Pandangan ulama terdahulu
Ulama yang tidak mengharuskan mengambil manfaat dari organ manusia
Kebanyakan ulama dari mazhab empat Hanafiyy, Malikiyy, al-Shafiiyy dan Hambaliyy tidak mengharuskan mengambil manfaat daripada mana-mana organ manusia kerana kehormatannya. Kenyataan mereka jelas menunjukkan demikian.
Misalnya ulama Hanafiyy menyatakan tidak harus menjual rambut manusia dan mengambil manfaat daripadanya, kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan dan bukan bahan yang boleh dipersia-siakan. Tidak wajar sama sekali mana-mana organ badannya menjadi bahan yang boleh dihina, tulang manusia dan bulunya , juga tidak harus dijual. Ketidakharusan menjualnya bukan kerana kenajisannya, kerana terdapat riwayat yang sahih menjelaskan ia adalah suci, sebaliknya disebabkan kemuliaannya. Menjual organ bererti menzahirkan penghinaan kepada manusia itu sendiri.
Ulama mazhab Malikiyy pula menyatakan tidak harus kepada orang yang terpaksa, memakan daging manusia yang telah mati, walaupun orang kafir, apalagi kalau si mati itu orang islam. Kehormatan manusia tidak boleh di ceroboh, kerana menyelamatkan orang lain. Mengambil organ mayat menyebabkan mayat terseksa sebagaimana terseksanya orang hidup. Kehormatan mayat orang islam, sama dengan kehormatannya di masa hidup. Dalam hadith nabi (s.a.w) menjelaskan mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkannya semasa hidup.
Ulama Mazhab al-Shafiiyy berpendapat tidak harus kepada seseorang memakan daging pahanya sendiri walaupun ia berada dalam keadaan darurat. Selain daripada itu diharamkan juga kepada seseorang memotong sebahagian daging badannya untuk diberikan kepada orang-orang yang berada dalam keadaan terpaksa, kerana perbuatan ini tidak termasuk ke dalam ertikata memotong sebahagian anggota badan demi menyelamatkan keseluruhan anggota-anggota badan yang lain, kecualii jika yang terpaksa itu nabi.
Ulama Mazhab Hanbaliyy pula menegaskan orang yang berada dalam keadaan terpaksa tidak boleh memotong mana-mana organnya , untuk dimakan, kerana itu bererti merosakkan benda yang telah pasti wujud, demi menghasilkan benda yang belum pasti wujud. Tidak harus kepadanya membunuh orang yang terpelihara darahnya, memakan dan merosakkan mana-mana organnya, kerana kedudukannya sama dengan orang yang terpaksa. Tidak harus mengekalkan diri sendiri dengan merosakkan diri orang lain.
Menurut beliau lagi, apabila seorang perempuan hamil, meninggal dalam keadaan terdapat didalam perutnya bayi yang diharapkan akan hidup, haram membedah perutnya semata-mata kerana kewujudan bayi tersebut, baik ia seorang islam atau seorang kafir zimmi, kerana perbuatan itu dikira menceroboh kehormatan si mati dan bayi itu pula belum pasti hidup. Pandangan-pandangan ulama ini menjelaskan pengharaman mengambil manafaat daripada organ manusia, walaupun dalam keadaan darurat.Begitu juga mengambil organ daripada individu yang mengizinkannya, juga tidak dibolehkan, walaupun dipastikan ia selamat daripada binasa. Selain daripada itu, berubat dengan benda-benda yang haram, termasuklah dengan daging-daging manusia, adalah haram menurut pendapat golongan ini.
Pengharaman mengambil manfaat daripada organ manusia ini merangkumi organ manusia yang islam dan juga yang bukan islam. Dengan ini pendermaan dan pemindahan organ manusia menurut golongan ini , adalah tidak harus, kerana ia melibatkan sesuatu yang diharamkan melakukannya, walaupun dalam keadaan darurat.
Pandangan ulama masa kini
Antara ulama masakini yang tidak mengharuskan pendermaan dan pemindahan organ samada daripada penderma yang masih hidup mahupun daripada penderma yang telah mati (kadaverik) kepada penerima yang masih hidup ialah Sheikh al-Sharawiyy, al-Ghumariyy, al-Sanbahiliyy, al-Saqqaf, al-Sukri, al-Shaziliyy dan Muhammad Nur al-Dan Merbau Banjar al-Makkiyy.
Alasan-alasan tidak mengharuskan pendermaan dan pemindahan organ :
- Alasan-alasan daripada al-Quran
i. Firman Allah (s.w.t) maksudnya :
“…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” Al-Baqarah 2: 195
Perbuatan seseorang menderma sebahagian organnya, adalah sebahagian daripada usahamendedahkan diri sendiri kepada kebinasaan demi untuk menyelamakan orang lain. Kelemahan atau kebinasaan akan berlaku, walaupun untuk masa akan datang. Inilah yang mendorong kebanyakkan negara Eropah dan Amerika menegah pengambilan organ daripada orang yang masih hidup.
ii. Firman Allah (s.w.t) maksudnya :
“…Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihi kamu.” Al-Nisa 4: 29
Tegahan yang terdapat dalam ayat ini berbentuk umum merangkumi setiap aktiviti yang boleh membawa kepada membunuh diri. Seseorang yang menyatakan persetujuan dengan orang lain untuk menderma organ tertentunya kepada orang itu, dikira telah melanggar larangan Allah, kerana dia tidak harus membinasakan dirinya, untuk memastikan orang lain kekal hidup, bererti menceroboh kemuliaan jasad, membatalkan manfaatnya dan menzalimi diri sendiri.
iii. Firman Allah (s.w.t) maksudnya :
“Dan kami telah tetapkan atas mereka didalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa dan mata dibalas dengan mata dan hidung dibalas dengan hidung dan telinga dibalas dengan telinga dan gigi dibalas dengan gigi dan luka hendaklah dibalas seimbang.” Al-Maidah : 45
Dalam ayat ini Allah (s.w.t) meletakkan jaminan kehormatan dan kemuliaan kepada organ-organ manusia. Sebagaimana tidak harus kepada seseorang menceroboh kehormatan nyawanya, begitu juga tidak harus kepadanya menceroboh kehormatan organ-organ tertentu baik pada dirinya mahupun orang lain, walaupun dibenarkan oleh pihak yang menceroboh.
iv. Firman Allah (s.w.t) maksudnya :
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah memuliakan anak Adam.”
Al-Isra`17:70
Ayat ini menjelaskan Allah (s.w.t) memuliakan anak Adam dengan menciptanya dalam bentuk yang begitu unik, termasuklah tubuh badan yang memerlukan orang-orang Islam menjaganya dan mempastikan keselamatam dan kesihatannya.( Muhammad Nur al-Din al-Makkiyy, hlm.39. )
v. Firman Allah (s.w.t) maksudnya :
“…Dan Aku akan menyuruh mereka merubah ciptaan Allah.” Al-Nisa` 4 : ayat 119.
Ayat ini menjelaskan tentang kerja jahat syaitan yang berusaha menghasut para makhluk, supaya merubah ciptaan Allah. Pengubahan ini adalah umum merangkumi pemindahanmata, buah pinggang, jantung dan lain-lain daripada seseorang individu kepada seseorang individu yang lain. Menurut ibn Atiyyah, ayat di atas merangkumi setiap pengubahan yang memudaratkan.( Abu Muhammad `Abd al-Haq bin Ghalib bin `Atiyyah al-Andalusiyy, al-Muharral-Wajiz Fi Tafsir al-Kitab al-~Aziz, Dar al-Kitab al-~Ilmiyyah, Bayrut. 1413H/1993 M, juz 2. set.1, hlm.115. )
- Alasan-alasan daripada al-Hadith.
i. Jabir (r.a) meriwayatkan ketina Nabi (s.a.w) berhijrah ke Madinah, Abu Tufayl bin Amru bersama dengan seorang rakannya turur berhijrah ke Madinah. Walau bagaimana pun udara di Madinah tidak sesuai dengan mereka. Rakan Abu Tufay telah jatuh sakit dan menggigil begitu teruk sekali. Oleh kerana tidak tertahan dengan penderitaan yang di alaminya, ia telah mengambil anak panah dan memotong pergelangan tangannya, sehingga meninggal dunia. Abu Tufay bin Amru bertemu dengan rakan beliau di dalam mimpi. Keadaan rakan beliau itu begitu cantik sekali, tetapi malangnya ia menutup tangannya seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Abu Amru bertanya kepadanya : Apakah yang telah dilakukan oleh Tuhan anda kepada anda? Jawabnya : Ia tela mengampuni dosa-dosa saya dengan sebab saya berhijrah kepada Nabinya : Ujar Abu Amru seterusnya : Maksudnya :
“ Kenapa saya lihat anda menutup tangan anda seolah-olah menyembunyikan nya dari sesuatu? Jawab beliau: Saya telah diberitahu yang Allah tidak akan membaiki apa yang telah saya rosakkan. Al-Tufay menceritakan mimpinya kepada Rasulullah (s.a.w) Rasulullah bersabda : Ampunilah ya Allah untuk kedua tangannya itu.” ( Hadis riwayat Muslim dan Ahmad )
Hadis ini membuktikan dengan jelas, orang yang menjual, menghadiah maupun merosakkan organnya, akan dibangkitkan pada hari Kiamat kelak dalam keadaan kekurangan organ, sebagai balasan di atas tindakannya itu. Orang yang menderma sebelah mata, akan dibangkitkan tanpa sebelah mata.
Begitu juga orang yang menderma jantung, buahpinggang dan lain-lain. Organ-organ ini tidak akan dikembalikannya pada hari Kiamat, kerana manusia tidak memiliki dirinya dari segi kejadiannya dan tubuh badannya. Oleh itu, ia tidak boleh menggunakannya pada perkara-perkara yang disebutkan diatas. (Muhammad Nur al-Din al-Makkiyy , hlm 42.)
ii. Asma binti Abu Bakar (r.a.) meriwayatkan seorang perempuan menemui Nabi (s.a.w) , lalu berkata : Wahai Rasulullah : Anak perempuan saya adalah seorang pengantin. Ia telah diserang demam campak, menyebabkan rambutnya gugur. Adakah saya boleh menyambung rambutnya : Sabda Rasulullah (s.a.w) : Maksudnya :
“Allah (s.w.t) melaknat perempuan penyambung rambut dan yang minta disambungkan untuknya.” (Hadith riwayat al-Bukhariyy, Muslim, al-Nissaiyy, dan al-Tirmidhi)
Hadis ini membuktikan pengharaman mengambil rambut perempuan lain untuk disambungkan kepada rambut perempuan yang mengalami masalah keguguran rambut. Hadith ini dikira sebagai asas melarang mengambil manafaat daripada organ manusia, walaupun perbuatan itu tidak memudaratkan orang yang diambil organnya.( Al-Sanbahaliyy, hlm 61-62).Perbuatan ini haram dengan persetujuan sebulat suara para ulama, malah pelakunya dilaknat, kerana merubah ciptaan Tuhan dan mencincang organ manusia. ( Muhammad Nur al-Din al-Makkiyy, hlm.65 )
iii. Buraydah (r.a) meriwayatkan apabila Rasulullah (s.a.w) mengurus seorang amir untuk mengetuai sesuatu angkatan tentera, baginda akan mewasiatkan kepadanya dan tentera yang bersamanya , supaya bertakwa kepada Allah (s.w.t) dan sentiasa melakukan kebaikan, seterusnya baginda bersabda : Maksudnya :
“Berperanglah dan jangan anda semua khianat. Jangan menipu dan jangan mencincang mayat.” ( Hadith riwayat Muslim, al-Tirmidzi dan Malik bin Anas )
Hadith ini menjelaskan tentang pengharaman mencincang mayat kerana ingin membalas dendam dan merubah ciptaan Tuhan. Ia merangkumi pemotongan mana-mana organ atau bahagian badan manusia dan binatang atau mencederakannya baik semasa hidup mahupun sesudah mati tanpa sebarang penyakit yang diharuskan berbuat demikian.( Hasan `Aliyy al-Saqqaf al-Qurashiyy, al-Imtina` Wa al-Istiqsa`, al-Matba`ah al-Ta`awuniyyah, Urdun, 1409H, cet.1, hlm.26.al-Sanbahaliyy.hlm 67.)
iv. Hadith Ummu al-Mukminin Aishah (r.) daripada Nabi (s.a.w) sabda baginda :
“Mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkan tulang orang yang masih hidup dari segi dosa.” ( Hadith riwayat Ibn Majah )
Hadith ini menjelaskan manusia mempunyai kehormatan, baik di masa hidup mahupun di masa mati dan kehormatan ini tidak boleh di ceroboh. Tidak syak lagi perbuatan seseorang membenarkan doktor memotong mana-mana organnya untuk orang lain, dikira menceroboh kehormatan diri, yang telah thabit pengharamannya dengan dalil-dalil yang Qat`i. (Doktor `Abd al-Salam `Abd al-Rahman al_syukri, Naqi Wa Zira`ah al-A`da` al-Adamiyyah, al-Qahirah, t.th,hlm.115 )
v. Hadith ibn al-Abbas (r.a) yang lalu
Hadith ini membuktikan memotong organ daripada seseorang untuk didermakan kepada orang lain, memudaratkan secara pasti diri orang yang dipotong organnya, kerana itu hukumnya adalah haram.( Al-Shanqitiyy, hlm.363.)
C. Alasan-alasan daripada logikal
i. Di antara syarat sah menderma ialah penderma memiliki benda yang di derma atau diserahkan kepadanya oleh pemiliknya yang sebenar. Manusia tidak memiliki jasadnya dan tidak diserahkan kepadanya hak memiliki jasad tersebut, ( Muhammad Nur al-Din al-Makkiyy, Ara`al-Ulama Hawla Qadiyyah Naql al-A`da`.hlm.133-134. al-Shanqitiyy,hlm.363-634, al-Sanbahiliyy .hlm. 67. ) kerana itu tidak sah menderma organ, kerana pendermaannya tidak berlaku dalam bentuk yang diakui oleh syarak.
ii. Membendung kemudaratan adalah sesuatu yang dituntut oleh syarak. Menderma organ mengandungi banyak kemudaratan yang besar, melebihi maslahah yang hendak dicapai. Ia menghilangkan manfaat organ yang dipindahkan, yang kadang-kadang boleh membawa kebinasaan kepada penderma atau sekurang-kurangnya mengganggu kelancarannya menunaikan ibadat dan kewajipan-kewajipan lain. ( Al-Shanqitiyy, hlm.364, al-Sukri, hlm.310 )
iii. Perbuatan memindahkan organ seperti buah pinggang dan lain-lain, daripada orang yang baru saja meninggal adalah perbuatan yang dilakukan oleh doktor-doktor perubatan di negara-negara Eropah, kemudian ditiru oleh orang-orang Islam. Perbuatan meniru doktor-doktor di negara Eropah ini ditegah oleh Rasulullah (s.a.w). Sabda baginda : Maksudnya :
“Kamu akan mengikuti jejak langkah orang-orang yang sebelum daripada kamu sejengkal, demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka memasuki lubang biawak sekalipun , kamu akan mengikutinya. Lalu kami bertanya : Wahai Rasulullah (s.a.w) Adakah mereka yang dimaksudkan itu golongan Yahudi dan Kristian. Jawab Rasulullah; Siapa lagi ( kalau bukan mereka )?” ( Hadith riwayat al-Bukhariyy )
iv. Operasi pemindahan organ secara berleluasa akan mewujudkan satu suasana baru dikalangan masyarakat iaitu pengenepian kawalan ke atas tubuh badan manusia dan tidak mustahil membawa kepada penjualan organ manusia. Kerana itu suasana seperti ini tidak diakui oleh syarak. Ia tidak sesuai untuk mengkhususkan nas-nas syarak yang umum. ( Muhammad Nur al-Din, al-Makkiyy, Adilah Tahrim Naqli al-A`da` al-Adamiyyah, hlm 570. )
v. Ulama ijma` tidak boleh mengambil manfaat daripada organ manusia, kerana itu pendermaan dan pemindahan organ adalah haram, kerana menyalahi ijma`. ( Muhammad Nur al-Din al-Makkiyy, Ara` al-Ulama` Hawla Qadiyyah Naqli al-A`da`, hlm 8. )
vi. Andaikata diterima pendermaan dan pemindahan organ termasuk kedalam masalah ijtihad dan khilafiyyah, bukanlah elok sekiranya kita mengambil pendapat yang lebih berhati-hati (ihtiyat) dan meninggalkan sesuatu yang boleh menimbulkan keraguan, ( Muhammad Nur al-Din al-Makkiyy, Ara` al-Ulama` Hawla Qadiyyah Naqli al-A`da`, hlm. 8. ) kerana beramal dengan hadith : Maksudnya :
“Tinggalkanlah sesuatu yang meragukan anda kepada sesuatu yang tidak meragukan anda.” ( Hadith riwayat al-Bukhariyy )
Dan juga dengan kaedah fiqh : Maksudnya :
“Keluar dari perkara yang diperselisihkan oleh ulama itu adalah sunat.”
Tulisan ini adalah petikan daripada Buku PEMINDAHAN ORGAN DAN PELAKSANAANNYA DI MALAYSIA. Penulisnya adalah Dr.Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari. KUSZA, K.Terengganu 30/10/2003.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.