RISALAH ZIKIR SETELAH SOLAT
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, Selawat dan salam
disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat-sahabat
baginda.
Sebagaimana yang kita ketahui cara-cara berzikir setelah solat adalah
dilakukan secara serentak (berjemaah) dan dibaca secara kuat oleh imam dan juga
makmum sebagaimana yang telah biasa dan tersebar luas cara ini di Negara kita
Malaysia. Dalam risalah ini ingin dijelaskan secara ringkas beserta dalil-dalil
dalam al-Quran dan Hadis yang sahih untuk menentukan sejauh mana kebenaran
amalan tersebut dilakukan.
Doa merupakan satu ibadat yang amat dituntut. Firman Allah SWT dalam
surah al-Mu’min, ayat 60 berbunyi:
وَقَالَ
رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ
عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan
bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku,
akan masuk neraka Jahannam dalam Keadaan hina
dina".
Berdoa
dan berzikir dengan cara perlahan
Bagaimanakah pula cara berdoa tersebut? Maka dengan itu, perhatikanlah
ayat al-Quran di bawah dengan FirmanNya:
وَاذْكُرْ
رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ
بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ
Dan
sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah
diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan
suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari
orang yang lalai. [Surah al-A’raaf, ayat
205]
ادْعُوا
رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ
الْمُعْتَدِينَ
Berdoalah kepada Tuhan kamu
dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.
[Surah al-A’raaf, ayat 55]
قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ
أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ
وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا
Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. dengan nama yang mana
saja kamu seru, Dia mempunyai Al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) dan
janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam shalatmu dan janganlah pula
merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua
itu". [Surah al-Israa’, ayat
110]
Sebagaimana
yang dapat diambil dari dalil-dalil di atas ia menunjukkan bahawa sesuatu zikir
atau doa itu dibaca dengan cara perlahan. Manakala dalam surah al-Israa’ pila
digariskan cara berzikir diantara kuat dan perlahan iaitu secara sederhana. Maka
dengan itu, bagaimanakah dengan masyarakat sekarang yang selalunya berzikir
bukan sekadar kuat malah ditambah lagi dengan alat pembesar suara? Tentu sekali
ia bercanggah dengan ayat-ayat di atas.
Dalam satu
hadis yang diriwayatkan oleh Muslim [no: 2704]: Abu Musa al-Anshari
radiallahu anhu berkata: “Kami pernah bersama-sama Nabi sallallahu ‘alaihi
wasallam di dalam satu ekspedisi apabila ada beberapa orang yang menyebut
‘Allahu Akbar’ dengan suara yang kuat.
Mendengar
itu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menegur mereka dengan berkata: “Wahai
manusia! Kasihanilah diri kamu! Kerana bukanlah kamu menyeru kepada yang pekak
lagi jauh. Sesungguhnya kamu (sedang) menyeru kepada Dzat Maha Mendengar lagi
dekat bersama kamu”.
Walaubagaimanapun terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari
daripada Ibnu Abbas: “Bahawasanya mengangkat suara dengan zikir sewaktu
orang ramai selesai dari solat fardhu adalah dilakukan pada zaman Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam”. Berkata Ibnu Abbas lagi: “Aku mengetahui setelah
mereka selesai mengerjakan solat fardhu itu apabila aku mendengar”.
Hadis ini
sebenarnya menerangkan bahawa tidaklah salah jika zikir tersebut dijaharkan
(dikuatkan) tetapi hanyalah sekadar untuk mengajar makmum yang tidak mengetahui
zikir-zikir setelah solat. Hal ini telah dijelaskan oleh imam asy-Syafie dengan
katanya: “Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka mengisrarkan
(memperlahankan) zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya, maka
ketika itu dijaharkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari
daripadanya, maka sesudah itu hendaklah ia perlahankan (semula). [kitab al-Umm,
jilid 1 ms 353, dinukil daripada majalah i dalam artikel ‘sanggahan terhadap
berzikir beramai-ramai tak salah’, keluaran Feb 2007, ms
76]
Zikir yang
dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah secara perlahan dan
terkadang dijaharkan dengan tidak ditetapkan cara perlaksanaan ini. Ini
sebagaimana dalam hadis daripada Ummu Salamah: “Adalah Rasulullah apabila
telah memberi salam, bangunlah para wanita di kala Nabi selesai memberi salam
itu. Sedang nabi duduk sejenak di tempatnya sebelum berdiri. Kami berfikir nabi
berbuat demikian untuk memberi kesempatan kepada wanita keluar lebih dahulu agar
tidak berdesakan dengan para lelaki.” [Hadis riwayat Ahmad dan Bukhari;
al-Muntaqa 1:473]
Hadis ini
menunjukkan nabi tidak menjaharkan zikirnya pada waktu tersebut. Sebaliknya
diisrarkan (diperlahankan) sambil menunggu wanita keluar dari tempat solat
mereka. Imam Syafie menjelaskan lagi: “jika seseorang berkata: seperti apa?
(yakni apakah contoh yang baginda lakukan hanya seketika kemudian setelah oarang
ramai mempelajarinya, Baginda tinggalkan) Aku katakan: Seperti mana Baginda
pernah bersolat di atas mimbar, yang mana Baginda berdiri dan ruku’ di atasnya,
kemudian Baginda undur ke belakang untuk sujud di atas
tanah.”
Padahal
selalunya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di atas tanah sahaja.
Tidak lain dan tidak bukan perbuatan itu adalah untuk mengajar sahaja dan
bukanlah suatu bentuk ketetapan dan cara beribadat. Imam Syafie menjelaskan
lagi: “Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit
dengan kadar yang seketika sehingga kaum wanita pergi. Hal ini seperti yang
dikatakan oleh Ummu Salamah. Kemudian Imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum
daripada itu, atau duduk lebih lama daripada itu, tidak mengapa. Makmum pula
boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia
lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya.”
[rujuk kitab al-Umm bab kalam al-Imam wajulusihi ba’dassalam, dinukil
daripada majalah i keluaran Feb 2007, ms 76 ]
Berdoa dan berzikir secara bersendirian
Tidak dijumpai dalil
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berdoa atau berzikir setelah solat fardhu
secara berjemaah. Adalah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara
bersendirian sahaja tanpa dibaca secara serentak zikir-zikir ataupun berdoa
kemudian di aminkan oleh makmum.
Imam an-Nawawi berkata
dalam hal ini: “Tidaklah ada khilaf tentang kesunnatan adanya zikir sesudah
solat, bagi Imam, bagi makmum, dan bagi yang bersolat secara bersendirian.
Masing-masing berzikir sendiri-sendiri. Adat yang diadakan manusia, iaitu imam
menentukan doa buat solat subuh dan asar, tiada berasal sama sekali. Berjabat
tangan sesudah solat subuh dan asar adalah suatu bid’ah”. [al-Majmu’ ІІІ: 484,
492, dinukil daripada majalah i keluaran Feb 2007, ms 76]
Berkata al-Imam Ibnul
Qayyim: “Imam berdoa sesudah salam daripada solat sambil menghadap qiblat, atau
menghadap makmum tidak pernah dikerjakan Nabi, yang senantiasa bertindak sebagai
Imam, dan tidak ada pula riwayat yang menyuruh kita mengerjakan yang sedemikian
itu.” [Zadul Ma’ad jilid І, ms 93, dinukil daripada Al-Bid’ah bahaya dan
keburukannya oleh Drs, Abdul Ghani Azmi Bin Hj. Idris, ms 208] Renungkan
sebuah hadis yang panjang di bawah:
Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami
duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar,
kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa
al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman (gelaran kepada ‘Abd Allah
bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk
bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami
semua bangun kepadanya.
Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman,
aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi
aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah
ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat
satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang
lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak
batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir
seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil
seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih
seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan
kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti
pandangan dan perintahmu”.
Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka
mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang
sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia
tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas
berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu
‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”.
Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang
sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu.
Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas
makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di
tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk
daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”
Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya
bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak
menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari
kerongkong mereka (ini merupakan salah satu sifat khawarij seperti diterangkan
dalam hadis-hadis). Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari
kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.
Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama
Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” [Hadis
riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh
al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis as-Sahihah jilid 5, ms
11]
Maka dengan itu, segala tatacara ibadat zikir dan doa telah pun
dikemukakan dalil-dalilnya. Adalah yang terbaik dengan mengikuti segala yang
sudahpun ditunjuk oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam
hadis-hadisnya. Firman Allah:
لَقَدْ كَانَ
لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ
وَالْيَوْمَ الْآَخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik
bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari
kiamat dan Dia banyak menyebut Allah. [Surah
al-Ahzab, ayat 21]
وَمَا آَتَاكُمُ
الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ
اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Apa yang dibawa oleh Rasul maka ambillah, maka apa yang dilarang olehnya
maka tinggalkanlah dan takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat
keras hukumannya. [Surah al-Hasyr, ayat
7]
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:
من أحدث في أمرنا
هذا ما ليس منه فهو رد
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan
agama kami ini yang bukan dari kami (yakni tiada dalam al-Quran dan Sunnah),
maka dia tertolak (tidak diterima)". [Hadis riwayat Bukhari no: 2697,
Muslim no: 1718 dengan lafaz yang sedikit berbeza. Hadis ni terdapat juga dalam
Hadis al-‘Arba’in an-Nawawi no:5]
Akhir kalam
Semoga kita bersama-sama menegakkan sunnah Rasulullah yang sebenarnya
dalam semua aspek ibadat dengan bersumberkan dalil-dalil daripada al-Quran dan
Hadis. Sesiapa yang berusaha mencari sesuatu pandangan yang benar, pasti Allah
temukan ia dengan suatu pandangan yang sebenarnya. Biarpun jelek dipandangan
manusia tapi ia menepati kitabullah dan sunnah Rasulullah. Kerana telah banyak
ayat-ayat dan hadis-hadis yang menggalakkan kita untuk berpandukan kepada
keduanya ini.
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ
مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ
وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Hai
orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri
(orang yang berkuasa) di antara kamu. kemudian jika kamu berlainan Pendapat
tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul
(sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang
demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
[Surah an-Nisaa’, ayat 59]
الَّذِينَ
يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ
اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Yang
berusaha mendengarkan Perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di
antaranya. mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka
Itulah orang-orang yang mempunyai akal (yang waras). [Surah az-Zumar, ayat
18]
Semoga
kita menjadi orang yang mendapat petunjuk dan taufik dari Allah subhanahu
wata’aala dan termasuk dalam golongan ulul albab (orang yang mempunyai akal yang
waras. Wallahua’lam….
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.