AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Thursday, November 17, 2011

KITAB PUSAKA SRI GAYONG PANGLIMA ULUNG

SEJARAH PERSILATAN MELAYU

Adapun mengikut hikayat persejarahan lama dalam kitab khazanah
persilatan Melayu di Tanah Melayu, Kitab Pusaka Sri Gayong Panglima Ulung ada menyebut tentang sejarah Silat Melayu Tanah Melayu adalah dibawa daripada amalan Ulama Sufi Islam dari benua Arab. Adapun tokoh utama mereka ada dua orang, walaupun yang lain tidaklah ditonjolkan nama mereka itu kerana mereka berdua itu dan rombongan adalah Ketua Panglima Besar Islam dan sahabat Rasulullah S.A.W yang datang ke Tanah Melayu melalui dua jalan utama dunia perdagangan antara Dua Benua, iaitu Benua Timur Tengah dengan Benua Asia (Sebelum dibuka terusan Suez). Adapun mereka berdua itu bernama Panglima Saad. Satu yang melalui jalan pelayaran laut melalui Laut Arab, Tanjung Pengharapan dan Gujerat India/ Serindib (Sri Lanka), datang dari Habsah bernama akan dia Panglima Saad bin Lubaid. Kerana Hubungan Dagangan Utama dengan Canton di Tenggara di China, Tanah Melayu telah menjadi persinggahan penting ditengah-tengah perjalanan dan utama jalan antara Arab-China.


Walaupun Kerajaan Melayu Melaka belum dibuka oleh
Parameswara (Megat Iskandar Syah) dari Palembang, tetapi kerajaan Melayu tua telah wujud di beberapa tempat di sebelah utara iaitu Langkasuka, Patani ( Selatan Thailand), Bruas/ Manjung (Gangga Negara) di Perak, Kelantan Tua (Tanah Merah) dan Terengganu Tua (Besut/ Setiu). Di Melaka, walaupun masih belum wujud kerajaan tetapi telah ada perkampungan nelayan orang Melayu dan menjadi persinggahan perahu dan kapal layar penduduk tempatan, Nusantara dan pedagang antara Arab-China. Pedagang Islam membawa barangan daripada benua Asia untuk dijual di pasaran Eropah oleh Orang Itali. Tanah Melayu telah menjadi popular dikalangan orang Arab, China, India dan Nusantara sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Adapun kedatangan Panglima Saad menyebarkan Islam ke alam Nusantara sehingga China pada abad ke-5 dan 6 Masihi. Ramai dikalangan mereka aliran mazhab Maliki. Orang-orang melayu di Perkampungan Nelayan mula tertarik dengan peribadi mulia dan persahabatan mulia rombongan Arab dan mula menganut Islam, walaupun kebanyakan pemimpin dan ketua negara mereka masih belum menerima Islam. Orang-orang Melayu mula mempelajari Islam dan amalan kerohanian/ kesufian daripada mereka itu secara bersembunyi-sembunyi. Kedua-dua Panglima Islam r.a mendidik mereka tentang ilmu mempertahankan diri sebagai persiapan mereka ke arah berkerajaan dan bernegara untuk masa akan datang.

Sementara di negara China pula orang China Islam dikenali sebagai “Hui-Hui”/ “Hwei Hwei” / “Ta- Shih”. Tempat pengajian dan tarbiah agama ini berlaku di Tanah Melayu di “Lima Pulau” yang disebut oleh orang China Islam sebagai “Wushu”. Orang Melayu Islam dari Tanah Melayu, Orang Islam dari India, Orang Islam China dan orang-orang dari benua arab berulang –alik ke “lima pulau” di Tanah Melayu sebagai tempat pendidikan awal. Dengan ajaran kerohanian/ kesufian ini dan seni mempertahankan diri ini di Tanah Melayu dikenali sebagai ilmu Persilatan atau ilmu “Gayong”. Ramai di kalangan pelajar ini menjadi Pendekar atau tentera kepada kerajaan Melayu. Orang China Islam memanggil ilmu perang “Wushu”. “Wu” bermaksud “Lima” dan “Shu” bermaksud “ Pulau-pulau”. Lima buah pulau menjadi pusat operasi pengembangan ilmu itu ialah: 1. Pulau Besar, 2. Pulau Serimbun, 3. Pulau Lalang, 4. Pulau Burung dan 5. Pulau Hanyut di hadapan Tanah Besar (Melaka). Berdasar kepada pedoman yang dinyatakan dalam pusaka tua ini, ianya berlaku antara tahun-tahun 53-54H/620-676 Masihi. Pada masa ini China berada di bawah pemerintahan Dinasti Tang (618-905M). Pada masa Dinasti Tang, pelayaran dan perdagangan orang China sudah sampai ke Teluk Parsi melalui Jalan Utama perdagangan di Tanah Melayu sekitar abad ke5-7Masihi. Penduduk di “Lima Pulau” adalah daripada pelbagai wilayah di Tanah Melayu lain seperti . Orang Melayu Tanah Melayu selain belajar di “Lima Pulau” juga membawa bahan-bahan untuk dagangan. Mereka itu dari Besut/ Setiu dan Batu Rakit dari pelabuhan kerajaan Terengganu Tua, dari kerajaan Patani dan Kelantan Tua, dari Pulau Pangkor/ Lumut dari kerajaan Bruas/ Manjung di Perak, dari Muar (Johor-Riau Lingga), dari Kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua, dari Palembang, Perlak-Pasai, dan lain-lain.

Sesuai dengan sistem jalan laut sebagai jalan perhubungan utama,
Ilmu Gayong disebar luas oleh orang-orang laut yang menjadi kelasi kapal dagang. Persilatan atau ilmu Gayong yang dikembangkan di pesisir pantai Tanah Melayu ikut aliran kesufian tempatan berunsur Burung/ dan hidupan air seperti Gayong Helang/ Rajawali/ Layang-layang/ Naga/ Jala (Silat Pulut/Pengantin)// Ikan Pari-pari dan lain-lain. Bagi penduduk di kawasan darat dan tanah tinggi pula ilmu kegayongan yang popular ialah Gayong Harimau, Ular, Singa, Helang Putih, Helang Merah, Cencadak (disebut Sudu Senu di Kelantan , Terengganu: Besut/ Setiu), Halilintar dan lain-lain.

Setelah orang Maharaja China pada masa Dinasti Tang menjalankan dasar buka pintu kepada pedagang asing, Orang Melayu pedagang disebut “Kiwi” bersama dengan Ulama’ Arab menduduki petempatan di Tenggara China di Kwang Chow (Canton), Chang Chow dan Chuan Chow. Ahli pelayaran Melayu yang mashor disebut Panglima Awang / Awang Dagang dari Terengganu.

Mengikut sejarah Islam di China, sejak Hidup Rasulullah S.A.W
iaitu pada tahun 619/ 620 Masihi, Rasulullah S.A.W telah izinkan 101 muslimin dan muslimat berhijrah ke Habsyah di ketuai oleh Panglima Saad bin Lubaid. Kemudian Panglima Saad mengikut kapal belayar ke China (Canton) pada 630/ 631M untuk menyebarkan agama Islam. Beliau dan rombongan telah singgah di Tanah Melayu sebelum ke Canton. Makam/ kubur Saad bin Lubaid terdapat di perkarangan Masjid di Kwang Tah Se di Canton. Disebut orang juga sebagai Saad bin Lubaid al-Habsyi yang pembantunya bernama Yusuf. Selain di Tanah Melayu mereka mengembangkan Islam di Chuan Chow, Chang Chow dan Canton. Mereka telah mendirikan Masjid di Canton iaitu Masjid Kwang Tah Se dan Masjid Chee Lin See.


Orang Melayu yang beragama Islam yang berhijrah ke China ada yang berkahwin dengan orang tempatan dikenali dengan puak “Hui-Hui” dan “Ta-Shih Kueh” dan “P’o-Si” iaitu keturunan Melayu-Arab-Parsi. Puak-puak ini bergabung pula dengan puak-puak China Islam seperti “Hui-Chi”, Ching Jen dan Ch’ing Jen Jiao. Ilmu persilatan Melayu atau “Gayong” di China dikenali sebagai “Wushu”. Ilmu ini berkembang bersama dengan konsep setiap orang Islam itu bersaudara melaui kahwin campur. Golongan pelayar dan pedagang Melayu yang mengikuti pelayaran Ulama’ Sufi Arab, Parsi dan India Gujerat/Cambay telah menyebarkan ilmu persilatan atau “Gayong” dikalangan orang-orang China Islam. Mereka para ahli pelayaran/ pedagang ini diberi kebenaran membuka perkampongan di Canton. Kelompok Melayu dan orang-orang Islam telah berkembang pesat di China sehingga dikenali dengan beberapa puak lagi seperti Da’-Syman, Mu-Su-Lu-Man dan Bu-Syu-Man.

Panglima Islam yang melalui jalan darat, Jalan Sutera Lama melalui Khurasan, Samarqand, Sinkiang dan terus ke Peking, seterusnya belayar ke Tanah Melayu di Kerajaan Terenganu Tua (Besut/Setiu), kira-kira tahun 675Masihi. Panglima Islam ini telah meruntuhkan Dinasti Sassamiyah, Dinasti Parsi (kafir) terakhir dibawah pemerintahan Yezdegird III (632-651M). Islam telah menakluki Parsi pada 634-641M. Firuz (Pi-lu-su) anak Yezdegird dapatkan bantuan Maharaja Kao Tsung (627-650M) seterusnya menyerang Khurasan pada 651M tetapi pemberontakan itu telah dipatahkan oleh tentera Islam pimpinan Ahnaf bin Kais al-Tamimi. Firuz lari ke China. Akibat campurtangan China ke atas Kerajaan Islam Parsi, Khalifah Uthman Al-Affan R.A telah menghantar satu misi ketenteraan ke Changan kerana membantah bantuan China kepada Firuz. Ketua Rombongan itu ialah sahabat Rasulullah S.A.W, Saad Abi Waqas. Setelah melarikan diri dari Serangan tentera Islam, Firuz berkhidmat sebagai Kapten Pengawal Maharaja China pada tahun 674M. Kedatangan Rombongan Panglima Saad bin Abi Waqas juga diterima baik oleh Maharaja China dan Islam dibenarkan disebar-kembang di negara China. Justeru itu Saad Abi Waqas tidak menyerang negara China tetapi sebaliknya belayar ke Tanah Melayu kira-kira pada 675Masihi ke Besut/ Setiu Terengganu melalui pelabuhan Batu Rakit dan di “Lima Pulau” mengembangkan ilmu Islam dan siasah-perang. Beliau pulang kembali dan Saad Abi Waqas ke rahmatullah/wafat pada 55H/bersamaan 677/678M di makamkan di Madinah.

Ramailah orang Melayu Terengganu menganut Islam sehingga wujud satu Legenda Ilmu Perang “Tok Syeikh Serban Kuning dan Tok Syeikh Serban Hijau” di Besut/ Setiu di Terengganu.


Pada masa perkembangan Islam dibawah Khalifah Umaiyyah, Rombongan Islam juga sampai di Tanah Melayu. Persilatan pada masa itu dikenali sebagai Kumpulan Gayong “Semutar Putih” dan kumpulan ini bersama-sama rombongan Umaiyyah ke negeri China di kenali sebagai Puak “Ta-Shih” kerana mereka berjubah putih. Apabila Kejatuhan Kerajaan Umaiyyah kepada Abassiyah, Tanah Melayu juga mengalami perubahan dengan kemunculan Pendekar “Semutar Hitam” kerana panglima Abassiyah berjubah hitam. Pada masa Khalifah Al-Walid (705-715M) dibawah pimpinan Panglima Qutaybah bin Muslim, orang Melayu juga bersama menguasai Sinkiang sehingga Kansu, tetapi tidak meneruskan peperangan sebaliknya menukar strategi diplomatik dengan Maharaja Hsuan Tung (713-756M). Ketika di bawah pimpinan Panglima Hisyam bin Abd. Malik (724-743M). Orang Melayu juga mengikuti rombongan Abbasiyah ke China dikenali sebagai puak “Ta-Shin” atau “Heh-i-Ta-Shih”.


Pada masa pemerintahan Islam Abbasiyyah (751M) tentera Islam bertembung dengan tentera China dibawah pimpinan Kao Hsien-Chih, Tentera Abbasiyyah menang dan seluruh Asia Tengah dikuasai oleh Islam. Selepas itu, bidang ketenteraan di China pada masa pemerintahan Kerajaan Dinasti Tang dikuasai oleh orang Islam.

Maharaja China, Su Tsung (756-763M) yang menggantikan bapanya Hsuan Tsung meminta bantuan tentera Islam “Wushu” iaitu gabungan Arab-Parsi-Melayu-Cina Islam dibawah pimpinan Panglima Abu Muslim (Abbasiyyah) atau disebut Panglima Agong akibat pemberontakan Jeneral An Lu-Shan. Kumpulan Melayu menamakan mereka para pendekar “Semutar Hitam” di ketuai oleh “ Panglima Hitam”. Maharaja Su Tsung berjaya menawan kembali kota Si-ngan-fu (Sianfu) dan Ho-nan-fu (Hananfu) dengan bantuan orang-orang Islam termasuk kumpulan pendekar “Semutar Hitam”. Mereka ramai kahwin dengan penduduk tempatan dan tinggal di sekitar Kansu dan Shensi. Ramailah orang Islam berhijrah ke China termasuklah orang-orang Melayu pada masa pemerintahan Maharaja Choon pada tahun 814-847M.

Orang-orang Islam di China termasuk keturunan Melayu telah mengalami detik sejarah hitam paling pahit apabila terpaksa lari keluar dari negara China akibat masalah agama dan perkauman di China bila orang-orang Islam tidak menyertai perayaan Kebesaran China dan Upacara rasmi telah dipolitik dan propaganda anti asing pada 876M akibat kebangkitan di Tenggara China pimpinan Hwang Chau. Orang Islam tewas dan melarikan diri daripada serangan orang puak “Han” ke Tanah Melayu, Palembang dan Campa. Kemudian menjadi titik tolak perkembangan Islam penyebaran ilmu persilatan Melayu (Gayong) atau “Wushu” di Campa (Vietnam) dan Palembang (kemudian meruntuhkan kerajaan Sri Wijaya).

Pada tahun 906M, Dinasti Tang jatuh. Hubungan dengan orang Islam merosot dan wujud dinasti-dinasti kecil, tetapi disatukan oleh Dinasti Sung (960-1279M). Hubungan China dengan orang Islam termasuk dengan orang-orang Melayu semakin baik. Perdagangan Kemenyam, gaharu, minyak wangi, buah zaitun, kurma arab, permaidani, gading gajah, minyak atar, batu permata, mutiara dan pedang kembali menggalakkan. Saudagar Melayu dan Arab kembali bertapak semula di China. Ketua orang pedagang Islam di China amat mashur disebut “Pu Shou Keng” keturunan Arab-Melayu dilantik oleh Maharaja Sun Yu sebagai Pesuruhjaya Cukai dan berjaya menghapuskan lanun di sekitar perairan Fukien. Namun begitu “Pu Shou Keng” telah menyokong Kublai Khan menyerang China untuk mengembang kembali Islam di China. Orang-orang Islam bersatu menjatuhkan Dinasti Sung di Utara untuk mengangkat puak Genghis Khan (1162-1227M). Namun begitu, bahagian selatan Sungai Yang Tze masih di kuasai oleh Kerajaan Sung Selatan hingga tahun 1279M. Apabila tentera Mongol dibawah pimpinan Kublai Khan dengan bantuan orang-orang Islam “Wushu” telah berjaya menguasai seluruh China dan membentuk Dinasti Yuan (1279-1368M), ibukotanya di Khanbalik (Sekarang Peking). Masalah timbul bila cendikiawan China tidak mahu bekerjasama membangunkan kerajaan dibawah Dinasti Yuan. Kerajaan Yuan terpaksa mempelawa bijaksana Islam dari luar China termasuk di Alam Melayu untuk membangunkan negara China. 12 orang gabenor beragama Islam telah dilantik. Ketua Pemungut Cukai ialah Abdul Rahman (1244M). Kublai Khan telah melantik seorang Menteri Kewangan bernama Syed Umar Syamsuddin di kenali Syed Ajal atau orang China menyebut Say Dian Chih ( Sai T’ien-Chih). Pada 1259 di angkat menjadi Gabenor wilayah Yunan serta mengislamkan penduduk Yunan. Syed Umar tadi di gelar Putera Hsien Yang, menerima anugerah tertinggi kerajaan Yuan. Meninggal dunia pada 1279M. Sebagai mengenang jasa beliau, orang China telah membina tokong khas.

Seorang lagi tokoh Islam “Wushu” berjasa di China ialah Ahmad al-Fanaqati dilantik pada masa Dinasti Yuan sebagai Pegawai Kewangan, menyebabkan kedudukan kewangan China Mantap. Marco polo pernah menyebut dalam catatannya, pengaruh Ahmad amat kuat dan dicemburui oleh pembesar-pembesar China yang lain seperti Chien Hu dan Wan Hu. Ahmad kemudian dibunuh. Kematian Ahmad memperorak perondakan matawang dan perbendaharaan Negara China sehingga wang kertas hampir tidak laku sehingga tahun 1311M percetakan wang kertas diberhentikan. Sebahagian besar tentera Mongol menganuti Islam dan mempelajari Warisan ilmu “Wushu” termasuk Ahnan Da, Gabenor An Si beserta 150,000 orang menganut Islam. Panglima Islam “Wushu” yang amat mashor yang menggantikan Say Dian Chih ialah anaknya, Nasruddin, yang berjaya mempertahankan Yunan daripada serangan Burma di bawah Raja Narathihapate. Tentera Burma cuba menceroboh masuk ke Yunan pada 1287M tetapi dapat dikalahkan oleh tentera pimpinan Nasruddin dan para pendekar “Wushu” di Lembah Vochang. Tentera Burma ketika itu berjumlah 60,000 orang termasuk tentera bergajah. Tentera Nasruddin dan pendekar “Wushu” hanya 12,000 orang sahaja. Ahli teknologi pada zaman Dinasti Yuan ialah Alauddin al-Mufari (A-lao-wa-ting) dan Ismail al-Syam (I-ssu-ma-yin), pakar membuat meriam termashur kemudian mengembangkan ke Melayu Campa dan Melayu Patani. Alauddin kemudian dilantik sebagai wakil Panglima Perang dan Ismail sebagai Ketua penyelia Kilang Meriam.

Seorang pereka cipta takwim China dikatakan keturunan Melayu iaitu Wan-Nien-Li (Wan Nik Li). Takwim itu menjadi takwim rasmi China pada 1281M. Dinasti Yuan bertahan selama 90 tahun di China.

Rasa tidak puashati kepada orang mongol telah menyebabkan satu gerakan pakatan pendekar Islam Wushu dengan rakyat China tempatan bagi menjatuhkan Dinasti Yuan. Kebangkitan seorang pemuda Islam dari Wilayah Selatan Sungai Yang Tze dengan bantuan puak Han bagi membolehkan negara China di perintah oleh orang China sendiri. Tentera Wushu memberontak yang di sebut sebagai Kebangkitan “Serban Merah” melancarkan jihad dipimpin oleh pemimpin orang Islam seperti Kok Tze Hin, Chu Yuan Chang, Ratu Ma, Chang Yui Chong, Hu Dah Hai, Ten Yu, Lan Yui, Mung Ying dan Tang Ho (semua pendekar Wushu Islam) merupakan zaman kebangkitan orang-orang Islam dipimpin oleh Jeneral dari Feng Yang dengan nama chinanya Kuo-Tzu-Hsing (Kok Tze Hin). Setelah kematian Kok Tze Hin, pimpinan disandang oleh anak lelakinya Kok T’iien –Shu, kemudian menantu angkatnya Chu Yuan Chang (1328-1389M). Chu Yuan Chang keturunan Semu (Semitik) mengistiharkan dirinya sebagai Maharaja Ming yang pertama dengan gelaran “Maharaja Hung Wu”. Dinasti Ming adalah dinasti pemerintahan beraja Islam (Ibrahim T.Y Ma,1979:124-135). Permaisurinya Ratu Ma Hon (1332-1382M) memang sah Islam berasal dari keluarga Ma di An Hui, walaupun tidak dijelas secara terperinci oleh ‘ The Cambridge History of China’ . Ketika berlaku pemberontakan, Putera Chang Chu menentang anak saudaranya, Maharaja Kien Wen. Cucu Chu Yuan Chang, iaitu kien Wen telah melarikan diri ke Makkah. Walaupun amalan confucianisme dibenarkan dalam istana tetapi agama Islam merupakan anutan keluarga Diraja.

9 orang Panglima Islam Wushu yang bergabung dengan Chu Yuan Chang ialah;
1. Hsu Tah (1331-1385M)
2. Ch’ang Yu-Chun (1330-1369M)
3. Li Wen-Chung (1339-1384M)
4. T’ang Ho (1325-1395M)
5. Teng Yu (1336-1377M)
6. Hu Tah-hai (1367M) dari Ssu Shi
7. Hua Yun (1321-1360M) dari Huaiyuan
8. Ting The- Hsing (1367M) dari Ting Yuan, dan
9. Mu Ying (1344-1392M)
(Sumber Yusuf Chang:1988:8-9)

Tindakan awal Chu Yuan Chang setelah menawan Nanking ialah mendirikan sebuah masjid jamik dan mencipta sebuah sajak memuji Rasulullah s.a.w. Masjid itu dinamakan Masjid Chin Juieh (Masjid pencerahan murni). ‘Ming’ membawa maksud ‘gilang gemilang’ atau terang benderang mengambil sempena tindakan Rasulullah ketika mula sampai ke Yathrib pada 622M, telah menukarkan nama nama kota itu kepada Madinah al-munawarah membawa maksud “kota gilang gemilang. Catatan dalam dinasti Ming tentang Cheng Chu adalah Maharaja Yung Lo (beragama Islam) telah mengharamkan penternakan dan penjualan babi/khinzir. Di catat dalam sejarah bahawa Pahlawan “Wushu” yang mashor iaitu Laksamana Muhammad Ma Ho atau lebih dikenali dalam sejarah Melaka sebagai Laksamana Cheng Ho, merupakan seorang Islam di Yunan. Masa Muda telah ditawan oleh Keluarga Ming dan diserah kepada Cheng Chu. Beliau telah berkhidmat dengan Cheng Chu sehingga ditukar nama kepada Putera Cheng Ho setelah Laksamana Cheng Ho membantu Putera Cheng Chu merampas kuasa daripada Maharaja Kien Wen (1398-1403M). Laksamana Cheng Ho telah dilantik memimpin armada laut China. Putera Cheng Chu di gelar Maharaja Yung Lo. Laksamana Cheng Ho telah memimpin angkatan armada laut China keluar ke laut selatan dan barat dengan 62 buah armada besar melalui Selat Melaka pada 1405M, tetapi tidak singgah di Melaka. Laksamana Cheng Ho keluar belayar melalui Selat Melaka sebanyak 8 kali. Pelayaran keduanya pada 1405-1424M. Semasa pelayaran balik ke China pada 1407-1409M dan pelayaran ke-4 (1413-1415M), Laksamana Cheng Ho telah singgah di Melaka. Sebagai persaudaraan Islam tanda persahabatan, Laksamana Cheng Ho telah mempelawa Sultan Megat Iskandar Syah, Sultan Melaka pertama yang menerima Islam mengikutnya ke China untuk menziarahi Maharaja Islam China iaitu Maharaja Yung Lo. Sultan Megat Iskandar Syah telah memperkenan permintaan Laksamana Cheng Ho untuk menziarahi Maharaja Yung Lo. Pembantu Laksamana Cheng Ho ketika itu ialah Laksamana Muda Heo Shien (Hussin) berasal dari Tanah Melayu.

Wallahuaklam.

---------------------------------------------------------------------------

Petikan blog Kitab Pusaka Sri Gayong Panglima Ulung

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.