berhadap pada Allah jua.

'Mati pada peringkat ketiga' adalah mati segala usaha ikhtiar dan daya usaha diri kerana diri kita ini tidak boleh melakukan sesuatu dengan kekuatan sendiri sebab manusia itu sebenarnya memiliki sifat 'Fakir, Dhaif, lemah dan hina'.

Dari Allah mengerakkan Ruhaniah, dari ruhaniah mengerakkan Al-Hayat, dari al-hayat mengerakkan Nafas, dari nafas mengerakkan Jasad dan pada hakikatnya itu Allah jualah yang mengerakkan sekeliannya. Pada pandangan dzahir perbuatan hamba tetapi pada pandangan matahati perbuatan Allah jua. Maka Syuhud akan Allah pada kosadnya (niat) dan segala gerak dan diamnya sebagaimana firmanNya,

"Dan tiadalah yang melontar oleh engkau ya Muhammad ketika engkau melontar tetapi Allah yang melontar........." .

Wallahhualam.

6 comments:

  1. mcm mane nk msuk akademi gerak makrifat ni?

    ReplyDelete
  2. sila hubungi saya di talian tertera.

    ReplyDelete
  3. salam tuan,

    barangsiapa mengenal DIRI maka akan mengenal ALLAH, setelah mengenal ALLAH maka binasalah jasad.

    kenal DIRI kamu rata-rata sebelum mengenal ALLAH yang Nyata, tapi jgn smpi ternampaknya diri.

    perlukah sy pergi ke http://rahsiaalif.tripod.com/id5.html utk dibukakan diri sebenar DIRI sebelum berguru ngan tuan?

    ReplyDelete
  4. Salam tuan..sy ingin belajar dengan.mcm mana sy nk menghubungi tuan?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.