Tiba-tiba satu tempikkan kuat memenuhi
ruang udara ketika inilah muncul seekor Naga bewarna hitam dengan mata yang
memerah. Asap hitam masih berkepul-kepul mengelilingi tubuh haiwan tersebut. Kali
ini benar-benar memeranjatkan semua yang hadir di Lapangan Tempur tersebut.
Pengawal-pengawal istana berkejar mengelilingi Maharaja, Maharaja juga cemas,
inilah pertama kalinya dia melihat kehebatan Hei Long. Kini baru dia jelas
mengapa Hei Long di panggil Naga Hitam dikalangan tenteranya. Sida-sida ada
yang telah melarikan diri dan ada yang telah basah kainnya.
Datuk Bendahara dan seluruh rombongan
Melaka juga terkejut bukan kepalang, inang-inang dan dayang-dayang menangis
ketakutan ada sebahagian yang berlari bersembunyi disebalik tiang yang besar di
Lapangan Tempur tersebut. Hang Kasturi
terpaku tidak terkata dia bimbang keselamatan Abang Tuahnya.
Kesemua yang ada di situ kaget, Inilah
pertama kali ke semua mereka melihat haiwan pemangsa yang bernama naga ini. Maharaja
sendiri sudah pucat wajahnya mitos naga yang biasa di ceritakan oleh penglipurlara
istana nampaknya bukanlah cerita dongeng baginya, naga ini benar-benar wujud. Namun
bagi Hang Kasturi haiwan di depannya ini bukanlah haiwan sebenar melainkan
hanya jelmaan sahaja. Nampaknya Hei Long mempunyai ilmu hitam yang hebat.
Haiwan pemangsa itu berlegar-legar
mengelilingi Hang Tuah asap hitam yang berbau busuk mengapung-ngapung
dibadannya. Sesekali ia bertempik keras ke arah Hang Tuah, angkuh dengan
kekuatan yang dimiliki. Walaupun Hang Tuah juga masih terkejut dengan apa yang
dilihat namun sebagai Laksamana yang mempunyai sejuta pengalaman, Hang Tuah
dapat membaca haiwan ini adalah jelmaan dari ilmu hitam, kelihatan mata naga di
depannya berkelip-kelip seperti mana manusia.
Bismillahi tawakal tu a’llahlah
Laa haula wala quwataillahbillah
Hang Tuah membulat tekadnya, menyerah
diri kepada Allah dengan sepenuhnya, hanya pertolongan Allah yang diharapkan,
ujian kali ini begitu getir dirasainya. Hang Tuah mula membaca sesuatu, dibacanya
ayat pemangkas sihir. Mahu tidak mahu sekali ini “Hikmat Gerakkan Guruh” perlu
di padu dengan “Ilmu Pelipat Bumi”
dan “Doa Senafas Roh”. Walapun Hang Tuah tahu risikonya ialah dia perlu
mengerahkan seluruh kudratnya, jika gagal untuk menghapuskan jelmaan ini maka
dia akan kehilangan seluruh tenaganya dan ini akan memberi peluang kepada lawan
untuk membunuhnya.
Hang Tuah melompat tinggi sambil
menetak haiwan jelmaan tersebut. Naga jelmaan itu juga mengelak dengan pantas. Sesekali
ia cuba untuk membaham Hang Tuah sambil bertempik keras, tetapi ketangkasan dan
kepantasan Hang Tuah benar-benar diluar kemampuan manusia biasa.
Kini barulah Datuk Bendahara dan seluruh
rombongan Melaka dapat melihat dengan mata kepala sendiri kehebatan
sebenar Datuk Laksamana Hang Tuah. Acapkali mereka tidak dapat melihat
kepantasan pergerakkan Laksaman Agung itu dengan mata kasar mereka. Hanya
debu-debu yang kelihatan berterbangan mengikuti pergerakkan yang bagaikan
kilat, menunjukkan keberadaan Hang tuah di sana.
Jelmaan Naga Hitam terus menyerang kali
ini dicubanya dengan menerkam menggunakkan kukunya yang tajam, Hang Tuah
mengelak dengan berguling-guling di atas tanah kemudian melompat tinggi, ditetak
ekor Naga Hitam itu, namun dengan pantas Naga Hitam melarikan ekornya meliuk-liuk
seperti ular di atas air.
Pertarungan berlangsung agak lama sesekali pertarungan berlaku di atas
angin. Laksamana Hang tuah acap kali hilang dari pandangan apabila melakukan Gerakkan
Guruh dan Ilmu Senafas Roh.
“Subhanallah, Sungguh! Hari ini barulah
Ayahanda melihat sendiri ketangkasan dan kepantasan Datuk Laksamana Hang Tuah.
Anakanda Kasturi, apakah kesemua kamu mempunyai hikmat sebegini.?” Tanya Datuk
Bendahara kepada Hang Kasturi. Lama
Hang Kasturi mendiamkan diri sebelum menjawab soalan Datuk Bendahara. Hatinya
masih galau, kebimbangannya tidak dapat disembunyikan matanya tidak lepas
pandang dari Lapangan Tempur tersebut. Jelmaan Naga Hitam yang menakutkan itu bersungguh-sungguh
nampaknya mahu membunuh Abang Tuah.
“Ayahanda Bendahara bukan semua di antara
kami ini yang berjaya menguasai hikmat-hikmat ini. Kepantasan gerakkan Abang Tuah
ini sangat istimewa dan diakui Pendeta Adi Putra sendiri.” Jujur Hang Kasturi
membuka rahsia.
“Kalau begitu siapa lagi yang berjaya
menguasai hikmat sebeini selain Laksamana Hang Tuah.?” Soal Datuk Bendahara
lagi.
“Guru kami, Adi Putra juga mempunyai
kepantasan seperti ini, selain Pendita Adi Putra tandingannya bagi Abang Tuah
ialah Abang Jebat, Ayahanda Bendahara.” Jawab Hang Kasturi sambil matanya liar
memandang Lapangan Tempur.
Tersentak Datuk Bendahara
mendengarnya. Hang Jebat juga dianggap seperti anak sendiri namun Hang Jebat
sangat sukar dibaca fikirannya. Kadangkala dia lebih banyak diam dari berkata-kata.
Kadangakala dia hanya tersenyum tanpa ketawa, tetapi yang pasti dia amat tegas di
dalam segala bab hukum agama.
Sehingga kini Datuk Bendahara belum
pernah melihat sendiri kehebatan sebenar Hang Jebat. Dia amat perahsia orangnya.
Lapangan Tempur
Ketika ini Hang Tuah telah mengengam
segumpal pasir, lalu dibacakan ayat surah al Zalzalah. “Allahu akbar!”, dengan
laungan takbir yang begitu nyaring Hang Tuah meleparkan pasir tersebut ke arah jelmaan
Naga Hitam itu, ketika ini kelihatan pasir yang dilempar oleh Laksamana Hang
Tuah bertukar menjadi beribu-ribu lebah, lalu
terbang menyerang kepala haiwan
pemangsa tersebut.
Serangan yang mengejutkan itu menganggu
tumpuan serangan jelmaan Naga Hitam ke atas Hang Tuah,
Jelmaan Naga Hitam kini berusaha
mengelak sengatan lebah-lebah tersebut, namun semakin kuat dia cuba melepaskan
diri dari serangan lebah-lebah itu semakin banyak lebah-lebah tersebut
menyerangnya, ada yang masuk ke mulutnya ada yang menyerang matanya. Kedengaran
tempikan kuat dari Naga Hitam, ternyata kemarahannya tidak dapat berbuat
apa-apa, kakinya menguis-menguis matanya yang dipenuhi lebah. Sesekali dia
berpusing-pusing bagaikan layang-layang terputus tali.
Kesempatan ini digunakan oleh Hang Tuah
untuk membuat serangan, serangkap ayat
Quran dibaca oleh Hang Tuah
Wa Izabatashtom batashtom jabarin ( surah as Syura ayat 130)
“ Dan apabila kamu memukul atau menyeksa kamu melakukan yang demikian
dengan kejam dan bengis”
Serentak dengan laungan takbir yang kuat
Hang Tuah membuat tetakkan ke bahagian badan haiwan pemangsa tersebut. Kali ini
jelmaan Naga Hitam tidak sempat mengelak. Satu jeritan kuat bergema di Lapangan
Tempur. Lapangan Tempur tersebut bergegar dengan begitu kuat. Bumi seperti
dilanda gempa bumi. Hang Tuah hampir-hampir sahaja terpelanting ke belakang,
mujur Hang Tuah sempat memperkemaskan kuda-kuda dan menahan dirinya dengan
Sundang yang di pacak ke tanah malah ada dayang istana yang telah pengsan
kerana dihambat kejutan yang dasyat ini.
Ketika ini sesuatu yang aneh telah
berlaku jelmaan Naga Hitam yang ditetak oleh Hang Tuah tiba-tiba bertukar
menjadi debu lalu diterbangkan oleh asap hitam, Asap hitam yang berdebu itu
mula berputar-putar di dada langit lalu bergumpal dengan awan hitam sesekali
kilat memancar dicelah awan hitam itu, ketika inilah awan hitam tersebut
membentuk seraut wajah bertanduk yang menakutkan di dada langit matanya yang
merah merenung Hang Tuah.
“Siapakah kamu ini!” jerkah wajah
bertanduk yang terbentuk dari gumpulan awan hitam itu.
“Belum ada yang dapat mengalahkan aku
sebelum ini.” Kata Wajah jelmaan itu dengan sombong.
Hang Tuah mendongak ke langit
melihat asap hitam yang menyerupai seraut wajah bertanduk itu. Lalu dicabut keris Taming Sarinya dan diangkat mengahala ke
awan hitam tersebut. “Cis! Makhluk terkutuk, Aku
Hang Tuah, Laksamana dari Kerajaan Melaka.”
“Ha! Ha! ha! Jahanam kau Laksamana
Melaka! Aku tidak akan lupa hari ini. Aku belum kalah lagi, kita akan bertemu lagi
wahai Laksamana, bersiap-siaplah untuk mati ketika itu.”
Habis sahaja jelmaan wajah bertanduk
dari awan hitam itu memberi amaran kepada Hang Tuah, awan hitam itu mula bergumpal kembali bergulung-gulung dengan
kuat lalu berarak pergi dengan pantas, seketika itu langit kembali cerah
seperti biasa, cahaya matahari kembali menyinar Lapangan Tempur tersebut tiada
tanda-tanda pun hujan akan turun, bayu dingin kembali terasa. Hang Tuah menghela
nafas lega pertarungan ini benar-benar melelahkan dirinya.
Ketika inilah Hang Tuah perasan ada
sekujur tubuh yang terlentang di Lapangan Tempur tersebut. “ Hei Long” bisik
Hang Tuah perlahan. Tiba-tiba terdengar bunyi gendang di palu dengan kuat. Hang
Tuah mendongak ke astaka Maharaja. Dengan dahi yang berkerut seribu Hang Tuah
berlari kencang ke arah astaka Maharaja. Cheng Di, canselor Maharaja cemas...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.