AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT (ILMU KEBATINAN)

AKADEMI SILAT SENI GERAK MAKRIFAT


ILMU PERSILATAN DAN PERUBATAN (KEROHANIAN) WARISAN SYEIKH PENDITA MAHAGURU ADI PUTRA, SUNAN KALIJAGA DAN TOKKU PALOH

ILMU KEROHANIAN DALAM KATEGORI ILMU GHAIB ( SILAT BATIN SUNAN KALIJAGA@GERAK FAQIR) & ILMU SYAHADAH (SYAHADAT TOKKU PALOH@TITIK 9)

Sunday, December 11, 2011

BUDDHA ADALAH UTUSAN AGUNG DARI ALLAH ?

TAPAK PERSAMAAN:
KESAMAAN KEROHANIAN DAN ETIKA
ANTARA
ISLAM DAN BUDDHISME

Oleh
Reza Shah Kazemi
Diperkenalkan oleh :
Y.A.M. Dalai Lama Yang ke XIV
Y.A.M Putera Ghazi bin Muhammad
Profesor Dr. Hashim Kamali

Kandungan

Prakata oleh Yang Amat Mulia Dalai Lama Yang ke-XIV
Pengenalan kepada Tapak Persamaan oleh Yang Amat Mulia Putera Ghazi bin Muhammad
Kata Pengantar oleh Profesor Dr Hashim Kamali



Bahagian Pertama ― Pemandangan Latar 21

Melampaui yang Tersurat kepada Semangat 22
Sekilas Pandang pada Sejarah 29
Asas-asas Dialog Menurut al-Qur‘an 34
Buddha sebagai Rasul 36
Pemberitahuan dari Atas atau dari Dalam? 43
Dalai Lama dan Dinamika Dialog 48



Bahagian Kedua ― Keesaan: Penyebut Sepunya Tertinggi 54

Memikirkan Yang Esa 54
Yang Tidak Dilahirkan 55
Dialektik Buddhisme 59
Shu>nya dan Shaha>da 68
Cahaya Transendensi 70
Al-S}amad dan Dharma 71
Wajah Allah 75
Fana>‘ dan Bukan Dualiti 78
Baqa>‘ dari ‗Yang Tercerahkan‘ 80 3

Menyembah Yang Maha Esa 88

Buddha dalam terang Dharma 89
Mengingati Allah 94
Tariki dan Tawakkul 97
Kunci Keselamatan 100
Gambar-gambar Buddha, Selawat atas Nabi 104



Bahagian Ketiga ― Etika Pemisahan Dan Belas Kasihan 111

Pemisahan: Anicca dan Zuhd 112

Penderitaan 112
Keduniaan 114
Politheisme Halus 117
'Tuhan‘ Keinginan 120

Cinta Belas Kasihan: Karuna> dan Rahma 126

Sumber Belas Kasihan 130
Keesaan dan Kasih Sayang 133
Rahma sebagai Pencipta 139

Penutup ― Tapak Persamaan Kewalian 147
Biografi Penyumbang 150 4


PRAKATA
Oleh Yang Amat Mulia Dalai Lama Yang ke-XIV

Buku ini adalah sebuah buku penting, perintis dalam usaha untuk mencari kesamaan antara ajaran-ajaran Islam dan Buddhisme. Adalah harapan saya bahawa di atas tapak kesamaan ini, para penganut kedua tradisi akan dapat menghargai segala kebenaran kerohanian yang terkandung pada jalan-jalan mereka yang berbeza dan dari sini membina dasar untuk menghormati amalan dan kepercayaan masing-masing. Ini mungkin tidak sering berlaku sebelum ini, kerana sangat sedikit kesempatan untuk mendapat persefahaman yang sebenar antara kedua tradisi agung ini. Buku ini cuba untuk memperbetulkan keadaan.

Sang Buddha mengajarkan bahawa setiap makhluk berperasaan memiliki akal atau kesedaran yang sifat asasnya adalah murni, tidak tercemar oleh pemesongan mental. Kita merujuk kepada sifat ini sebagai sifat-Buddha atau benih pencerahan. Dari sudut pandang ini, setiap makhluk berupaya untuk mencapai kesempurnaan. Dan juga, kerana sifat akal adalah murni, kami percaya bahawa semua aspek negatif pada akhirnya akan dapat dihapuskan darinya. Apabila sikap mental kita positif, tindakan-tindakan negatif dari tubuh dan ucapan akan berhenti dengan sendirinya. Kerana kita percaya bahawa setiap makhluk berperasaan mempunyai potensi tersebut, semua makhluk adalah sama; setiap orang berhak mendapat kebahagiaan dan mengatasi penderitaan. Cara hidup Buddhis pada keseluruhannya adalah berdasarkan prinsip menghormati kesejahteraan sesama makhluk. Ianya merupakan sistem yang didasarkan pada amalan belas kasih sayang.

Rakan-rakan Muslim saya telah menjelaskan kepada saya bahawa kerana Allah bersifat penyayang dan penuh belas kasihan, setiap Muslim yang taat adalah pada hakikatnya menyerahkan diri sepenuhnya kepada ideal kasih sayang yang meliputi sekelian alam. Ini bermakna bahawa kasih sayang Tuhan melimpah melalui segala tindakan orang-orang yang beriman. Amalan seperti ini jelas merupakan cara untuk memurnikan pemikiran dan nampaknya selari dengan apa yang dikatakan oleh Sang Buddha sendiri, betapa pentingnya menjalani hidup dengan cara yang beretika lagi penuh belas kasih sayang. Dengan demikian, dari sudut pandang Buddhisme, amalan Islam adalah jelas sebagai suatu jalan kerohanian yang boleh mencapai keselamatan.

Jelas sekali bahawa kasih sayang merupakan intipati ajaran agama, baik Islam maupun Buddhisme, seperti juga ia merupakan intipati ajaran tradisi keagamaan agung yang lain. Adalah harapan saya bahawa pengiktirafan prinsip asas yang dikongsi bersama ini akan menjadi asas bagi penganut-penganut agama Islam dan Buddha mengatasi rasa kewaspadaan terhadap satu sama lain lalu memupuk persahabatan yang bermanfaat berdasarkan sikap saling mempercayai. Sudah sampai masanya bagi para penganut agama-agama utama dunia bekerja sama untuk mewujudkan dunia yang lebih damai serta penuh dengan kasih sayang.

Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan saya Putera Ghazi bin Muhammad yang telah beberapa kali menyambut saya di Jordan dan yang, sebagai hasil dari perbualan-perbualan kami, kemudian telah memulakan projek yang mengkagumkan ini. Perbualan-perbualan dengan beliau dan rakan-rakan Muslim yang lain mengukuhkan keyakinan saya akan nilai yang sangat besar menggalakkan dialog antara tradisi-tradisi agung kerohanian di dunia. Saya berdoa agar usaha ini membawa kejayaan serta kesan baik yang berpanjangan.

21 Januari 2010

=================================================================

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad

Pengenalan kepada Tapak Persamaan
Oleh Yang Amat Mulia Putera Ghazi bin Muhammad

Agama-agama Dunia dan Keamanan Dunia

Setakat tahun 2010 Masihi bersamaan 1431 Hijriah, sekurang-kurangnya 80% daripada penduduk dunia yang berjumlah 6.7 bilion manusia tergolong ke dalam hanya empat daripada begitu banyak agama di dunia. Empat daripada lima orang di atas bumi adalah sama ada Kristian (32%), Muslim (23%), Hindu (14%) atau Buddhis (12%). Oleh kerana agama (dalam bahasa Inggeris, religion, dari bahasa Latin ‗re-ligio‘, bererti ‗mengikat semula [manusia kepada Langit]) adalah kuasa yang paling kuat yang membentuk sikap dan perilaku manusia―pada teori kalau tidak pada amalan―maka secara logiknya untuk mewujudkan kedamaian dan keharmonian di dunia harus ada keamanan dan keharmonian antara agama sebagaimana adanya, dan khususnya antara empat agama terbesar dunia.

Pada tarikh 13 Oktober 2007, seramai 138 orang ulama dan intelektual terkemuka dunia Islam (termasuk tokoh-tokoh seperti Mufti-mufti Agung Mesir, Syria, Jordan, Oman, Bosnia, Rusia, dan Istanbul) telah menghantar sepucuk Surat Terbuka kepada para pemimpin agama Kristian. Ianya ditujukan kepada para pemimpin gereja-gereja dan denominasi Kristian dari seluruh dunia, bermula dengan Paus Benedict XVI. Pada dasarnya, Surat Terbuka itu mengingatkan, berdasarkan ayat-ayat dari al-Qur‘an dan Alkitab (Bible), bahawa agama Islam dan Kristian sama-sama mengakui, pada intinya, suruhan ‗emas‘ berkembar yang amat penting, iaitu mengasihi Allah dan mengasihi jiran. Berdasarkan tapak persamaan ini, surat itu menyeru diwujudkan keamanan dan keharmonian antara umat Kristian dan Islam di seluruh dunia.

Surat Terbuka itu menyebabkan terbentuknya gerakan keamanan global yang bersejarah antara umat Islam dan Kristian secara khusus (seperti yang dapat dilihat pada www.acommonword.com), dan sementara ianya tidak mengurangkan peperangan antara Muslim dan Kristian atau menamatkan saling kebencian dan prasangka, namun ianya telah membawa banyak kebaikan, dengan izin Allah, dan nampak telah menukar nada antara pemimpin-pemimpin agama Islam dan Kristian dan agak memperdalam pemahaman yang benar terhadap agama masing-masing dengan cara-cara yang signifikan. Inisiatif A Common Word (Satu Kalimah Bersama) itu sudah tentu bukan sendirian di atas pentas dunia dalam usaha untuk memperbaiki hubungan antara orang-orang yang beragama (kita mengingatkan kepada Perikatan Ketamadunan, inisiatif antara agama yang dicetuskan oleh Yang Amat Mulia Raja Abdullah dari Arab Saudi dan juga pidato Presiden Obama di Kaherah pada tahun 2009), tapi walaubagaimana pun kami anggap ianya signifikan bahawa, misalnya, menurut Pew Global Report Oktober 2009 peratusan rakyat Amerika yang mempunyai pandangan negatif terhadap Islam adalah 53% berbanding dengan 59% hanya beberapa tahun lalu. Maka adalah tidak mustahil untuk mengurangkan ketegangan antara dua komuniti agama (walaupun pertikaian dan peperangan berterusan dan malahan telah bertambah dalam tempoh yang sama) apabila para pemimpin agama dan intelektual berhubung antara satu sama lain dengan membawa mesej agama yang benar.

Maka dengan memikirkan semua hal ini dan selepas perbincangan terperinci dengan Yang Amat Mulia Dalai Lama ke-14, kami mencetuskan inisiatif ini. Kami menugaskan salah seorang Felow Akademi Diraja, Dr Reza Shah-Kazemi―seorang pakar yang sangat dihormati dalam bidang tasawuf dan penulis terkemuka dalam kajian perbandingan agama―untuk menulis sebuah esei tentang perkara ini, yang kemudiannya kami minta kepadanya supaya memperluaskannya menjadi risalah ini. Kami berharap dan berdoa bahawa buku ini akan diberkati dengan kesan global antara Muslim dan Buddha yang sama baik seperti kesan Satu Kalimah Bersama Antara Kami dengan Kamu di antara umat Islam dan Kristian.


Mengapa kita perlu 'Tapak Persamaan‘?

Tujuan dan matlamat khusus penugasan itu adalah untuk mengenalpasti  'Tapak Persamaan‘ kerohanian (yang sahih berdasarkan teks-teks suci agama Islam dan Buddhisme) antara penganut-penganut agama Islam dan Buddha yang akan membolehkan kedua-dua komuniti saling mengasihi dan menghormati, tidak hanya sebagai manusia umumnya, tetapi juga sebagai Muslim dan Buddhis khususnya. Dengan kata lain, kami berharap untuk mengetahui dan memahami apa yang ada dalam kedua-dua agama kita―walaupun terdapat begitu banyak perbezaan-perbezaan doktrin, theologi, hukum hakam dan lain-lain yang tidak serasi dan tidak terjambatan yang kita tidak boleh dan tidak harus nafikan―di mana kita mempunyai persamaan yang akan membolehkan kita mengamalkan sikap lebih mengasihi dan menghormati satu sama lain justru kerana kita masing-masing beragama Islam dan Buddha, dan bukan sekadar kerana kita adalah umat manusia. Kami percaya bahawa, walaupun terdapat bahaya sinkretisme, mencari Tapak Persamaan dalam bidang agama adalah bermanfaat, kerana umat Islam sekurang-kurangnya tidak akan dapat sepenuh hati merasa antusias terhadap sebarang etika yang tidak menyebut Allah atau merujuk kembali kepada-Nya. Kerana Allah mengatakan dalam Kitab Suci al-Quran:

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." (al-Qur‘an, Ta Ha, 20:124)

Dan juga:

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran." (al-Qur‘an, Al-Kahf, 18:28)

Hal ini menjelaskan mengapa kami tidak sekadar mencadangkan suatu versi Hukum Utama Kedua ('Kasih Sayang kepada Jiran Tetangga‘) – pelbagai versi yang memang boleh dijumpai dalam teks-teks Islam dan Buddhisme yang sama (seperti juga ianya boleh didapati dalam kitab-kitab suci Yahudi, Kristian, Hindu, Konfusianisme dan Taoisme, di antara agama-agama lain): kerana tanpa Hukum Utama Pertama ('Kasih kepada Tuhanmu‘), Hukum Kedua semata-mata mungkin menjadi sesuatu yang secara rohaniah kosong tanpa kebenaran, dan dengan demikian berisiko menjadi sentimentalisme cetek tanpa kebajikan dan kebaikan yang sebenar; maka berisiko pula menjadi etika sekular yang mengambil sikapnya mengikut ragam hati dan perasaan yang kita timbulkan sewenang-wenangnya dalam keadaan-keadaan tertentu, tanpa memerlukan apa-apa dari jiwa, tanpa sebarang risiko, tiada mengubah apa-apa, memperdayakan semua.

Di sisi lain, salah satu ironi terbesar dari ramai pengamal agama adalah bahawa walaupun agama mereka menuntut kasih sayang dan sikap menghormati di kalangan manusia, mereka memandang rendah terhadap orang lain (dan enggan bersikap kasih sayang dan hormat terhadap mereka) jika mereka tidak menganuti agama yang sama. Maka kecintaan terhadap agama mereka sendiri menjadikan mereka kurang mengasihani orang lain, bukan membuat mereka lebih mengasihani orang lain! Hal ini nampak kepada saya sebagai seorang muslim begitu ironis sekali, kerana di dalam kesemua empat mazhab fiqah ahli Sunnah, dan juga dalam tradisi pemikiran golongan-golongan Syiah dan Ibadhi ― ertinya, dalam setiap aliran tradisi pemikiran Islam ― pilihan agama seseorang bukan alasan untuk bermusuh dengan mereka (jika mereka tidak terlebih dahulu melahirkan permusuhan terhadap Islam). Sebaliknya, umat Islam adalah dikehendaki untuk berperilaku kasih sayang dan adil terhadap semua orang, baik yang beriman mahupun yang tidak beriman. Allah s.w.t berfirman dalam al-Qur‘an:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan. Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu." (al-Qur‘an, Al-Jathiyah, 45:14-15)

Hal yang sama dijelaskan dalam petikan berikut dari al-Qur‘an yang bermula dengan mengutip doa orang-orang yang beriman dari kalangan umat terdahulu:

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.‘/ Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji./ Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu. Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun lagi Maha mengasihani./Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (al-Qur‘an, Al-Mumtahinah, 60:5-8)

Dengan demikian umat Islam harus pada prinsipnya bersikap belas kasih sayang serta hormat kepada orang-orang yang tidak memerangi atau mengusir mereka dari rumah-rumah mereka (ini merupakan syarat dalam Islam bagi mengharuskan peperangan untuk mempertahankan diri). Orang-orang Islam tidak seharusnya menjadikan sikap kasih sayang mereka bergantung hanya kepada kasih sayang orang lain, namun bagaimanapun secara psikologi hampir tak dapat dielakkan bahawa orang akan lebih menghargai rakan-rakan mereka ketika mereka tahu bahawa rakan-rakan mereka itu juga cuba untuk menunjukkan kasih sayang dan perasaan hormat kepada semua. Setidak-tidaknya inilah salah satu andaian utama kami dalam menugaskan penulisan buku ini.


Tapak Persamaan

Beralih kepada buku ini sendiri, kami fikir tidak salah untuk mengatakan bahawa ianya membuktikan, dengan limpah kurnia Allah s.w.t, secara umumnya suatu karya kesarjanaan yang menakjubkan, yang memaparkan betapa dalamnya kefahaman penulis serta kebesaran jiwa beliau. Ini tidak bermakna bahawa setiap Muslim ― atau setiap penganut agama Buddha ― akan menerima, atau bahkan memahami, segala sesuatu yang diujarkan penulis, namun dapat dikatakan secara saksama bahawa buku ini umumnya adalah normatif dari sudut pandang Islam (terutama kerana ianya sengaja bersandarkan al-Qur‘an, Hadis Nabawi dan wawasan dari ulama besar tasawuf Abu Hamid Al-Ghazali) dan juga mengkaji semua aliran-aliran utama pemikiran agama Buddha (seperti yang saya memahaminya). Di samping itu, buku ini menunjukkan tanpa sebarang keraguan yang munasabah akan beberapa persamaan dan kesejajaran antara Islam dan Buddhisme, khususnya seperti berikut:

(1) Kepercayaan pada Kebenaran Hakiki (Al-Haqq) yang juga Maha Esa, Realiti Mutlak, Sumber Rahmat dan Petunjuk kepada umat manusia.

(2) Kepercayaan bahawa setiap jiwa adalah bertanggungjawab pada Hari Akhirat kelak atas prinsip keadilan, dan bahawa prinsip ini berakar pada sifat tabii Realiti Mutlak.

(3) Kepercayaan pada kewajipan moral yang jelas supaya bersifat rahmah, iaitu kasihan belas dan menyayangi sekalian makhluk, kalau tidak pun percaya pada fungsi kosmogonik dan eskatologik sifat rahmah (maksud kami, kepercayaan bahawa alam ini dicipta dengan Rahmah, dan dengan Rahmah pula kita mendapat keselamatan dan kesejahteraan).

(4) Kepercayaan bahawa umat manusia mampu untuk mendapat ilmu pengetahuan supra-rasional, ilmu yang merupakan punca untuk mendapat keselamatan di Akhirat dan juga untuk mendapat pencerahan dalam kehidupan dunia ini.

(5) Kepercayaan pada kemungkinan mencapai maqam kewalian bagi umat manusia, dan keyakinan bahawa semua orang harus bercita-cita untuk mencapai maqam kewalian ini.

(6) Kepercayaan pada keperluan melakukan amalan kerohanian dan keberkesanannya: sama ada ianya dalam bentuk bermunajat, bermeditasi atau pun berzikir.

(7) Kepercayaan pada keperluan memisahkan diri daripada keduniaan, daripada nafsu dan menurutkan segala keinginannya.

Tentang Buddha sendiri tidak menyebutkan Allah sebagai Pencipta, ini pasti merupakan suatu perbezaan mutlak antara orang-orang Islam dan para penganut agama Buddha, tetapi jika difahami bahawa Yang Esa adalah Allah, dan bahawa Buddha berdiam diri mengenai Yang Esa sebagai Pencipta bukan bermakna penafian sebagaimana adanya, maka adalah mungkin untuk mengatakan bahawa perkara-perkara di atas sudah tentu merupakan `Tapak Persamaan‘ yang substansial antara Islam dan Buddhisme, walaupun terdapat banyak perbezaan yang tak terjambatan antara keduanya. Tentu saja, perkara-perkara tersebut boleh diambil sebagai merupakan atau `menetapkan‘ inti dari agama  dan jangan `berpecah belah‘ di dalamnya dan ini adalah tepat seperti apa yang Allah firmankan dalam al-Qur‘an sebagai mesej terpenting dari segala Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah:

"Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat)." (al-Qur‘an, Al-Syura, 42:13)

Boleh juga dikatakan bahawa perkara-perkara ini juga membentuk substansi Dua Hukum Utama: maka keyakinan terhadap wujudnya Satu Zat Kebenaran yang Mutlak, dan kesungguhan berjuang untuk melepaskan diri dari kongkongan dunia, ego dan tubuh badan melalui amalan-amalan kerohanian, serta berjuang untuk mencapai tahap kewalian (sekaligus mencapai ilmu pengetahuan di tahap supra-rasional) mungkin dianggap sebagai cara kebalikan untuk mencapai Hukum Utama yang Pertama, sedangkan tuntutan supaya bersikap belas kasihan dan kasih sayang jelas menunjukkan Hukum Kedua walaupun menggunakan kata-kata yang berbeza, kalau tidak pun Hukum Utama Pertama juga (di mana keabadian jiwa ditunjukkan dalam kedua-dua Hukum Utama perintah dengan penamaan keseluruhannya sebagai `hati‘). Dan Tuhanlah Yang Maha Mengetahui.

Ahli Kitab

Semua yang diperkatakan di atas membawa kami sebagai Muslimin untuk membuat kesimpulan bahawa Buddha, yang petunjuk asas daripadanya telah pada prinsipnya menjadi ikutan oleh satu persepuluh penduduk bumi ini sejak 2,500 tahun yang lalu, adalah kemungkinan besar ― dan Tuhan Maha Mengetahui ― salah seorang utusan agung dari Allah, walaupun ramai orang Islam mungkin tidak dapat menerima segala sesuatu dalam Kanon Pali sebagai tulen berasal dari Buddha. Kerana walaupun nama Buddha tidak disebutkan dalam al-Qur‘an, namun Allah telah dengan jelas berfirman bahawa setiap kaum telah diutuskan ‗pemberi amaran‘ dari kalangan mereka dan bahawasanya memang wujud ramai para rasul yang tidak disebutkan namanya dalam al-Qur‘an:

"Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran." (al-Qur‘an, Surah Fatir, 35:24)

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah." (al-Qur‘an, Al-Ghafir, 40:78)

Maka dengan itu kami merasakan bahawa langkah pemerintah-pemerintah Bani Ummayah dan Bani Abbasiyah dulu yang mengiktiraf penganut-penganut agama Buddha sebagai Ahli Kitab adalah tepat. Inilah juga sebenarnya sikap yang diambil selama beratus-ratus tahun oleh berjuta-juta orang Muslim biasa terhadap jiran-jiran mereka yang kuat beragama Buddha, walau apa pun yang diajarkan oleh para ulama akan perbezaan aqidah antara kedua-dua agama.

Sebagai catatan yang bersifat lebih peribadi, izinkan saya menyebut di sini bahawa saya telah sempat membaca teks-teks Buddha Zen pada usia saya lebih muda sewaktu saya belajar di Barat (seperti beberapa karya tulisan D.T.Suzuki dan seperti karya Eugen Herrigel yang penting dan berpengaruh, Zen in the Art of Archery). Saya sangat menghargai semua itu, namun tidak berjaya menempatkan Buddhisme sepenuhnya dalam konteks kepercayaan agama Islam yang saya anuti. Baru-baru ini, saya telah dapat melihat dalam diri saya suatu kesan apabila bertemu dengan YAM Dalai Lama. Ianya begini: saya telah dapat melakukan kewajipan solat lima waktu dengan lebih khusyuk, serta pada sepanjang masa di luar solat saya lebih mampu memantau fikiran sendiri, dan lebih mudah menghalang atau mengawal gerak hati saya sendiri. Saya tidak merasa pula apa-apa keinginan untuk pergi belajar lebih lanjut tentang Buddhisme, seperti yang mungkin diduga, tetapi saya tetap sedar bahawa ada sesuatu yang positif telah berlaku. Saya telah bertanya kepada teman saya Syaikh Hamza Yusuf Hanson (yang saya tahu telah banyak membaca tentang agama Buddha) mengapa pada fikirannya ini berlaku, dan beliau dengan bijaksana menjawab bahawa ini adalah kerana: ‗Para penganut Buddha adalah pewaris-pewaris latihan kerohanian yang amat berkesan.‘ Maka oleh kerana itu saya secara peribadi amat berpuas hati mengetahui tentang kewujudan secara jelas Tapak Persamaan yang mendasari kedua-dua agama Islam dan Buddha. Sesungguhnya, sebagai seorang muslim saya berasa amat lega dan gembira ― kalau boleh saya katakan begitu ― mengetahui bahawa seperdelapan dunia yang bukan Muslim menganut Buddhisme dan menjadikan amalan kasih sayang dan rahmat sebagai intipati kehidupan mereka (sekurang-kurang secara teori). Dan saya berharap agar buku ini akan mendorong orang-orang Islam dan Buddhis bersaing dan berlumba-lumba dengan mengamalkan kasih sayang dan rahmat yang merupakan intipati ajaran agama masing-masing. Allah s.w.t. berfirman dalam al-Qur‘an:

"Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Qur‘an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya." (al-Qur‘an, Al-Ma'idah, 5:48)


Tapak Persamaan Terdahulu?

Amat tidak kena kalau kita tidak menyebut bahawa, walaupun buku ini mungkin merupakan salah satu percubaan besar yang pertama — kalau tidak pun yang paling awal — di zaman moden kita ini untuk melakukan perbandingan kerohanian antara Buddhisme sebagaimana adanya dan Islam sebagaimana adanya, telah pun terdapat beberapa perbincangan intelektual dan kerohanian yang amat cemerlang dan serius pada masa lalu antara Islam dengan ‗TigaAjaran (Agung) Cina‘ iaitu (Konfusianisme, Taoisme dan Buddhisme).

Ini dibuktikan khususnya dengan karya-karya oleh orang-orang keturunan Cina asli (‗Han Kitab‘) pada kurun ke-16, 17 dan 18, terutamanya oleh dua orang tokoh iaitu Wang Daiyu (ca. 1570-1660 M) dan Liu Zhi (ca. 1670–1724 M). Kitab ini baru saja ditemui dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris (ironisnya, ianya boleh dikatakan tidak dikenali langsung dalam Bahasa Arab dan Bahasa Cina moden) oleh Professor William Chittick, Professor Sachiko Murata dan Professor Tu Weiming. Setakat ini pasukan sarjana ini telah menghasilkan dua buah buku yang sungguh berpengaruh:

(1) Chinese Gleams of Sufi Light: Wang Tai-yĆ¼‘s ‗Great Learning of the Pure and Real‘ and Liu Chih‘s ‗Displaying the Concealment of the Real Realm‘ (State University of New York Press, 2000);
(2) The Sage Learning of Liu Zhi: Islamic Thought in Confucian Terms (Cambridge, MA, Harvard University Asia Centre, 2009).

Mereka juga dikatakan sedang melakukan kajian terhadap karya Wang Daiyu The Real Commentary on the True Teaching (terbitan pertamanya pada tahun 1642 M). Karya-karya ini merupakan sumber penting bagi menjalin saling persefahaman antara China dan Islam, dan bagi para sarjana yang berminat untuk lebih mendalami bidang perbandingan kerohanian antara Islam dan Buddhisme (dan juga Konfusianisme dan Taoisme) inilah tempat bermula yang paling baik. Kami berharap karya-karya yang amat berharga ini akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab dan Bahasa Cina Moden dan disebarkan seluas-luasnya.

Apabila kita menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan zaman silam, serta menggabungkannya dengan ilmu pengetahuan zaman sekarang, kita menjadi lebih bersedia menghadapi segala ketidakpastian hidup masa hadapan.

Dan segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Segala pandangan yang dikemukakan di atas adalah semata-mata pandangan peribadi dan persendirian Putera Ghazi dan tidak mewakili pandangan kerajaan dan rakyat Jordan dengan cara apa pun jua; dan juga tidak bertujuan untuk menyentuh atau dikaitkan dengan sebarang isu politik dalam bentuk apa sekalipun.

Yang Amat Mulia Putera Ghazi bin Muhammad
Mac 2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.